Tamadun Sungai Batu Lambang Kehebatan Bangsa Melayu

Alor Setar, Malaysia - Usaha mengkaji dan memelihara khazanah negara di Tapak Arkeologi Sungai Batu perlu dilipatgandakan kerana peninggalan yang dtemui di tapak yang pernah berdirinya "Kedah Tua" itu melambangkan kehebatan tamadun bangsa Melayu di Nusantara.

Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, tapak arkeologi berhampiran Sungai Petani itu memerlukan perhatian dan peruntukan tambahan daripada kerajaan pusat.

"Ini (Tapak Arkeologi Sungai Batu) bukan penemuan arkeologi biasa tetapi (penemuan) tamadun yang pada saya boleh menunjukkan bahawa Malaysia hebat dan bangsa Melayu yang hebat tamadunnya ada di sini."

"Ini (Tamadun Sungai Batu) bukan sahaja tamadun Kedah tetapi tamadun Melayu yang ada di Nusantara, ia secara tidak langsung akan menaikkan jati bangsa (Melayu), membuktikan bangsa ini memang terhebat di Asia Tenggara. Ia patut dibincangkan di Kabinet dan difokuskan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Mohd Rawi, beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tentang kepentingan Tamadun Sungai Batu dan bagaimana ia boleh membanggakan dan menaikkan moral rakyat sebagai sebuah negara bangsa.

Sejak 2009, pengkaji-pengkaji di tapak arkeologi terletak berhampiran Sungai Petani itu telah membuat beberapa penemuan penting yang menunjukkan tamadun di Sungai Batu itu telah wujud kira-kira 2,000 tahun yang dahulu.

Satu daripada penemuan terpentingnya adalah monumen ritual ibadat berbentuk bulatan di dasar dan binaan segi empat di atasnya, yang mempunyai ukuran yang amat tepat dan telah disahkan berusia 1,900 tahun atau 110 Masehi.

Pengesahan usia monumen ritual menggunakan teknologi "Optically Stimulated Luminescence" (OSL) itu membuktikan Tamadun Sungai Batu adalah ratusan tahun lebih tua berbanding Borobudur, Indonesia dan Angkor Wat, Kamboja.

Selain itu, pengkaji turut menemui banyak tinggalan relau-relau besi yang membuktikan Kedah Tua ketika zaman keagungannya merupakan pusat peleburan besi terunggul di Asia Tenggara, lengkap dengan kemudahan pelabuhan dan perdagangan.

Di dalam bahasa Sanskrit, "Kedah Tua" dirujuk sebagai "Kataha" yang membawa maksud "mangkuk besi dunia."

Penemuan tinggalan kapal-kapal purba di Sungai Kuno yang pernah mengalir di Sungai Batu ribuan tahun dahulu hanya mengesahkan keunggulan Kedah Tua sebagai pusat perdagangan serta ketinggian tamadun masyarakat yang mendiaminya.

Menurut Mohd Rawi, peruntukan kewangan yang mencukupi juga perlu bagi membolehkan pembelian tanah-tanah milik persendirian di sekitar Tapak Arkeologi Sungai Batu.

Kajian awalan oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Global, Universiti Sains Malaysia (USM) menunjukkan kawasan tanah-tanah milik persendirian itu kemungkinan tinggi menyimpan khazanah arkeologi negara, katanya.

"Amat sayanglah sekiranya kawasan yang kita tidak ambil (beli), ia berkemungkinan menyimpan khazanah yang bernilai. Ini adalah tamadun (Sungai Batu) yang amat hebat," katanya.

Pada ketika ini menurut beliau, daripada kira-kira 90 tapak arkeologi yang telah dikenal pasti di Sungai Batu, 47 daripadanya telah pun diekskavasi oleh pasukan penyelidik dan lebih banyak akan dibuka tahun depan.

Disebabkan keluasan tamadun "Kedah Tua" ini, beliau menjangkakan usaha-usaha menggali tinggalan arkeologi yang berkemungkinan menjangkau ke seluruh Kedah tidak mungkin dapat diselesaikan dengan cepat.

"Mungkin di dalam tempoh 100 tahun pun tidak akan selesai," kata Mohd Rawi dan menambah, kerajaan negeri juga memohon peruntukan bagi pembinaan sebuah muzium arkeologi dan menjadikannya tarikan pelancong ke Kedah.

Copyright 2009 Simplex Celebs All rights reserved Designed by SimplexDesign