Johor Bahru, Malaysia - Masyarakat Melayu perlu memastikan kelangsungan budaya dan tradisi diwarisi, sekiranya ingin menjadi sebuah bangsa yang besar.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebuah bangsa yang besar itu merupakan bangsa yang berbudaya tinggi dan berfikiran termaju.
Menurutnya, ciri bangsa yang besar itu adalah kelompok yang bangga dengan bahasa, memulihara budaya dan tradisi, mengutamakan ilmu serta mempunyai kecintaan mendalam pada tanah air.
“Jika bangsa Melayu ingin jadi bangsa yang besar, maka ‘orang Melayu’ harus memastikan kelangsungan budaya dan tradisinya.
“Jika tidak, maka budaya Melayu dan tradisi kayanya akan lupus ditelan dek zaman akibat deras pembangunan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Malam Gemilang Darul Ta’zim anjuran Pertubuhan Warisan Melayu Negeri Johor di sini kelmarin.
Mohamed Khaled berkata, perkataan maju bukan bermakna perlunya bangsa Melayu membuat pilihan antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, busana Melayu dipakai bila menjadi raja sehari, sejarah bangsa tidak diajar kerana sains dan matematik itu penting.
Katanya, sebaliknya maju itu perlu diterjemahkan sebagai penghayatan perjuangan, memahami rahsia kejayaan dan menghayati pengorbanan luar biasa pejuang bangsa.
“Lihat di sekeliling kita bagaimana bahasa kita tidak lagi dipertuturkan dengan baik malah ramai anak-anak kita terutama dari kelas menengah atas tidak boleh berbahasa Melayu.
“Mereka berfikir dalam bahasa Inggeris. Lihatlah betapa pudarnya penghayatan budaya di kalangan anak bangsa kita. Lihat cara hidup mereka, perhatikan pemikiran mereka.
“Ternyata dalam banyak keadaan, identiti Melayu yang ada pada kebanyakan masyarakat kita hanyalah pada namanya sahaja. Lalu kita berikan alasan bahawa ini semua adalah Melayu Baru, sudah moden dan sudah maju,” katanya.
Beliau berkata, atas sebab itu budaya dan tradisi Melayu yang kaya selain sejarah perjuangan bangsa perlu dipulihara.
“Tetapi memulihara sahaja jauh dari memadai. Ia harus dihayati, dibudayakan dalam setiap yang mengaku dirinya Melayu, dikembangkan dan dijiwai dengan bangga. Malah budaya dan sejarah perjuangan bangsa kita harus boleh diteladani oleh bangsa lain.
“Tugas ini bukan tugas kerajaan semata, ia pertanggungjawaban bersama. Ia mesti dilakukan oleh semua dari kita,” katanya.
Selain itu, Mohamed Khaled berkata, inisiatif terawal yang dinukilkan olehnya iaitu Pelan Suara Hati Johor berkisarkan penyediaan platform dan ruang agar setiap entiti dalam masyarakat berpeluang untuk tampil serta menyuarakan keresahan dan keperluan masing-masing.
Katanya, terdapat kerisauan ditunjukkan beberapa pihak yang gusar sekiranya segala perkembangan pesat dirancang kerajaan negeri akan hanya mengesampingkan dan meminggirkan ‘orang Melayu’ terutamanya di bandar.
“Ingin saya ulas bahawa dalam 105 inisiatif yang saya bentangkan dalam Bajet 2015, hampir kesemuanya akan turut dinikmati oleh ‘orang Melayu’ walaupun bukan dilakukan khas atas nama dan kepentingan orang Melayu.
“Malah kita sudah acapkali menghebahkan yang kita telah merekodkan peningkatan yang besar dalam peratusan tanah Rizab Melayu di Johor.
“Dasar kita bukan sahaja tanah Rizab Melayu harus bertambah, tetapi kita juga memperkenalkan dasar bahawa Melayu mesti menduduki kawasan bandar,” katanya.
Sumber: http://www.sinarharian.com.my