Bina semula Galeri Melayu Banjar

Bagan Serai, Malaysia - Aspek kesenian dan kebudayaan masyarakat Banjar di daerah Kerian perlu dimartabatkan melalui pembinaan semula Galeri Melayu Banjar yang tertangguh sejak 2012.

Berikutan itu, kerajaan negeri digesa membantu merealisasikan pembinaannya di kawasan Bagan Serai bagi dijadikan mercu tanda pelancongan utama daerah Kerian pada masa depan.

Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata, Galeri Melayu Banjar yang dibuka di Masjid Tinggi, di sini, pada 2011 mendapat sambutan dan kunjungan luar biasa orang ramai termasuk penduduk daerah Banjarmasin, Indonesia.

Menurutnya, hampir setiap bulan, pelancong dari daerah Banjarmasin dan beberapa lagi daerah di Indonesia hadir ke galeri diasaskan Kelab Kulaan Malaysia (KKM).

“Bagaimanapun, galeri ini yang lebih dikenali muzium Banjar terpaksa ditutup setelah menurut nasihat Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang berpendapat penggunaan masjid lama sebagai muzium tidak bersesuaian untuk dikunjungi orang bukan Islam.

“Berikutan itu, atas persetujuan Pejabat Daerah dan Tanah Kerian serta Majlis Daerah Kerian (MDK), galeri ini dipindahkan ke sebuah bangunan MDK di Parit Buntar.

“Malangnya sehingga kini ia tidak dapat dibuka kerana kekurangan peruntukan untuk membiayai kerja-kerja menaik taraf bangunan,” katanya selepas merasmikan Majlis Merakyatkan Seni dan Budaya Festival Adat Masyarakat Banjar yang berlangsung di Masjid Tinggi, di sini, kelmarin.

Turut hadir Pengerusi Kelab Kulaan Malaysia, Ir Kamarullaffie Ahmad; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Setiausaha Kelab Kulaan Malaysia, Azlan Che Leob.

Sham berkata, inisiatif menghidupkan semula galeri itu penting bagi menyemarakkan industri pelancongan Kerian yang dilihat ketandusan produk berkualiti selain Bukit Merah Laketown Resort dan Pusat Konservasi Burung Kuala Gula.

Menurutnya, hakikat itu ditambah dengan jumlah populasi masyarakat Banjar khususnya di Bagan Serai dipercayai mencecah 70 peratus daripada keseluruhan penduduk.

“Dengan jumlah populasi ini, galeri ini wajar dibina di Parlimen Bagan Serai. Jika dibina bermula tahun ini dan siap menjelang tahun 2017, kita jangkakan lebih ramai pelancong hadir ke Kerian. Secara tak langsung, sektor pelancongan dapat dirancakkan.

“Diharap kerajaan negeri dapat menyalurkan peruntukan bagi pembinaan ini kerana keunikan adat dan seni budaya ini harus di kongsi bersama generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama (LMS) yang merupakan bekas Pegawai Daerah Kerian, Kamaruddin Awang berkata, inisiatif itu bertujuan mempelbagaikan produk pelancongan di Kerian sebelum ini.

“Sekiranya kewujudan Galeri Melayu Banjar menjadi satu fenomena kepada industri eko pelancongan daerah Kerian kelak, kita boleh membantu mengembangkan produk IKS berasaskan masyarakat Banjar ke pasaran lebih luas," katanya.

Dalam pada itu, Ir Kamarullaffie menegaskan pembinaan semula Galeri Melayu Banjar di Bagan Serai kelak memberi peluang kepada kumpulan penyelidik luar untuk menjadikannya sebagai sumber rujukan kajian ilmiah, sekali gus memartabatkan masyarakat Banjar di mata dunia.

Menurutnya, cadangan pemindahan galeri itu ke Parit Buntar disambut baik sebelum ini, namun pihaknya berpendapat pembinaan semula galeri ke kawasan Bagan Serai adalah pilihan terbaik.

“Umum sedia maklum populasi masyarakat Banjar di kawasan Bagan Serai adalah lebih padat, malah kawasan Jalan Banjar, Masjid Tinggi sememangnya sinonim dengan masyarakat itu.

“Justeru, Kelab Kulaan Malaysia menyokong penuh saranan Adun Alor Pongsu (Datuk Sham) memohon kerajaan negeri membina semula Galeri Melayu Banjar di kawasan Bagan Serai,” katanya.

Mengenai penganjuran kali kedua Festival Merakyatkan Seni dan Adat Budaya Masyarakat Banjar bertemakan ‘Aroh Wadai Kipeng’, Ir Kamarullaffie memaklumkan program kali ini memberi peluang kepada generasi baharu untuk mengenali dan menghargai keunikan seni serta adat budaya masyarakat Banjar.

Menurutnya, kebanyakan adat tradisi dan budaya amalan seharian sudah dilupakan generasi masa kini.

“Dalam program ini, kita mengetengahkan peluang kepada generasi muda mempelajari kaedah menggentel wadai dan memasak wadai kipeng selain mendedahkan mereka dengan pelbagai jenis masakan Banjar.

“Pada masa sama, inisiatif pengedaran kamus dan lagu tradisional masyarakat Banjar serta pameran senjata tradisional dan persembahan silat turut diadakan,” katanya.

Copyright 2009 Simplex Celebs All rights reserved Designed by SimplexDesign