Cinta lenggok tari Melayu

Kuantan, Riau - Walaupun tarian tradisional sinonim dengan kaum Melayu, namun bagi Bonny Lee Teck Keong, ia bukan asing bagi dirinya apabila mula mencintai seni berkenaan sejak 29 tahun lalu.

Bagi lelaki berusia 48 tahun itu, minatnya terhadap seni tarian tradisional Melayu mula berputik daripada ajakan rakan ketika berkhidmat sebagai artis budaya dengan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

“Saya sendiri tidak menyangka akan menjadi penari dan koreografer kerana niat awal hanya sekadar suka-suka sebelum mendalami pelbagai jenis tarian tradisional di negeri ini secara serius.

“Saya tidak sangka kaum Cina seperti saya mampu belajar tarian inang, joget, zapin, joget Pahang dan pelbagai tarian kaum lain di negara ini,” katanya ketika ditemui di sini, kemarin.

Menurutnya, tarian tradisional Melayu memiliki keistimewaan tersendiri bermula daripada rentak, lenggok dan gaya si penari yang pasti membuatkan penonton puas setiap kali menonton.

“Saya anggap tarian tradisional ini unik, padat dan sarat dengan nilai murni seperti hormat-menghormati antara guru dan rakan penari lain, bersalaman dengan mereka yang lebih tua, berdisiplin selain menyanjung tinggi warisan tradisi,” katanya.

Katanya, dia menggunakan sepenuhnya peluang sepanjang lima tahun berkhidmat di MPK dengan mempelajari teknik asas tarian dan jenis tarian pelbagai kaum sebelum meletak jawatan pada 2000.

“Ramai yang menyaksikan saya menari di pentas tidak percaya saya berbangsa Cina. Mereka kata mungkin keturunan Melayu tetapi hakikatnya saya adalah Cina tulen. Saya akui sebenarnya lebih pandai tarian Melayu berbanding tarian Cina.

“Saya bergaul dengan orang Melayu tanpa fikir sempadan perkauman, malah guru tarian saya terdiri daripada masyarakat Melayu. Hubungan kami akrab antara satu sama lain,” katanya.

Copyright 2009 Simplex Celebs All rights reserved Designed by SimplexDesign