Prof Dr Tatiana Denisova: Jawi itu Melayu

Kuantan, Malaysia - Ketika pelbagai pihak semakin meminggirkan tulisan Jawi, seorang wanita kelahiran Russia menongkah arus dan berpendapat tulisan itu perlu dikekalkan untuk dihayati generasi akan datang.

Pensyarah di Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Tatiana Denisova berkata, perkembangan sejarah tulisan Jawi berkait rapat dengan jati diri bangsa Melayu.

Beliau yang mahir bertutur bahasa Melayu selepas mempelajarinya pada usia 17 tahun berkata, hanya dengan menguasai tulisan Jawi, masyarakat dapat mengkaji manuskrip sejarah Melayu lama yang ditulis dalam tulisan berkenaan.

“Penting untuk memberikan kesedaran kebangsaan terhadap tulisan Jawi supaya generasi muda berpeluang menguasai persuratan Melayu (lama) yang ditulis dalam tulisan Jawi.

“Perlu kita ketahui bahawa bahasa Melayu berkembang dalam tulisan Jawi sebelum tulisan Rumi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Seminar Antarabangsa Tulisan Jawi di Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah, di sini, semalam.

Ia disempurnakan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Tatiana berkata, orang Melayu sangat bertuah kerana memiliki bahasa ibunda yang begitu hebat sehingga pernah digunakan secara meluas pada peringkat antarabangsa.

Katanya, ini dibuktikan apabila bahasa berkenaan turut diajar di universiti di Russia.

“Bagaimanapun, ketika kami belajar bahasa Melayu (di Russia), kami mempelajari asas bahasa itu menerusi terjemahan bahasa Latin,” katanya.

Tatiana, 56, yang dilahirkan di Moscow, Russia pada 28 April 1959 melanjutkan pengajian dalam bidang sejarah dan bahasa Indonesia di Universiti St Petersburg, Russia pada 1980-an.

Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Bahagian Penyelidikan Sumber Sejarah Islam di Akademi Sains Russia, Institut Kajian Oriental, Moscow.

Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Institut Pengajian Asia dan Afrika, Universiti Moscow sehingga 2006.

Tatiana juga pernah menjadi Karyawan Tamu di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur sehingga 2006 dan Perpustakaan Negara Malaysia sehingga 2008.

Beliau juga pernah berkhidmat lima tahun sebagai Pensyarah Pelawat di Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam di Universiti Malaya.

Wanita itu sudah menghasilkan pelbagai kajian membabitkan lebih 50 tajuk penerbitan termasuk dalam sumber sejarah Melayu-Islam dan Kesusasteraan Melayu.

-

Arsip Blog

Recent Posts