Alat kebesaran Diraja: Keunikan istiadat pertabalan Agong

Oleh Lizawati Bahanan

Istiadat pertabalan Yang diPertuan Agong merupakan satu upacara istimewa kerana pada hari itulah rakyat dapat menyaksikan alatalat kebesaran Seri Paduka.

Salah satu daripada alat itu ialah singgahsana yang merupakan lambang kebesaran takhta kerajaan sesebuah negara di mana Raja yang memerintah akan bersemayam dengan penuh istiadat.

Singgahsana di Balairong Seri di Istana Negara dibina sebagai sebuah struktur yang mempunyai nilai seni yang bermutu tinggi, bersesuaian untuk kegunaan rasmi Yang diPertuan Agong dalam melaksanakan tugas negara.

Singgahsana itu diukir dengan motif menggabungkan ciri-ciri awan larat dari Semenanjung serta Sabah dan Sarawak bagi melahirkan satu identiti kebangsaan yang unggul.
Warna emas yang digunakan pada motifmotif ukiran bertujuan menambahkan seri serta keagungannya.

Keseluruhan reka bentuk menurus ke atas bagi memberi makna segala makhluk yang diciptakan Tuhan mesti mengingati pencipta alam iaitu Allah.

PAKAIAN ISTIADAT
Pakaian memainkan peranan penting bagi setiap acara, apa tah lagi bagi istiadat pertabalan Raja-Raja Melayu, menerusi pakaian juga dapat membezakan darjah atau pangkat seseorang.

Pakaian rasmi bagi upacara pertabalan dikenali sebagai `Muskat'. Baju yang berasal dari negara Muskat iaitu negara Oman sekarang. Asalnya pakaian rasmi pegawaipegawai negeri Kedah.

Muskat, yang mula dipakai pada 1960 ketika pertabalan Yang diPertuan Agong yang ketiga, diilhamkan oleh Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.
Baju ini diperbuat daripada benang bulu berwarna hitam, dijahit dengan sulaman benang emas bercorak awan larat dan bunga raya yang melambangkan bunga kebangsaan Malaysia.

Baju ini labuh hingga ke peha, berlengan panjang, ia dipakai bersama dengan seluar panjang bersulam di kaki dan bertengkolok dalam majlis-majlis sempena hari pertabalan, keputeraan, lawatan rasmi ke seluruh negeri dan perasmian penggal persidangan Parlimen.

Selain Muskat, Tengkolok merupakan pakaian kebesaran RajaRaja Melayu. Dibuat daripada kain hitam bersulam benang emas dengan soleknya (bentuk ikatan) yang dinamakan `Dendam Tak Sudah' berasal dari Negeri Sembilan.

Di hadapannya dipasangkan anak bulan pecah 14 diperbuat daripada emas putih dan di tengahtengah bintang terletak lambang Kerajaan Malaysia.

Pending merupakan antara pelengkap pakaian istiadat pertabalan. Diperbuat daripada emas 10 mutu bertatah dan bersulam permata delima dan tertera lambang Kerajaan Persekutuan.
Tali bengkungnya dibuat daripada kain sakhlat bertekad bungabunga dengan benang emas.

KERIS DIRAJA
Keris merupakan salah satu pakaian kebesaran diraja yang hanya dipakai oleh Yang diPertuan Agong.
Terdapat dua jenis keris iaitu Keris Pendek Diraja dan Keris Panjang Diraja.
Keris Pendek Diraja diperbuat daripada mata keris lama dengan berhulu dan bersarungkan gading bertatahkan emas.

Hulu keris dinamakan `Hulu Pekaka' dan berupa kepala `Garuda'. Disampirnya diterapkan lambang Kerajaan Persekutuan.
Keris Panjang Diraja merupakan alat kebesaran utama dalam istiadat pertabalan. Ia adalah lambang kebesaran dan kekuasaan.

Dari hulu hingga ke sarungnya keris ini disalut emas dan di atas sampirnya diterapkan lambang Kerajaan Persekutuan dan lambang 11 negeri Tanah Melayu. Matanya ditempa dari besi waja yang diambil dari 11 bilah keris.

Hulu keris berbentuk Tapak Kuda dengan hiasan yang merupakan buah jering, keris ini dibawa oleh Yang diPertuan Agong hanya dalam istiadat tertentu sahaja.

GENDIK, KALUNG DIRAJA
Gendik merupakan pakaian bagi Raja Permaisuri Agong, diperbuat daripada emas putih bertatah permata berlian berbunga awan larat. Di tengahtengahnya terdapat anak bulan dengan bintang.

Gendik dipakai dalam istiadat kebesaran dan hari pertabalan. Ia dibuat khas supaya boleh dicerai menjadi loket dan kerongsang.

Kalung Diraja merupakan perhiasan yang dipakai oleh Raja Permaisuri Agong, diperbuat daripada emas putih bertatah penuh dengan berlian. Kalung ini juga boleh diceraikan menjadi sepasang subang, kerongsang dan kerabu.

COGAN ALAM DAN ALAT KEBESARAN DIRAJA YANG LAIN
Cogan Alam mempunyai ketinggian 162.66cm diperbuat dari perak dan mempunyai bulatan di atas hulu tongkat. Di atas bulatan ini dibuat anak bulan dan bintang daripada emas.

Di sekeliling bulatan pula diterapkan dengan lambang 11 negeri Tanah Melayu juga diperbuat daripada emas, bulatan itu pula ditanggung oleh empat lembaga harimau manakala tongkat dihiasi dengan batang padi daripada emas.

Selain itu Cogan Agama juga diperbuat daripada perak, mempunyai ketinggian 155.04cm. Ia merupakan sebatang tongkat bulat berhulu besar.

Di atas hulu tongkat diperbuat anak bulan dengan bintang pecah lima daripada emas. Batang dan hulu Cogam Agama diterapkan dengan ayatayat suci al-Quran.
Cokmar pula ialah dua batang tongkat pendek berhulukan kubah, ia adalah alat perang di zaman dahulu. Diperbuat daripada perak, mempunyai ketinggian 81.32cm.

Alat kebesaran diraja yang lain ialah Pedang, Keris Panjang dan Sundang Diraja. Alat kebesaran ini asalnya merupakan senjata Melayu yang diambil daripada mata pedang panjang dan sundang zaman purbakala.

Keris Panjang dan Sundang disalut dengan perak serta berukir pada hulu dan sarungnya.
Seterusnya terdapat 20 kaki Payung Ubur-ubur Kuning yang diperbuat daripada kain sutera berwarna kuning raja, iaitu warna yang dipandang mulia. Di kemuncaknya dipasangkan anak bulan dengan bintang.

Selain itu terdapat 20 batang Tombak Berambu yang matanya berlok tiga diperbuat daripada tombak-tombak pusaka dari 11 buah negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Nobat merupakan satu cabang seni muzik tradisi yang terdapat di Malaysia. Terdapat empat buah negeri yang mempunyai kumpulan alat muzik Nobat iaitu Kedah, Terengganu, Perak dan Selangor.