UKM Terbitkan Ensiklopedia Kejuruteraan Bahasa Melayu

Bangi, Malaysia - Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) pertama di negara ini yang menerbitkan ensiklopedia kejuruteraan dalam bahasa Melayu.

Buku ilmiah bertajuk Ensiklopedia Kejuruteraan Alam Melayu itu adalah hasil tulisan dan kajian yang telah dilakukan oleh 29 pakar dalam pelbagai bidang termasuk seni kreatif, agraria serta pertukangan dan seni bina.

Menurut Pro-Canselor UKM, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, usa­ha sebegitu merupakan satu evolusi menarik yang boleh dikongsi kepada orang Melayu, khususnya generasi muda pada masa kini.

Beliau berkata, kebijaksanaan orang Melayu dalam pelbagai bidang tidak dapat disangkal lagi dengan adanya buku ini sebagai bukti.

“Buku ini berkaitan dengan aspek kebudayaan, contohnya olahan pada zaman Kesultanan Melayu Melaka terdahulu. Saya percaya, ini mampu meningkatkan semangat patriotik kepada semua lapisan masyarakat.

“Selain itu, jiwa dan minda orang Melayu sangat dekat dengan alam sekitar. Keakraban mereka dengan keindahan alam tidak dapat dipisahkan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan pelancaran buku tersebut di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Editor, Prof. Madya Dr. Mariyam Jameelah Ghazali dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Jaringan Industri Masyarakat, Prof. Dr. Imran Ho Abdullah.

Menurut Ahmad Sarji, mahasiswa dan pelajar sekolah sangat memerlukan bahan bacaan seperti ini bagi meningkatkan ilmu pengetahuan.

“Oleh sebab itu, pihak sekolah dan universiti memainkan peranan penting untuk menyediakan buku tersebut di setiap perpustakaan masing-masing.

“Hal ini kerana terdapat golongan yang tidak mampu mendapatkan buku itu, sekali gus menyebabkan mereka ketinggalan dalam pendidikan dan pengetahuan,” katanya.

-

Arsip Blog

Recent Posts