Kampung Palembang Kekal Kampung Seni Ukiran Melayu

Besut, Malaysia - Kampung Palembang di Kampung Raja di sini perlu dikekalkan sebagai kampung desa seni ukir Melayu bagi mendaulatkan aktiviti kesenian dan kebudayaan masyarakat di Pantai Timur.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, setiap aktiviti kesenian yang akan dijayakan di kampung itu nanti diharapkan dapat mewujudkan jalinan kerjasama antara pencinta seni budaya dalam mengukuhkan nilai-nilai seni budaya masyarakat setempat sekaligus mampu menarik pelancong ke Terengganu.

Katanya, ia juga secara tidak langsung akan mengembalikan semula kegemilangan produk seni ukiran Melayu seperti seni ukiran kayu, logam atau besi, seni ukiran halus dan seni visual agar generasi muda lebih menghargai warisan dan mengelakkannya dari pupus ditelan zaman.

"Seni ukir amat menarik untuk dipelajari kerana ia boleh dikomersialkan atas kehebatan dan keunikan produk yang dihasilkan nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Ukiran dan Makanan Tradisional Melayu 2015 di Desa Seni Ukir Kampung Raja di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain Idris yang juga Anggota Parlimen Besut berkata usaha menghidupkan bidang seni ukiran kayu berpotensi untuk dipelajari oleh para pelajar universiti kerana ia boleh dijadikan sebagai bidang keusahawanan yang mampu menjana hasil pendapatan yang baik.

Dalam majlis itu Abdul Latiff Long, 69, yang berasal dari Pengkalan Chepa Kelantan telah diumumkan sebagai Tokoh Pengukir Sepanjang Zaman dan telah menerima anugerah daripada pihak penganjur fiesta yang disampaikan oleh Idris.

Abdul Latiff terpilih berdasarkan hasil karya dan reka ciptanya dalam bidang seni ukiran bukan sahaja telah diabadikan di beberapa buah bangunan dalam negeri malah juga di luar negara.

Antara hasilnya ialah membuat Singgahsana Istana Negara; ukiran dinding di Dun Kota Darul Naim, Kelantan; disamping ukiran hiasan pintu serta dinding di beberapa bangunan termasuk Bank Bumiputra Malaysia, Pejabat Penerbangan Malaysia (MAS) di London, Tokyo, Hong Kong dan Los Angeles.

Abdul Latiff juga menerima anugerah Tukang Ulung Ukiran kayu pada 2013 yang telah disampaikan melalui cucunya Rozali Embong yang juga Yang Dipertua, Majlis Kebudayaan Daerah Besut.

-

Arsip Blog

Recent Posts