Universiti Ohio Tawar Pengajian Bahasa Melayu

Ohio, Amerika Serikat - Univerisiti Ohio, Athens kini menawarkan pengajian Bahasa Melayu di universiti itu bagi memberi peluang kepada pelajar asing mempelajari bahasa tersebut.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau gembira kerana buat pertama kalinya Bahasa Melayu diajar di universiti itu dengan kumpulan pertama pelajar adalah seramai 14 orang.

"Saya dimaklumkan seramai 14 orang pelajar Amerika dan pelajar asing lain kini mempelajari Bahasa Melayu," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran Program Outreach Malaysia @ Universiti Ohio : Meraikan Lima Dekad Kerjasama Strategik di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan turut mengucapkan tahniah kepada Penyandang Kursi Tun Abdul Razak di universiti itu, Prof. Dr. Habibah Ashari kerana menjayakan usaha itu dan Pusat Pengajian Antarabangsa yang menyokong usaha dilakukan oleh Habibah.

Katanya, mungkin agak sukar untuk pelajar-pelajar asing mempelajari Bahasa Melayu.

Beliau berharap Universiti Ohio akan terus menawarkan pengajian Bahasa Melayu kepada pelajar universiti itu.

Sementara itu, menurut Habibah, pengajian Bahasa Melayu yang ditawarkan sejak Ogos lalu itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelajar asing berbanding program bahasa lain.

"Pengajian Bahasa Indonesia ada tiga orang pelajar sahaja, Bahasa Khmer seorang, justeru apabila 14 pelajar mendaftar mempelajari Bahasa Melayu, ia sesuatu yang membanggakan," katanya.

Beliau berkata, pengajian bahasa itu menawarkan tiga jam kredit kepada pelajar.

Katanya, selain Bahasa Melayu, pengajian Bahasa Indonesia, Kemboja dan Khmer turut ditawarkan di universiti tersebut.

-

Arsip Blog

Recent Posts