Joget Warisan Melayu

Melaka, Malaysia - Menyelusuri arus kemodenan, tidak dinafikan unsur tradisi dan warisan sesebuah negara itu semakin tenggelam dek budaya baru terutamanya yang datang dari luar.

Tidak mahu warisan dan tradisi ini pupus begitu sahaja, Jabatan Kebudayaan Dan Kesenian Negara (JKKN), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri Melaka mengambil inisiatif untuk menganjurkan Joget@Melaka 2016 (JAM2016).

Tarian Joget sebenarnya merupakan tarian rakyat yang diterima oleh semua golongan lapisan masyarakat Malaysia.

Malah, cabang seni ini juga merupakan salah satu genre tarian dalam kebudayaan Melayu.

Asal-usul Joget adalah rentetan daripada kedatangan Portugis ke Melaka yang turut membawa tarian “Branyo”.

Menurut Pengarah Komunikasi Korporat JKKN, Ezlina Alias, fokus tahun ini memang diberikan kepada tarian tradisi yang cukup dikenali di Melaka.

“Sebelum ini kita mengangkat seni tarian tradisional dari seluruh negara di Malaysia tetapi untuk tahun ini, kita fokus kepada tarian khas yang ada di Melaka sendiri.

“Kita hendak mengangkat kesenian tradisional joget sebagai salah satu acara di bawah pelancongan budaya tempatan,” jelasnya.

Tarian itu telah menyuntik elemen tarian sosial masyarakat iaitu joget yang telah menjadikan ianya salah satu tarian yang diminati oleh masyarakat tempatan pada ketika itu.

Menariknya, untuk program ini, seramai 235 orang peserta pelbagai kaum akan turut terlibat untuk sama-sama menari di Kota A. Famosa, Jalan Kota, Banda Hilir, Melaka.

Program yang akan berlangsung pada 15 Oktober depan ini akan dibahagikan mengikut lima segmen.

Segmen pertama ialah Langkah Joget dan diikuti dengan Harmoni Joget, Tamu Joget, Ritma Joget dan Riuh Joget (Joget Lambak).

Akan berlangsung selama dua jam bermula pukul 8.30 malam hingga 11.30 malam, program ini juga mahu menjadikan joget sebagai sebahagian daripada medium perpaduan masyarakat.

Melihat kepada media sosial yang memainkan peranan penting dalam kehidupan sekarang, program seperti ini sememangnya perlu ada.

Sekurang-kurangnya golongan muda terutamanya tidak lupa dengan warisan dan tradisi dalam bidang seni tarian yang selama ini menjadi cabang perpaduan negara.

Copyright 2009 Simplex Celebs All rights reserved Designed by SimplexDesign