Malaysia Kekal Menjadi Destinasi Pilihan Pelancong China

Yinchuan - Malaysia kekal menjadi destinasi pilihan bagi pelancong China di sebalik publisiti buruk dan pakej pelancongan "zero cost" yang meragukan ditawarkan oleh pengusaha pelancongan Malaysia.

Anggota Majlis Penasihat Pasaran China Tourism Malaysia Datuk Tan Jing Nam yakin tiada pasaran lain kecuali Taiwan, Singapura dan Malaysia di mana pelancong China berasa selesa seperti di tanah air sendiri semasa bercuti di luar negara.

"Malaysia merupakan destinasi pilihan mereka yang ketiga terbesar selepas Taiwan dan Singapura. Kita mempunyai sejumlah besar penduduk yang boleh berbahasa Cina dan juga terdapat pelbagai makanan Cina," katanya.

Tan, yang juga pengarah urusan kumpulan Tanco Holdings Berhad, berkata itu merupakan antara perkara dibincangkan oleh majlis itu sejak ditubuhkan pada akhir tahun lepas.

"Setakat ini, kami telah bermesyuarat tiga kali. Kami memberikan cadangan dan maklum balas kepada Kementerian Pelancongan, yang juga sekretariat majlis ini," katanya.

Bagaimanapun, Tan berkata 15 anggota majlis itu juga menegaskan amalan pakej pelancongan "zero cost" oleh pengusaha pelancongan Malaysia mesti dihentikan.

"Selain daripada itu, pihak berkuasa Malaysia juga perlu lebih memahami pasaran China, terutamanya dengan peningkatan jumlah golongan berada mereka melancong ke luar negara.

"Kini terdapat kira-kira 30 juta warga China bercuti ke luar negara. Menjelang 2010, jumlah itu dijangka meningkat kepada kira-kira 100 juta. Ia pasaran yang besar," katanya.

Tan berkata juga perlunya pengendalian yang lebih baik pelancong China ke Malaysia bagi mengelakkan persepsi buruk.

"Terdapat kes pegawai tinggi China seperti Datuk Bandar dan Naib Datuk Bandar melawat Malaysia atas kapasiti peribadi, tetapi berakhir dengan ditahan pihak berkuasa kerana disyaki cuba mencari kerja di Malaysia," katanya.

Oleh itu, katanya majlis itu telah mengemukakan beberapa cadangan dan memberikan maklum balas kepada Kementerian Pelancongan mengenai bagaimana untuk memperbaiki industri pelancongan.

Anggota majlis itu termasuk beberapa peneraju perniagaan terkemuka Malaysia seperti Tan Sri William Cheng, Tan Sri Robert Kuok, Tan Sri Lim Giat Tong dan bekas Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar Datuk Seri Law Hieng Ding.

"Kebanyakan daripada kami mempunyai pelaburan di China dan kami menggunakan pengalaman dan pengetahuan kami untuk membantu Kementerian Pelancongan untuk membawa masuk lebih ramai pelancong ke Malaysia," kata Tan.

Sumber: Bernama (29 Juni 2007)
-

Arsip Blog

Recent Posts