Belajar Bahasa Melayu melalui Lagu Anak Kampung dan Karya P. Ramlee

KL, Malaysia - Rata-rata peserta Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) 2016 Piala Perdana Menteri berupaya menguasai bahasa Melayu kerana mereka merupakan pelajar dalam bidang pengajian bahasa dan budaya Melayu di universiti masing-masing.

Namun berbeza bagi peserta dari United Kingdom, Tavan Karl Kessler Dutton, 24, beliau mempelajari bahasa tersebut secara tidak formal termasuk dengan mendalami makna lirik lagu popular di negara ini antaranya Anak Kampung nyanyian penyanyi dari Sabah, Jimmy Palikat.

Katanya, selain lagu itu, dia turut mempelajari bahasa Melayu menerusi karya agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee seperti Engkau Laksana Bulan, Berkorban Apa Saja dan Sedangkan Lidah Lagi Tergigit.

“Pada awalnya saya hanya menyukai lagu-lagu tersebut kerana muziknya yang menarik tetapi secara kebetulan terdapat rakan kuliah memberitahu lirik lagu itu mempunyai makna yang indah. Ia menyebabkan saya tertarik untuk mempelajari bahasa Melayu.

“Secara kebetulan pula, ibu saya berketurunan Kadazan tetapi dia langsung tidak pandai bertutur dalam bahasa Melayu kerana dibesarkan di Australia. Saya berharap penyertaan dalam pertandingan ini akan meningkatkan lagi penguasaan bahasa Melayu saya seterusnya dapat mengenali lebih mendalam asal usul keluarga sebelah ibu,” katanya.

Dutton ialah antara 20 peserta yang layak ke peringkat suku akhir pertandingan PABM Piala Perdana Menteri 2016 yang berlangsung di Hotel RHR @ Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Bangi dekat sini hari ini.

Peserta dari Belanda, Priscilla Haley Rasyid, 22, pula berharap dapat merangkul gelaran juara dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 kerana ingin menggunakannya bagi membiayai pengajian di peringkat sarjana kelak.

Pelajar tahun tiga Ijazah Asia Tenggara di Belanda itu menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian ke Indonesia agar lebih dekat dengan keluarganya.

“Bapa saya orang Belanda manakala ibu dari Indonesia dan semua keluarga serta rakan-rakan saya berada di sana. Saya ingin belajar dan berada lebih dekat dengan mereka.

“Lagipun saya menyukai cuaca di Jakarta yang lebih panas berbanding Belanda selain keunikan pelbagai budaya di sana,” katanya.

Bagi Rebecca Clare Lawrence, 20, dia gemar melancong ke luar negara terutama negara-negara di Asia Tenggara kerana kepelbagaian budaya, agama dan bahasa yang berbeza dengan negaranya di Australia.

Jelas pelajar Ijazah Ekonomi dan Bahasa Melayu Indonesia di Universiti West Australia ini, sejak kecil dia menanam cita-cita untuk bekerja di luar negara kerana mahu menimba pengalaman dan berjumpa dengan kenalan baharu.

“Secara logiknya, apabila kita bekerja di negara lain gaji yang ditawarkan lebih besar. Jadi ia antara sebab saya sangat minat untuk mempelajari bahasa lain selain bahasa Inggeris,” katanya.

Sementara itu, dua wakil negara antara 15 peserta yang mara ke peringkat separuh akhir PABM Piala Perdana Menteri 2016 pada Rabu iaitu penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM), Irfan Mohamad Fairus, 23, dan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Haziq Jamaludin, 21.

Kedua-dua mereka akan bersaing dengan tiga lagi peserta dalam kategori Alam Melayu.

Menurut Penyelaras dan Penghakiman PABM 2016, Dr. Mazleena Mohamad Hussain, peserta dari Alam Melayu tidak perlu melalui peringkat suku akhir kerana mereka memang berasal dari negara yang bertutur dalam bahasa Melayu.

“Kaedah ini lebih cepat dan menjimatkan masa kerana mereka telah dipilih oleh universiti masing-masing sebelum layak menjadi wakil untuk negara tersebut,” katanya.

-

Arsip Blog

Recent Posts