Tulisan Jawi Perkukuh Jati Diri, Identiti Melayu

Iskandar Puteri, Malaysia - Langkah memelihara dan memperkasa tulisan jawi akan dapat memperkukuhkan jati diri dan identiti orang Melayu sekali gus dapat memastikan kelangsungan kha­zanah yang tidak ternilai itu.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, usaha yang digerakkan Kumpulan Utusan dan JCorp memperkasa tulisan jawi merupakan antara inisiatif pihaknya dalam memastikannya tidak terhakis.

“Kerjasama itu merupakan sebahagian usaha JCorp dalam memastikan tulisan jawi itu tidak terhakis, malah terus dapat menarik minat terutama golongan muda supaya ia terus dapat dimartabat dan diperhebatkan pada masa akan datang.

“Ini kerana, jawi itu merupakan antara identiti Melayu yang perlu kita pelihara,” katanya selepas majlis pertukaran dokumen penajaan kali kedua penerbitan akhbar Utusan Melayu Mingguan oleh JCorp yang disaksikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Moha­med Khaled Nordin di sini hari ini.

Selain diterbitkan dalam bentuk cetak dan akhbar digital, kerjasama berkenaan turut me­rangkumi pewujudan Portal Jawi Utusan Melayu yang boleh diakses secara percuma melalui www.utusanmelayu.com.my bermula hari ini.

Dalam pada itu, Kamaruzzaman berkata, beliau menyambut baik pewujudkan portal tersebut yang dilihat mampu melonjakkan lagi tulisan jawi selain diharap dapat menarik minat terutama golongan muda untuk mempelajarinya.

“Kita berharap kerjasama ke­dua-dua pihak dalam memartabat tulisan jawai dapat diperkukuhkan pada masa akan datang,” katanya.

Copyright 2009 Simplex Celebs All rights reserved Designed by SimplexDesign