Memartabatkan Bahasa Melayu

KL, Malaysia - Isu pencemaran dan peminggiran bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bu­­kanlah perkara baharu ke­­rana feno­mena itu telah lama dibangkitkan oleh pejuang bahasa.

Walaupun teguran itu tidak di­pedulikan oleh banyak pihak kerana pelbagai sebab termasuk faktor komersial dan mahu dilihat lebih bersifat kontemporari, pejuang ba­hasa masih tidak jemu memberikan teguran.

Atas sebab itulah, Sidang Khas Perjuangan Memartabatkan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Kebangsaan anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) dengan kerjasama Kumpulan Utusan diadakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Wakil yang hadir adalah daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan Persa­tuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (PPPPPM) serta pensyarah kanan universiti tempatan.

Banyak isu telah dibangkitkan dan antara yang menarik adalah sikap individu yang gemar menggunakan bahasa Inggeris atau mencampuradukkan bahasa itu dengan bahasa Melayu ketika menyampaikan ucapan pada majlis rasmi.

Pihak berkenaan jelas sekali tidak menghormati peruntukan yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas menyatakan bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

Ancaman daripada puak-puak yang menentang bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menyebabkan Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr. Hasan Mad ketika mempengerusikan sidang ber­kenaan, menyifatkan pihak terbabit sebagai ‘pengganas’ yang sama tarafnya dengan militan Daesh.

“Kami menganggap golongan yang menentang perkara ini sama seperti puak militan Daesh yang mahu ‘membunuh’ bahasa Melayu dan mereka harus dilawan habis-habisan,” tegasnya.

Sikap individu terbabit yang tidak merasa bangga untuk meng­­gunakan bahasa kelima paling ba­nyak dituturkan di dunia walaupun ditegur berkali-kali menyebabkan MPM merancang tindakan drastik termasuk menyerahkan memorandum bantahan kepada Majlis Raja-Raja dan juga Perhimpunan Agung UMNO yang bakal berlangsung.

“Individu yang masih gemar menggunakan bahasa Inggeris da­lam majlis rasmi juga bakal me­ne­rima e-mel amaran yang akan kita hantar setiap kali mereka me­la­kukan perbuatan berkenaan,” je­lasnya.

Dalam pada itu, terdapat peserta sidang berkenaan yang menghimbau era pemberontakan pejuang bahasa pada 1970-an yang menyaksikan ada pihak bertindak mencabut atau menconteng dengan cat merah papan tanda dalam bahasa Inggeris.

Adakah langkah drastik sedemikian perlu diambil? Mungkin situasi itu boleh berulang jika perbuatan meminggirkan bahasa kebangsaan berterusan.

Sementara itu, satu lagi isu yang dibangkitkan ketika sidang itu adalah mengenai perlunya subjek teras seperti Sains dan Ma­tematik diajar dalam bahasa Melayu.

Sehubungan itu, para peserta menyifatkan Kementerian Pendi­dikan mengambil langkah tepat untuk menghentikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) setelah dilaksanakan dari 2003 hingga 2011.

Keputusan berkenaan konsisten dengan kajian yang dijalankan oleh Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM) mengenai kesan negatif dasar PPSMI terhadap pembelajaran Sains dan Matematik bagi pelajar tahun lima dan tingkatan dua.

Menurut felo penyelidik kanan di fakulti berkenaan, Prof. Emeritus Datuk Isahak Haron, kajian mendapati purata lebih 75 peratus pelajar sukar memahami pe­ngajaran guru yang mengajar Ma­tematik dalam bahasa Inggeris.

Hampir 80 peratus pula sukar memahami Sains yang diajar dalam bahasa berkenaan. Pelajar juga sukar memahami buku teks dan buku kerja dalam bahasa Inggeris yang dibekalkan kepada mereka.

Mengulas isu sama, Presiden PPPPPM, Datuk Abdul Raof Hussin berkata, sejajar dengan kajian Fakulti Pendidikan UM dan tinjauan persatuan itu sendiri, pihaknya berpendapat usaha untuk memperkukuhkan penguasaan bahasa Inggeris mesti dilakukan melalui pengajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris dan tidak mengganggu mata pelajaran lain.

“Perbetulkan kaedah pengajaran, pedagogi, lakukan rombakan kurikulum, tingkatkan kepakaran guru, lengkapkan infrastruktur pengajaran, tambah masa pengajaran dan wujudkan persekitaran yang kondusif.

“Sehubungan itu, pihak kami menyokong Program Imersif Tinggi (HIP) Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris yang dicadangkan untuk diguna pakai oleh Kementerian Pendidikan.

“Kita menyokong langkah yang menghendaki sekolah menjalankan aktiviti sokongan bahasa Inggeris bagi menambah masa pendedahan pelajar kepada bahasa tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Raof melahirkan kebimbangan berikutan terdapat usaha terancang pihak tertentu untuk melaksanakan semula program yang mirip PPSMI.

Kebimbangan itu turut dikongsi bersama oleh wakil NGO dan pensyarah universiti yang menghadiri sidang berkenaan. Ada seorang peserta yang telah mencelah dan dengan tegas menyatakan:

“PPSMI ini wujud adalah hasil idea Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Itu adalah idea beliau semata-mata dan tiada sebarang kajian dilakukan sebelum itu untuk mengesahkan keberkesanannya.”

Jika benar seperti yang didakwa. Ini bermakna PPSMI adalah legasi Dr. Mahathir yang telah gagal.

Apakah pemerintah sekarang in­gin meneruskan legasi berke­naan? Adakah kerajaan sependapat de­ngan penyokong tegar Dr. Mahathir yang cukup yakin beliau membuat keputusan tepat sepanjang masa? Sama-sama kita tunggu dan lihat.

-

Arsip Blog

Recent Posts