Kelemahan Bahasa Melayu, Tidak Patah Semangat Pelajar Thai Untuk Berjaya

KL, Malaysia - Lima tahun lalu, Kodeeyah Malem, 17, kurang fasih berbahasa Melayu, tetapi setelah memasuki Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur (SMKAKL) di sini, pelajar Thailand itu kini mampu bertutur dalam bahasa itu dengan lancar.

Malah, lebih membanggakan, Kodeeyah yang mewakili sekolah itu, telah menjuarai pertandingan debat pelajar Thailand yang menuntut di Malaysia pada tahun lepas.

Pelajar tingkatan lima itu berkata semasa dia mula belajar di SMKAKL pada 2011, penguasaan bahasa Melayunya amat lemah, bagaimanapun pergaulan dengan rakan sekolah telah memantapkan kemahiran bahasanya.

"Pada permulaan, saya langsung tidak boleh berbahasa Melayu, hanya faham sepatah dua perkataan sahaja, ini membuatkan saya rasa susah untuk memahami pelajaran," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Kini, selain bahasa Melayu, Kodeeyah yang boleh bertutur dalam bahasa Arab, turut mempelajari bahasa Inggeris di sekolah itu.

Dia turut menawarkan diri untuk menjadi pengacara majlis di sekolahnya bagi memupuk keyakinan dalam bertutur di hadapan khalayak ramai.

Fatin Payo, 17, pelajar tingkatan empat sekolah itu pula berkata sistem pembelajaran di Malaysia banyak membantu kejayaannya untuk memperoleh 11A dalam peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tahun lepas.

"Saya sangat bersyukur dapat belajar di sini kerana banyak ilmu yang saya dapat dan pengalaman yang tidak pernah saya tempuhi selama ini, saya bukan sahaja dapat menguasai bahasa Melayu malah bahasa Inggeris sekali," katanya.

Kodeyaah dan Fatin merupakan antara 55 pelajar Thai yang belajar di SMKAKL di bawah program kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Thailand untuk membantu pelajar Muslim di selatan Thailand mendapat peluang pendidikan di Malaysia.

Sementara itu, Pengetua SMKAKL Kamarul Ariffin Mohd Sharif berkata program penempatan pelajar Thailand itu banyak membantu pelajar tersebut belajar dengan baik dan mengembangkan kebolehan mereka dengan mengikuti aktiviti yang disediakan di sekolah.

"Kami bersyukur kerana dapat mendidik mereka hingga dapat menguasai ilmu yang diajarkan, malah lebih baik daripada sasaran kami. Ibu bapa juga bangga dengan peningkatkan pembelajaran anak-anak mereka," katanya.

Beliau berkata SMKAKL menerima pelajar Thai dari bahagian wilayah sempadan selatan Thailand iaitu Pattani, Narathiwat, Yala, Songkhla dan Satun hanya pada tahun 2011 dan 2012 sahaja.

"Kini terdapat 55 pelajar Thailand yang menuntut di sini dengan tingkatan empat seramai 25 orang (12 lelaki, 13 perempuan) manakala tingkatan lima seramai 30 orang (masing-masing 15 lelaki dan perempuan)," katanya.

Beliau berkata kerajaan Malaysia mula menerima pelajar Thailand sejak 2007 iaitu di Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang dan SMAP Labu, Negeri Sembilan, iaitu dengan pengambilan 60 orang setiap tahun.

Kamarul Ariffin berkata semua perbelanjaan pelajar dari Thailand itu ditanggung oleh kerajaan Malaysia termasuk buku sekolah dan kemudahan asrama.

Beliau berkata untuk enam bulan pertama iaitu pada Jun hingga November, para pelajar akan dimasukkan ke kelas peralihan untuk mempelajari bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Arab dan Pendidikan Islam supaya dapat menguasai mata pelajaran berkenaan dengan lebih baik.

Pada tahun berikutnya, barulah mereka dimasukkan ke tingkatan satu dan di SMKAKL, bagi peringkat menengah atas, pelajar boleh memilih sama ada aliran Sains Tulen atau Agama Ikhtisas sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di tingkatan lima.

-

Arsip Blog

Recent Posts