Masyarakat Banjar Perlu Kongsi Budaya dengan Etnik Lain

Kuala Lumpur, Malaysia - Masyarakat Banjar diseru untuk berkongsi kepelbagaian adat dan budaya mereka dengan kumpulan etnik lain bagi meningkatkan imej negara di mata dunia, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan Rabu.

Beliau berkata keunikan dan keistimewaan yang wujud dalam golongan Banjar boleh dipelajari dan dijadikan teladan dalam memperkukuhkan hubungan dan kerjasama antara pelbagai etnik dan kaum di negara ini.

Katanya, jika ia dihayati sepenuhnya oleh semua pihak, ia mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman, stabil dan maju serta disegani oleh seluruh dunia.

"Kepelbagaian etnik merupakan aset kekuatan kita. Oleh itu, kita perlu himpun kepelbagaian budaya, agama dan bahasa dalam kalangan rakyat sebagai satu kekuatan dalam Gagasan 1Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan prapelancaran Konvensyen Sosio-Ekonomi Banjar Sedunia, di sini.

Turut hadir Pengerusi Konvensyen Datuk Zainal Abidin Rahmat dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Abdul Rahman Sulaiman.

Orang Banjar adalah tergolong dalam rumpun bangsa Melayu berhijrah ke Malaysia (Tanah Melayu ketika itu) dari beberapa tempat di Kalimantan, Indonesia pada awal abad ke-18.

Tambah Ahmad, rakyat Malaysia juga hormat-menghormati serta memahami budaya dan agama masyarakat lain demi memperkukuh perpaduan.

"Kita perlu belajar dari masyarakat Jawa tentang aspek perpaduan dan kerjasama erat. Saya adakan pertandingan kampung cantik anugerah desa cemerlang di Pontian sejak lima tahun dahulu. Setakat ini, kampung-kampung yang menang adalah kampung (orang) Jawa.

"Kenapa mereka menang? Sebab tahap kerjasama lebih daripada orang lain. Kekuatan macam itu kita hendak pelajari. Oleh kerana, kerjasama dan gotong royong mereka lebih kuat, maka kampung mereka menang," jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berharap 2.7 juta orang Banjar di seluruh negara akan memajukan diri dalam bidang keusahawaan dalam meningkatkan taraf hidup dan ekonomi masing-masing.

"Masyarakat Banjar mempunyai kemahiran dalam bidang perniagaan. Oleh itu, mereka perlu merancang dan merealisasikan dalam pemilikan ekuiti, pemilikan hartanah atau aset dan penyertaan dalam semua bidang supaya menjadi etnik yang maju," jelas beliau.

Terdahulu, dalam ucapan perasmian, Ahmad menyeru masyarakat Banjar untuk menceburi dalam penggunaan teknologi maklumat yang terkini melalui ’networking’ untuk merapatkan hubungan komuniti Banjar serta memperkasakan lagi kedudukan sosioekonomi serta memberi ruang jaringan sosial dan ekonomi tanpa sempadan.

Menurut banci tahun 2011, terdapat 5.4 juta orang Banjar iaitu 1.24 juta dan 4.12 juta masing-masing di Malaysia dan Indonesia.

Mengikut taburan di Malaysia, penduduk Banjar terdapat di Kedah, Perak (Kerian, Sungai Manik, Bagan Datoh), Selangor (Sabak Bernam dan Tanjung Karang), Johor (Batu Pahat), Sabah (Sandakan, Tenom, Keningau dan Tawau) dan Sarawak (Kuching dan Sri Aman).

Konvensyen Sosio-Ekonomi Banjar Sedunia yang akan diadakan pada 8 dan 9 Jun tahun ini, akan disertai kira-kira 3,000 masyarakat Banjar dari seluruh dunia termasuk Brunei Darussalam, Afrika Selatan dan Madagascar.

-

Arsip Blog

Recent Posts