’Wayang Kulit Harus, tapi Boleh Jadi Jaram’

Kelantan, Malaysia - Penggiat seni wayang kulit terutama Tok Dalang perlu arif dalam memainkan peranan membawa perubahan dalam persembahan kebudayaan itu agar mengikut syariat Islam.

Tok Dalang Wayang Kulit Melayu Tradisional Kelantan Muhammad Dain Othman berkata Wayang kulit asli Kelantan tidak bercanggah dengan garis panduan di bawah Enakmen Kawalan Hiburan Kelantan dan Dasar Kesenian dan Kebudayaan Negeri.

"Namun satu sahaja aspek yang bercanggah adalah amalan dalang yang tidak arif dengan ciri dominan wayang kulit itu sendiri sehingga melanggar format yang ditetapkan," katanya kepada pemberita di Majlis Forum Wayang Kulit Dalam Perspektif Islam di Muzium Negeri Kelantan.

Anggota panel lain ialah mantan Pengarah Bahagian Jabatan Warisan Negara yang juga tokoh budayawan, Siri Neng Buah.

Muhammad Dain berkata wayang kulit Kelantan dalam lingkungan harus tetapi boleh menjurus kepada haram berikutan ketidakarifan Tok Dalang.

Sementara itu, Ketua Jabatan al-Dakwah Wal Qiadah Kolej Islam Sultan Ismail Petra, Mohd Saiba Yaakob berkata persembahan wayang kulit dengan tujuan penyebaran maklumat, pendidikan, memberi kesedaran dengan tujuan dakwah adalah sangat digalakkan.

"Bukan setakat harus tetapi amat digalakkan asalkan tiada unsur yang tidak dibenarkan khususnya dalam dakwah Islam," katanya.

Forum itu adalah sebahagian program sempena Festival Wayang Kulit Antarabangsa yang diadakan sebulan dari 15 April hingga 15 Mei ini di Muzium Negeri Kelantan.

Copyright 2009 Simplex Celebs All rights reserved Designed by SimplexDesign