Kuala Lumpur, Malaysia - Ketika melancarkan halaman ‘Khabar Indonesia’ bersama Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno, Khamis lalu, Pengasas Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia Indonesia (YIRMI) Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, penerbitan halaman itu membuktikan peranan media sangat penting dalam mengeratkan hubungan Malaysia dan Indonesia.
Rais turut menyatakan harapannya supaya lebih banyak berita tentang rakyat Indonesia yang telah mengecapi kejayaan di Malaysia dipaparkan di dalam media cetak Indonesia bagi tatapan rakyat di republik itu.
“Lebih kurang dua juta rakyat Indonesia bekerja di sini dan mereka menghantar duit kepada ahli keluarga di Indonesia dalam anggaran RM500 hingga RM1,000 setiap bulan.”
“Perkara ini merupakan satu cetusan ekonomi yang gelombangnya sangat besar, malah banyak antara mereka yang telah meraih kejayaan di sini. Oleh itu mari kita huraikan kejayaan mereka melalui penulisan berita,” kata Rais yang juga Penasihat Sosio-Budaya Kerajaan Malaysia.
Mesejnya ialah tidak usah lagi kita membesar-besarkan isu jika ia boleh diselesaikan secara rundingan dan kerjasama, bukan melalui demonstrasi jalanan sebagai mana yang kerap berlaku sebelum ini. Kira-kira tiga tahun sebelum ini, kita dapat lihat bagaimana keruh hubungan Malaysia dan Indonesia yang wujud dalam gugusan yang sama, tetapi rakyatnya sering berpecah akibat campur tangan pihak luar.
Wujud pihak-pihak yang sering kali cuba untuk mengacau supaya kedua-dua negara serumpun ini tidak bersatu dari segi politik dan urusan kerajaan. Syukur dengan adanya Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (Iswami) yang ditubuhkan tiga tahun lalu, banyak isu berjaya diredakan dengan peranan dan kerjasama pemimpin dalam media utama kedua-dua negara.
Dengan penerbitan halaman ‘Khabar Indonesia’ di Kosmo!, YIRMI dan Iswami, diharap bertambah-tambah lagi ikatan kerjasama yang sebelum ini suam-suam kuku. Kalau diimpikan sentiasa "aman" pun, sukar direalisasikan.
Semuanya berlaku kerana kita mempunyai pertalian budaya yang kuat. Orang Bugis, Jawa, Banjar, Minang, Aceh dan kaum-kaum lain yang ada di Indonesia, sebenarnya juga sudah lama tinggal di Malaysia.
Semangat setia kawan antara rumpun Melayu inilah yang menyatukan kita. Dan sepatutnya diperkukuhkan lagi melalui lebih banyak kerjasama pelbagai bidang. Saya setuju dengan kata Rais, kalau kita tidak dapat selesaikan dengan cara lain, kita guna budaya kita dengan sebaik-baiknya (untuk merapatkan perbezaan).
Dalam konteks mengeratkan lagi hubungan antara rakyat dengan rakyat, elok sangat unsur budaya yang sama menjadi penghubung pertalian bagi mengukuhkan semangat setia kawan dan mengeratkan penyatuan rakyat kita dengan rakyat Indonesia.
Walaupun begitu, masalah bahasa Melayu dan bahasa Indonesia perlu diselaraskan lagi. Bayangkan bagaimana orang Kelantan yang tidak faham bahasa Jawa, orang Utara tidak faham bahasa Sunda dan sebagainya untuk saling berkomunikasi.
Saya petik lagi kata Rais, usaha memperkukuhkan bahasa Melayu di Nusantara perlu dipertingkatkan. Ya, kepakaran tentang bahasa Melayu perlu berada di rantau Nusantara dan bukannya di Leiden, Belanda dan Hamburg, Jerman atau di negara-negara lain. Dan seharusnya semua negara yang bertiangserikan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia perlu berusaha gigih berjuang menjadikan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia sebagai bahasa ilmu sekalipun bahasa Inggeris telah mendahului dalam hal ini.
Kerjasama peristilahan serantau perlu diperjuangkan kembali, dan dengan kemudahan internet, ia kini lebih mudah diadakan dan dipertingkatkan.
Kerap kedengaran hujah bahawa bahasa Melayu-bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris sama-sama dimajukan dan elok didengar tetapi realitinya tidak begitu. Kecuali Brunei apabila nama jalan, nama bangunan, nama taman dan lain-lain masih membudayakan bahasa Melayu dan skrip jawi.
Sumber: http://www.utusan.com.my