Wujudkan Akta Martabat Bahasa Melayu

Kuala Lumpur, Malaysia - Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) menggesa kerajaan mewujudkan satu akta bagi menguatkuasakan undang-undang terhadap pihak yang gagal melaksanakan penggunaan bahasa Melayu secara menyeluruh dalam urusan pentadbiran termasuk di institusi penganjian tinggi awam (IPTA).

Ketua I Gapena, Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, cadangan mewujudkan akta ber­kenaan sudah lama dikemukakan kepada pihak berkaitan namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan diambil.

“Sebagai contoh, banyak IPTA kini menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sedangkan bahasa rasmi negara adalah bahasa Melayu seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan.

“Kenapa nak guna bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam penyampaian kuliah? Adakah jika guna bahasa Melayu, ranking universiti tidak setara dengan peringkat antarabangsa?,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menjadi seorang daripada ahli panel Forum Cabaran Bahasa Kebangsaan Dalam Era Globalisasi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kementerian Pendidikan, di sini hari ini.

Forum yang turut dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr. Awang Sariyan itu juga menampilkan dua lagi ahli panel iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Datuk Seri Dr. Md. Salleh Yaapar dan Presiden Persatuan Penterjemahan Malaysia, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan.

Dalam pada itu, Abdul Latiff menyatakan kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan boleh mengambil langkah ‘mewajibkan’ penggunaan bahasa Melayu ter­utamanya dalam penerbitan buku-buku atau jurnal ilmiah di IPTA bagi memupuk minat pensyarah dan pelajar untuk menghayati bahasa Melayu.

Sementara itu, Md. Salleh berkata, bahasa Melayu kini diancam kepupusan ekoran wujud golo­ngan pengkhianat bahasa yang tidak mahu memartabatkan bahasa ibunda.

Beliau menjelaskan, ada golongan beranggapan bahasa Melayu adalah kolot dan tidak boleh dipraktikkan dalam apa jua situasi dan bidang, lebih-lebih lagi dalam era terkini.

“Ada orang Melayu rasa dia le­bih bergaya dan nampak bijak jika bercakap dalam bahasa Inggeris, sedangkan jika di negara lain, rak­yatnya lebih suka berkomunikasi dengan bahasa ibunda seperti di Jepun, Perancis dan Korea. Mereka tidak akan melayan pertanyaan dalam bahasa asing melainkan bahasa sendiri,” ujarnya.

Abdullah pula berkata, karya yang dihasilkan dalam bahasa Melayu juga setanding dengan penulisan antarabangsa dan orang Melayu perlu membuang tanggapan bahawa menulis dalam bahasa Inggeris akan lebih mudah difahami dan bersifat global.

“Hakikatnya, masyarakat akan lebih faham dan menghayati sesuatu hasil penulisan itu jika dihasilkan menggunakan bahasa ibunda, biarpun mereka pakar dalam bahasa lain,” katanya.

“Sebagai contoh di China, mereka menterjemahkan semua penerbitan bahasa asing kepada bahasa ibunda dan dapat dilihat rakyatnya mencipta kemajuan daripada bahasa sendiri,” jelasnya.

-

Arsip Blog

Recent Posts