Angkat Budaya di Pentas ASEAN

Kuala Lumpur, Malaysia - Kumpulan Kesenian Adikarma Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengangkat seni dan budaya negara menerusi pentas persembahan dalam progam ASEAN Cultural Exchange 2017 di Thailand baru-baru ini.

Program itu diadakan sempena Minggu Terbuka Prince of Songkla University (PSU) Kampus Trang pada 25 hingga 30 Januari lalu dan Festival Melayu Wilayah Che Bilang, Satun, Thailand pada 28 hingga 29 Januari lalu.

Pegawai Kebudayaan Kanan, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (BHEPA) USM, Zulkifli Che Hussin berkata, program itu memberi pendedahan dan pertukaran budaya antara negara dan lebih manis melalui institusi pendidikan tinggi seperti USM.

Beliau berkata, melalui penyertaan itu, USM berpeluang menunjukkan bakat budaya yang dimiliki oleh penuntutnya dari pelbagai latar belakang ke seluruh pelusuk dunia melalui seni persembahan.

Katanya, usaha itu sekali gus dapat menyerlahkan kemantapan serta kredibiliti USM yang meskipun merupakan sebuah universiti berteraskan sains, namun masih mampu melahirkan bakat kesenian dalam kalangan penuntutnya.

“Program ASEAN Cultural Exchange 2017 ini menghimpunkan university di bawah negara ASEAN bagi mengadakan perkongsian ilmu, pertukaran dan pembelajaran kemahiran kebudayaan melalui persembahan dari universiti dan negara masing-masing.

“Festival Melayu Wilayah Che Bilang pula untuk memartabatkan bangsa dan budaya Melayu di daerah Satun, Thailand selain mengeratkan hubungan perpaduan antara peradaban Melayu Thailand dan Melayu asli,” katanya.

Menurutnya, Program ASEAN Cultural Exchange 2017 melibatkan beberapa acara seperti bengkel kebudayaan, sesi mempelajari dan mempersembahkan kebudayaan negara dan persembahan kebudayaan setiap universiti.

Selain itu, turut diadakan, kata beliau, ucaptama bertajuk ASEAN: Kesatuan Dalam Kepelbagaian oleh bekas Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan, forum berkenaan ‘Memahami ASEAN’ dan sesi pembentangan akademik tentang budaya dan gaya hidup masyarakat ASEAN.

-

Arsip Blog

Recent Posts