Tulisan Jawi Perlu Diarusperdanakan Semula

Kuala Lumpur, Malaysia - Teras Pengupayaan Melayu (Teras) prihatin isu tulisan jawi semakin diancam kepupusan.

“Jelas proses ia terpupus ialah akibat tulisan rumi lebih menjadi pilihan,” ujar Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid dalam satu kenyataan.

Malang lagi, katanya ialah akibat kerajaan sendiri yang tidak lagi memperakui tulisan jawi dalam pentadbiran dan program nasional.

Justeru, pihaknya menggesa program mengarusperdanakan tulisan jawi dilancar semula oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai sebuah agenda nasional.

Katanya, DBP yang mempunyai sumber dan wibawa sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab mengembangkan dan mempertahankan bahasa dan pustaka bangsa tidak boleh berlepas tangan dalam isu pupusnya tulisan jawi.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) prihatin isu tulisan jawi semakin diancam kepupusan. Jelas proses ia terpupus ialah akibat tulisan rumi lebih menjadi pilihan. Malang lagi ialah akibat kerajaan sendiri yang tidak lagi memperakui tulisan jawi dalam pentadbiran dan program nasional.

Lebih parah, generasi muda Malaysia, yang diharap memikul tanggungjawab mempertahankan tulisan itu, kini semakin meminggirkan tulisan warisan yang wujud sejak tahun 1300 itu.

Kami kesal pemegang jawatan yang berkuasa untuk mempertahankan jawi ternyata tidak mengambil peduli terhadap kepupusan tulisan jawi.

Malah yang lebih memalukan apabila seorang ilmuan berbangsa Korea, Prof Dr Kang Kyoung Seok yang meluahkan pandangannya terhadap nasib tulisan jawi.

Sejak 1967 bila sistem pendidikan telah menetapkan tulisan jawi diganti kepada rumi, Utusan Melayu yang satu-satunya surat akhbar tulisan jawi akhirnya terkubur pada 2005.

Akibatnya generasi muda Malaysia kini terputus hubungan dengan tulisan jawi dan usaha mempertahankan jawi telah berakhir.

Tulisan jawi sepatutnya dipertahankan di peringkat dasar kerajaan dengan memperundangkannya agar terkawal dari kepupusan seperti yang dilakukan oleh Brunei.

Prof Dr Kang malah menyuarakan pandangan yang sepatutnya diberi perhatian yang sangat serius oleh warga Malaysia. Menurutnya memang ramai warga asing berminat dengan tulisan ini tetapi hanya minat mengkaji, jarang ada warga asing seperti saya yang berusaha untuk pertahankan tulisan ini.

Kami berpendapat bahawa Malaysia harus mengambil contoh dari Brunei yang memperundangkan tulisan jawi.

Walaupun keseseluruhnya anak muda tidak lagi memilih jawi dalam pengajian mereka namun menerapkannya kembali secara undang-undang diperingkat sekolah seharusnya diintensifkan sehingga tulisan tersebut kembali menjadi tulisan berwibawa.

Sebenarnya membunuh tulisan jawi bermula dari sekolah lagi bila penggunaan tulisan jawi telah ditamatkan sendiri oleh Kementerian Pelajaran di bawah Menteri Khir Johari sekitar 1967.

Malangnya tidak berlaku penentangan daripada pihak pemimpin-pemimpin yang berkuasa ketika itu.

Harus diingat bahawa kegagalan mengembalikan tulisan jawi untuk menjadi tulisan arus perdana merupakan perkhianatan ke atas khazanah bahasa, budaya dan agama.

Malangnya hal ini tidak dipedulikan oleh pihak kerajaan dan pelbagai organisasi Melayu sendiri.

Adalah menjadi suatu tempelakkan yang memalukan apabila Prof Kang itu sendiri menyatakan tulisan jawi adalah suatu warisan universal bagi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan tidak seharusnya diletakkan eksklusif hanya kepada bangsa Melayu semata-mata.

Soalnya kenapa tulisan jawi yang merupakan khazanah yang wujud sejak dahulu lagi di negara ini dan diterima pakai oleh semua masyarakat Malaysia sebelum tulisan rumi diperkenalkan sekitar tahun 1960-an kini ia menjadi sangat asing dan janggal untuk diguna semula sebagai tulisan arus perdana.

Kami menggesa program mengarusperdanakan tulisan jawi dilancar semula oleh pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai sebuah agenda nasional.

DBP yang mempunyai sumber dan wibawa sebagai sebuah institusi yang bertanggungjawab mengembangkan dan mempertahankan bahasa dan pustaka bangsa tidak boleh berlepas tangan dalam isu pupusnya tulisan jawi.

-

Arsip Blog

Recent Posts