Jawi Perlu Diajar dalam Subjek Bahasa Melayu

Kuala Lumpur, Malaysia - Penggunaan jawi perlu dikembalikan ke tempat yang lebih adil dan berkesan iaitu dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu sama ada di sekolah kebangsaan (SK) atau sekolah menengah kebangsaan (SMK).

Pensyarah Kulliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Rosnani Hashim berkata, ini bagi meluaskan penggunaannya dalam kalangan pelajar sekolah sekali gus meningkatkan pemahaman mereka terhadap subjek Pendidikan Islam yang menggunakan jawi sebagai pengantar dalam tulisan dan bacaan.

“Penggunaan jawi sebagai pengantar tulisan dan bacaan dalam subjek Pendidikan Islam sahaja harus dilihat semula kerana kajian mendapati ia menghambat pemahaman agama Islam dalam kalangan murid.

“Bagi meluaskan penggunaannya, jawi perlu juga diajar dalam Bahasa Melayu, tambahan pula ia merupakan pengantar asal kepada bahasa kebangsaan tersebut,” katanya dalam Muzakarah Pakar: Pembentangan Kajian Keberkesanan Pendidikan Islam anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini hari ini.

Beliau membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk Kajian Keberkesanan Kaedah Pengajaran, Sukatan Pelajaran dan Pentaksiran Pendidikan Islam di Sekolah Rendah dan Menengah Kebangsaan: Dapatan Keseluruhan dan Analisis.

Menurut Rosnani, majoriti guru yang terlibat dalam kajiannya bersetuju bahawa pelajar kurang membaca teks Pendidikan Islam dalam jawi sebaliknya lebih gemar membaca dan menulis dalam rumi.

Beliau juga mendapati, majoriti guru bersetuju pelajar tidak lancar membaca dalam jawi sekali gus menjadikannya penghalang untuk mereka memahami dan mendalami Pendidikan Islam.

“Hasil dapatan daripada soal selidik terhadap pelajar SMK sendiri pula menunjukkan bahawa mereka tidak bersetuju aspek latihan dan ujian dilakukan dalam tulisan jawi serta tidak bersetuju bahawa mereka boleh menulis jawi dengan lancar,” katanya.

Seorang lagi pensyarah dari Kulliyyah Pendidikan UIAM, Prof. Madya Adnan Abd. Rashid turut memperolehi dapatan yang sama berhubung penguasaan jawi dalam kalangan pelajar melalui kertas kerjanya yang bertajuk Kajian Aspek Sukatan Pelajaran Pendidikan Islam Secara Umum dan Jawi Sebagai Pengantar Tulisan di Sekolah Rendah dan Menengah Kebangsaan.

Beliau turut berpendapat penggunaan jawi tidak seharusnya dibataskan ke dalam subjek Pendidikan Islam sahaja sebaliknya perlu juga diajar dalam subjek Bahasa Melayu.

Katanya, kelemahan kebanyakan pelajar dalam menguasai kemahiran jawi amat membimbangkan kerana ia menjadi penghalang kepada mereka untuk memahami Pendidikan Islam sekali gus menjejaskan penghayatan terhadap Islam dalam kehidupan.

“Dalam menghadapi cabaran ini, kemahiran jawi perlu diberi perhatian yang sewajarnya seperti dijadikan subjek berasingan dan peruntukan masa bersesuaian seperti mana yang pernah diajar di sekolah suatu ketika dahulu.

“Sekiranya jawi menjadi pengantar untuk subjek Pendidikan Islam semata-mata, keadaan ini tidak akan memberi sebarang penyelesaian sebaliknya menjadikan masalah terus berpanjangan,” katanya.

-

Arsip Blog

Recent Posts