Pusat Dunia Melayu Uthmaniah dilancar

KL, Malaysia - Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Universiti Fatih Sultan Mahmet Vakif Turki (UFSMV) telah melancarkan Pusat Dunia Melayu – Uthmaniah di Istanbul Turki baru-baru ini.

Penubuhan pusat ketamadunan Melayu ini merupakan jaringan kerjasama antara UIAM dengan Turki hasil daripada pertemuan empat mata antara Presiden UIAM yang juga Penasihat Kerajaan Dalam Hal Ehwal Sosio Budaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan pengurusan tertinggi UIAM ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada Jun tahun lalu yang turut disertai oleh Duta Besar Malaysia ke Turki, Datuk Amran Mohamed Zain.

Turki dipilih kerana ia merupakan sebuah negara Islam yang progresif dan mempunyai sejarah serta kegemilangan tamadunnya yang tersendiri hubungan baiknya yang terjalin dengan Malaysia.

Matlamat utama penubuhan Pusat ini mewujudkan pengajian merangkumi sosio budaya dan ekonomi rantau Nusantara dan Turki khasnya meliputi hubungan diplomatik dalam perdagangan Islam selain dari kebudayaan dan bahasa serta Perbankan dan Kewangan Islam.

Dalam masa yang sama kedua-dua pusat ini juga akan terlibat dalam kajian industri dan teknologi halal.

Rais Yatim ketika menyampaikan ucapan berkata, UIAM menyasarkan an 10 objektif utama bagi mewujudkan Pusat Kajian Dunia Melayu dan Uthmaniah.

Katanya, ini meliputi usahasama akademik sejarah Dunia Melayu Nusantara dan Uthmaniah dalam perbagai aspek selain sosio-budaya, ekonomi, perjuangan mencipta idea dan bahan-bahan tamadun Islam kontemporari serta platform penyelesaian krisis identiti yang dialami Islam sekarang.

“Kedua-dua universiti ini akan berusaha ke arah kecemerlangan penyelidikan ilmu bidang kemanusiaan Islam khasnya Ekonomi, Perbankan dan Kewangan Islam, Kesejagatan dunia Islam dan seni budaya Islam”, katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan Pusat Dunia Melayu – Uthmaniah di universiti itu di Istanbul Turki baru-baru ini.

Yang hadir sama pada majlis tersebut ialah Amran Mohamed Zain, Presiden UFSMV, Ismail Gercek; Rektor UFSMV Dr. Musa Duman, Pengarah Pusat Dunia Melayu-Uthmaniyah di Turki; Prof. Madya Serdar Demirel, Rektor UIAM Prof. Datuk Sri Dr. Zaleha Kamarudin,

Rais menambah, tertubuhnya pusat kajian ini mewujudkan tenaga pengajar yang berlatarkan disiplin penyelidikan Dunia Islam yang lebih luas dan menyeluruh dengan mengambil kira fenomena kehidupan Islam di Asia Barat, China, India dan wilayah-wilayah lain.

“Ia juga sebagai satu pusat untuk menggalakkan bakat kesarjanaan dalam pelbagai bidang pengajian sehingga mencapai mobility pengajar dan penyelidik Dunia Melayu dan Uthmaniah yang lebih meluas.

“Dengan mengambil kira kedudukan Turki sebagai gerbang Eropah yang penting, rantau Melayu Nusantara khususnya Malaysia harus menyertai dan mengambil pelbagai peluang yang boleh dilihat untuk bekerjasama.

“Sehubungan itu, pusat ini perlu memainkan peranan untuk mengubah keadaan di mana ketika ini umat Islam hanya sebagai masyarakat pengguna kepada ledakan barat yang mereka hidangkan kepada kita,” ujarnya.

Pusat yang ditubuhkan ini akan beroperasi di UIAM di Kampus Damansara Kuala Lumpur dan di Universiti Fatih Sultan Mehmet Vaqif Istanbul, ia akan menjadi hab antara dua negara dalam membantu menghasilkan dan menjalankan kajian secara menyeluruh dan terperinci berkenaan pengajian tersebut dan bakal menempatkan barisan tenaga pengajar yang mempunyai pelbagai bidang kepakaran.

Copyright 2009 Simplex Celebs All rights reserved Designed by SimplexDesign