9 kelopak bunga tanjung, lambang identiti Selangor

KL, Malaysia - Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (PADAT) giat mendapatkan hak esklusif sembilan kelopak Bunga Tanjung mewakili identiti daerah di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata keperluan tersebut sebagai simbolik kepada identiti negeri, lapor SelangorKini.

“Pihak perbadanan sedang berusaha mendapatkan hak esklusif corak Bunga Tanjung sembilan kelopak melalui permohonan kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia.

“Inisiatif ini dijalankan supaya simbol perlambangan ini dapat diaplikasi dalam produk kraftangan selain fabrik dan tekstil dalam membentuk identiti Selangor,” katanya pada sidang media ‘Tekat Gubah Bunga Tanjung Terpanjang’ di Muzium Sultan Alam Shah, hari ini.

Bunga Tanjung merupakan bunga rasmi negeri yang digunakan sejak zaman Kesultanan Selangor dan menjadi identiti rasmi golongan istana dan bangsawan sejak dulu.

Bagaimanapun, simbolik kepada pengunaan tersebut semakin dilupakan dalam kalangan masyarakat Melayu khususnya golongan muda ekoran pengaruh budaya luar khususnya.

Yunus berkata, identiti asal negeri sewajarnya diterapkan dalam kalangan muda menerusi pelbagai insiatif jangka panjang bagi memartabatkan industri warisan dan kesenian negeri.

“Untuk mencari sembilan kelopak bunga tanjung ketika ini agak sukar dan atas faktor itulah identiti ini perlu dikekalkan sebagai elemen keseniaan negeri.

“Justeru kita mengharapkan identiti warisan keseniaan Selangor menjadi nadi kepada simbolik warisan negeri dan tidak hanyut ditelan kemajuan zaman teknologi kini,” katanya.


Copyright 2009 Simplex Celebs All rights reserved Designed by SimplexDesign