Bahasa Melayu Medium Paling Berkesan Perkasa Hubungan Rakyat Malaysia-Thailand

Kangar, Malaysia - Bahasa Melayu adalah medium paling berkesan untuk memperkasakan hubungan rakyat Malaysia dan Thailand yang telah berada pada tahap baik.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah Bahasa Melayu mudah dituturkan kerana kebanyakan wilayah di selatan Thailand menggunakan bahasa tersebut cuma dialek yang sedikit berbeza.

"Saya menyeru agar Bahasa Melayu diletakkan pada tempat sewajarnya sebagai bahasa pengantara dengan memperluaskan penggunaannya supaya terus berkembang dan dekat di hati kita," titah baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika merasmikan Sukan Satun-Perlis 2015 di Sekolah Projek DiRaja Rajaprajanugroh 42 di Satun, petang semalam.

Kenyataan media program itu dikeluarkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, di sini hari ini.

Menurut baginda pertukaran pelajar, penganjuran kursus atau program bersama berkaitan Bahasa Melayu dapat mempercepatkan penguasaan bahasa itu di samping menambah baik keakraban hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

"Program hari ini mendedahkan golongan muda aspek penting seperti perpaduan, kerjasama, persefahaman, semangat setiakawan dan saling menghargai.

"Perbezaan budaya bahasa bukan penghalang dalam sukan yang merupakan aktiviti yang digemari oleh ramai orang," titah baginda.

Program empat hari yang bermula semalam itu diilhamkan Tuanku Syed Faizuddin dan dianjurkan oleh YTSP Perlis dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Wilayah Satun dan Jabatan Pelajaran Perlis.

Ia membabitkan 15 pemain bola sepak dan sembilan pemain sepak takraw terbaik berumur 13 tahun ke bawah dari Sekolah Sukan Perlis yang akan didedahkan teknik permainan oleh pengajar dan pemain terbaik dari Wilayah Satun.

Copyright 2009 Simplex Celebs All rights reserved Designed by SimplexDesign