Warisan Seni Silat Dipertahan

Melaka, Malaysia - Kerajaan negeri akan melaksanakan pelbagai usaha bagi mengekalkan warisan seni mempertahankan diri bagi memastikan keasliannya tidak hilang ditelan zaman.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, sejarah telah membuktikan bahawa seni silat adalah sejenis ilmu bela diri yang diakui sebagai hak asli kepunyaan bangsa Melayu.

Menurut beliau, antara langkah yang diambil termasuk menaik taraf, mengubah suai dan membina kemudahan pusat sukan bertaraf dunia yang mampu menjadikan negeri ini sebagai destinasi sukan acara seni silat bertaraf antarabangsa.

“Langkah yang diambil ini dapat menyebarluaskan seni persilatan kepada generasi muda agar menjadikannya sukan olahraga yang sekali gus boleh mempopularkan pelancongan sukan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Festival dan Penganugerahan Persilatan Negeri Melaka 2015 di Perkampungan Hang Tuah di sini baru-baru ini.

Festival yang julung kali diadakan itu disertai sebanyak 1,784 peserta dari dalam dan luar negara. Daripada jumlah itu, sebanyak 1,721 peserta adalah dari Malaysia.

Yang turut hadir, Yang Dipertua negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Othman Muhamad; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar; Presiden Persekutuan Pesilat Kebangsaan Malaysia (Pesaka), Tan Sri Mohd. Ali Rustam dan para pengerusi persatuan silat tanah air.

Idris pada masa yang sama turut memuji langkah yang diambil oleh Pesaka Melaka di bawah kepimpinan Mohd. Ali yang aktif menganjurkan pelbagai acara seni silat di negeri ini.

Menurut beliau, organisasi silat tersebut sentiasa aktif menganjurkan pelbagai aktiviti silat budaya dan warisan termasuk Kejuaraan Silat Piala Tun Ali dan Tun Fatimah 2015.

“Kerajaan negeri berharap segala ilmu pengetahuan dan pengalaman dunia persilatan yang diperoleh semasa festival ini akan dimanfaat dan terus dipertahankan sebagai warisan bangsa.

“Semoga usaha ini diteruskan pada masa depan demi membina generasi muda yang tinggi kecintaannya terhadap seni silat Melayu,” katanya.

Sementara itu Mohd. Ali berkata, Melaka sekali lagi akan menjadi tuan rumah bagi pertandingan Silat Dunia Melayu Dunia Islam pada tahun depan.

Menurutnya, pertandingan itu akan melibatkan peserta dari dalam dan luar negara dan akan diadakan di Perkampungan Hang Tuah.

“Kita harap pertandingan ini dapat membantu mempromosi silat dan juga Melaka,” katanya.

Copyright 2009 Simplex Celebs All rights reserved Designed by SimplexDesign