Seni, Budaya Berperanan Penting dalam Pembinaan Negara

KL, Malaysia - Kejayaan sesebuah negara tidak hanya ditentukan oleh pencapaian hebat dalam bidang sains dan teknologi, tetapi juga melalui peranan besar dimainkan seni dan budayanya dalam mendorong rakyat agar kreatif dan inovatif.

Ketika menegaskan perkara itu, Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Prof Dr Hatta Azad Khan berkata sains dan teknologi, tanpa seni dan budaya, akan melahirkan sebuah negara yang hanya berjaya dari segi fizikal tetapi kosong dari segi nilai manusiawi dan keunggulan ciri-ciri kemanusiaan.

"Struktur sosial sesebuah negara perlu bersedia untuk melakukan anjakan paradigma serta bersifat penuh keilmuan, inovatif, kreatif dan berdaya saing dari segi modal insan dalam bidang seni dan budaya.

"Inilah yang perlu dijadikan asas bagi tamadun manusia dan pembangunan negara, tanpa mengesampingkan kepentingan ekonomi, politik, sains pengurusan dan pentadbiran awam," katanya.

Hatta berkata demikian dalam ucaptamanya pada Simposium Antarabangsa Liga Institut Pengajian Kesenian Asia (ALIA) di Aswara di sini hari ini.

Simposium dua hari itu, yang bermula hari ini dan bertemakan "Ocean of Colours" (Samudera Warna), bertujuan menyerlahkan ekspresi perpaduan dalam kepelbagaian melalui karya seni.

Dua puluh empat kertas kerja akan dibentangkan pada simposium itu, yang dihadiri peserta dari pelbagai negara termasuk Jepun, Korea Selatan, Indonesia dan Mongolia.

ALIA dianggotai 27 negara Asia, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah yang berusaha mempromosikan seni melalui kerjasama dalam kalangan institusi pengajian tinggi melalui penyelidikan, pembelajaran dan program kesenian.

-

Arsip Blog

Recent Posts