Tulisan Jawi di Papan, Upaya Pertahankan Warisan

Melaka, Malaysia - Inisiatif kerajaan negeri Melaka mengarahkan tulisan Jawi dipamer di papan tanda premis dan iklan di negeri ini merupakan sesuatu yang wajar dicontohi semua pihak dalam usaha melestarikan tulisan yang bukan sahaja menjadi identiti orang Melayu malah negara ini sejak sekian lama.

Ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) bersetuju langkah yang bermula awal bulan ini, wajar dicontohi bukan sahaja bagi memastikan tulisan Jawi dipertahan malah membawa nilai estetika tersendiri yang memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan di bumi Hang Tuah ini.

Mengulas pelaksanaan inisiatif itu, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron tidak mahu terburu-buru dalam menguatkuasakan arahan itu supaya usaha meletakkan tulisan Jawi di papan tanda premis dan iklan di negeri itu menjadi mekanisma berkekalan.

"Kita tidak boleh buat hari ini beri arahan dan esok semua sudah laksana, kerana bila beri arahan sebegini jika dilaksana secara biasa-biasa sahaja, hasilnya tidak jadi seperti dimahukan.

"Sebagai seorang jurutera saya amat percaya dengan mekanisme, jika kita ada mekanisme dalam sistem pelaksanaan, tulisan Jawi di papan tanda di negeri ini akan berkekalan," katanya ketika ditemui Bernama di sini baru-baru ini.

Idris berkata inisiatif itu pada masa kini dalam arahan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam usaha mengenal pasti mereka yang terlibat, masalah yang bakal dihadapi dan mengumpul maklum balas orang ramai.

"Sebarang bentuk arahan pentadbiran lazimnya dalam masa tiga atau empat bulan jadi peraturan tepat, jadi kita akan tengok selepas tempoh berkenaan dan ambil langkah sewajarnya selepas itu," katanya.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Halimah Mohd Sadique berkata inisiatif kerajaan negeri Melaka itu selari dengan usaha kementeriannya dalam memelihara warisan di kawasan bandar.

"Pihak kementerian menyokong penuh usaha ini dan ia merupakan suatu pendekatan baik dalam mengekalkan warisan," katanya.

Beliau berkata tulisan Jawi merupakan warisan penting yang perlu dihargai semua pihak pada masa kini terutamanya generasi muda bagi membolehkan ia kekal pada masa hadapan.

Bekas pengarah Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya, Datuk Zainal Abidin Borhan pula mengingatkan semua pihak supaya tidak melihat inisiatif itu daripada sudut perkauman sebaliknya usaha bagi mengekalkan budaya yang diwarisi rakyat Malaysia sejak sekian lama.

"Benar tulisan Jawi ini sinonim dengan orang Melayu tetapi tulisan ini digunakan secara meluas di Nusantara sejak ratusan tahun dahulu malah tulisan Jawi ini secara ejaan asasnya sama dengan tulisan rumi cuma yang berbeza hanya bentuk tulisan itu," katanya.

Zainal Abidin, yang juga Setiausaha Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), berkata sebarang bentuk bantahan terhadap inisiatif itu perlu ditangani secara penerangan yang menyeluruh dan hujah yang bernas supaya semua rakyat Malaysia memahami kepentingan inisiatif itu.

Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia negeri Melaka Amru Iskandar Burhan berkata inisiatif itu mampu membentuk identiti Melayu Islam dalam kalangan generasi muda sekali gus menghidupkan budaya Melayu Islam yang kian terpinggir.

"Diharap inisiatif seperti ini disokong dan diikuti pihak yang lain dalam usaha mengurangkan kadar buta huruf terhadap huruf Al-Quran terutama generasi muda kita sekarang," katanya.

-

Arsip Blog

Recent Posts