Salleh Yaapar: Melayu Bukan Pendatang

Georgetown, Malaysia - Melayu bukanlah pendatang seperti yang dikatakan sesetengah pihak termasuk melalui beberapa wacana dan politik semasa.

Penyelaras Operasi, Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa (CENPRIS), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Seri Dr. Md Salleh Yaapar berkata, ada segelintir awam yang sengaja meletakkan perkataan pendatang terhadap kaum Melayu.

Tegasnya, istilah tersebut perlu digugurkan segera kerana ia bercanggah dengan rakaman sejarah.

“Apabila Parameswara beralih dari Palembang ke Singapura kemudiannya ke Melaka pada 1402, dia bukanlah pendatang. Sedangkan dia hanya merantau dan berpindah dari satu daerah ke daerah yang lain dalam wilayah besar atau tanah air kepunyaan bangsanya, iaitu Kepulauan Melayu sendiri.

“Orang Melayu berasal dari Kepulauan Melayu dan bukanlah pendatang, sebaliknya dari sini suku-sakat mereka tersebar luas di Lautan Hindi dan Lautan Pasifik, lantas menjadi penduduk awal atau pribumi di sana pula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Bengkel Antarabangsa Migrasi dan Kesepaduan dalam Masyarakat Multi-Enik: Imigrasi Bukan Kelaziman, Warisan Nusantara dan Tanggungjawab Sosial di Bilik Persidangan CENPRIS.

Justeru itu, Md Salleh menegaskan adalah salah untuk sesiapapun menganggap Melayu sebagai pendatang di mana-mana bahagian Kepulauan Melayu.

Menurutnya, sejarah membuktikan nama Melayu sudah dikenali sejak zaman Ptolemy.

“Pada abad ketujuh telah wujud kerajaan bernama Melayu di sekitar Jambi. Ia kemudiannya terangkum ke dalam kerajaan Srivijaya yang berpusat di Palembang serta berkuasa di seluruh Kepulauan Melayu sehingga abad ke-13.

“Impak Srivijaya menyebabkan banyak penduduk menerima identiti sebagai Melayu dengan wilayah mereka dikenali sebagai tanah Melayu.

“Ini meliputi Jambi, Palembang, Minangkabau, Siak, Kampar, Rokan, Pane, Kampe, Aru, Mandaileng, Tumiang, Perlak, Samudra, Lamuri dan Barus di Sumatera, bersama Langkasuka, Kedah, Kelantan, Pahang dan lain-lain di Semenanjung,” katanya.

Selain itu, beliau menambah melalui konteks pra-sejarah juga orang Melayu bukanlah dikategorikan sebagai pendatang.

“Idea bahawa mereka berasal dari Taiwan dan Yunnan sangat rapuh dan ketinggalan zaman.

“Malangnya ia masih dijaja dalam dunia akademik, justeru sering diseret masuk ke dalam wacana awam dan polimik politik semasa,” katanya.

-

Arsip Blog

Recent Posts