Jawatankuasa Bahasa Melayu Ditubuhkan

Kuala Lumpur, Malaysia - Jawatankuasa bahasa Me­layu-Indonesia yang berpe­ranan menjadikan bahasa tersebut sebagai bahasa ilmu dan lingua franca di peringkat antarabangsa akan ditubuhkan serta berfungsi sebelum hujung tahun ini.

Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, jawatankuasa itu penting dalam proses pembinaan jati diri kewarganegaraan dan kenegaraan orang Melayu di wilayah Nusantara.

Katanya, buat masa ini, kerajaan sedang menunggu Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mengenal pasti beberapa wakil bahasa daripada negara itu sebelum mengemukakan nama mereka kepada Menteri Pendidikan yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Selama ini kita tidak boleh me­nguruskan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sebagai bahasa ilmu atau mengangkatnya ke peringkat antarabangsa kerana kedua-dua negara melakukan kajian teknikal secara berasingan.

“Jadi, menerusi jawatankuasa ini kita akan menggabungkan tenaga pakar yang berpengalaman dalam bidang bahasa Melayu dari Indonesia dan Malaysia, seterusnya menyemarakkan pengajian bahasa itu secara global,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap dalam Bengkel Memartabatkan Pengajian Melayu 2015 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad di Dewan Seminar Datuk Hassan Ahmad, Bangunan DBP di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Awam, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir; Pengerusi Yayasan Warisan Negara, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Pengerusi Majlis Dekan-dekan Pengajian Melayu, Prof. Dr. Mohamad Mokhtar Abu Hassan.

Pada 8 April lalu, Muhyiddin dalam lawatan kerja selama tiga hari ke Jakarta, Indonesia mengumumkan kerajaan telah bersetuju untuk menjalin kerjasama mengkaji aspek teknikal bahasa Melayu dan bahasa Indonesia dengan kerajaan Indonesia seterusnya menubuhkan sebuah jawatankuasa bersama yang dipengerusikan oleh Rais.

Sementara itu, Rais berkata, barisan pembuat dasar negara perlu mengakui kelemahan bahasa Me­layu ketika ini dan mencari inisiatif yang berkesan bagi menggelakkan bahasa tersebut hanya menjadi bahasa pengantar.

Katanya, bahasa Melayu memiliki keunikan tersendiri malah turut dikagumi pihak luar hingga mewujudkan Kursi Pengajian Melayu di dua institusi pengajian tinggi barat iaitu Leiden University dan University of Hamburg, Jerman serta Muzium British.

“Penubuhan Kursi Pengajian Melayu di luar negara itu cukup membanggakan tetapi persoalannya kenapa tidak diwujudkan juga di Jakarta atau Kuala Lumpur.

“Sehubungan itu, kita memerlukan sokongan dasar daripada pihak berkuasa universiti agar kursi-kursi bahasa Melayu turut diwujudkan di wilayah Nusantara seperti di Malaysia,” katanya.

Copyright 2009 Simplex Celebs All rights reserved Designed by SimplexDesign