Festival Seni Silat Melaka 2015, Upaya Mengangkat Kembali Martabat Silat

Melaka, Malaysia - Silat merupakan salah satu seni mempertahankan diri yang menjadi warisan bangsa Melayu dan Nusantara yang telah wujud sejak zaman berzaman lamanya.

Perkembangan silat dan inovasi pergerakan yang dilakukan oleh para pengamalnya, terdapat lebih 8,000 jenis silat di seluruh kepulauan Melayu meliputi Indonesia, Brunei dan Singapura termasuk Malaysia.

Bagaimanapun asal usulnya belum dapat dipastikan bagaimana silat itu wujud dan siapa yang menciptanya dengan ada yang menganggarkan seni ini telah berusia beratus-ratus tahun diperturunkan dari generasi ke generasi.

Berdasarkan pemerhatian dan kajian, yang ada hanyalah warisan setiap jenis silat yang mempunyai sejarah tersendiri namun tiada susur galur khusus dapat menjejak asal usul kewujudan silat.

Silat turut melalui proses inovasi apabila setiap penuntut mengembangkannya hingga wujudnya beberapa pergerakan baharu selain jumlah pertubuhan silat semakin bertambah dan penuntutnya pula meningkat saban tahun.

Seni silat ini bukan sahaja mengajar ahlinya bagaimana mempertahankan diri tetapi juga untuk membina satu masyarakat yang mempunyai ketahanan dalaman jati diri, displin, pembentukan sahsiah yang tinggi.

Ia juga dilihat mampu melahirkan masyarakat yang mempunyai kesetiaan dan kecintaan yang tinggi kepada tanah air.

Lima sahabat pahlawan bersaudara Hang Tuah, Jebat, Kasturi, Lekir dan Lekiu menjadi legenda dalam dunia persilatan.

Sementara pejuang-pejuang tanah air seperti Mat Kilau, Dato Bahaman, Mat Salleh dan yang lain menjadi inspirasi kepada para pengamal silat untuk memartabatkan warisan bangsa.

Ketokohan dan kehebatan Laksamana Hang Tuah bukan sekadar seorang pahlawan Melayu yang mahir berpencak silat malah sebagai duta kerajaan di bawah kesultanan Melayu Melaka.

Beliau memainkan peranan penting dalam menjalin hubungan baik kerajaan Melayu Melaka dan kepimpinan antarabangsa suatu ketika dahulu.

Terungkap dalam hikayat Hang Tuah yang memberi gambaran oleh pengarangnya mengenai ilmu dan teknik persilatan Hang Tuah ini bolehlah dianggap Silat Hang Tuah menjadi salah satu induk atau tonggak utama kepada keberkesanan seni beladiri Melayu.

Teknik dan resam seni silat Melayu yang asli ada pada hari ini di Nusantara dengan pelbagai nama dan corak serta kaedah persilatannya.

Bertempat di Perkampungan Hang Tuah Duyong, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Muzium Negeri Melaka (Perzim) telah mengadakan Festival dan Penganugerahan Seni Silat negeri selama tiga hari iaitu mulai 17 hingga 19 April lalu.

Para peserta terdiri daripada sebanyak 53 persatuan silat yang berdaftar di bawah Persekutuan Pesilat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) seluruh Melaka dengan kerjasama dari Persatuaan Guru-guru Silat Negeri Melaka (Sigma).

Ia turut melibatkan dari persatuan silat seluruh negara yang mewakili setiap negeri masing-masing serta menarik penglibatan peserta dari negara -negara Asia Tenggara menerusi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).

Pelbagai pengisian menarik yang diadakan sepanjang program tersebut seperti demonstrasi membuat keris, pertunjukan keris terbang dan keris berdiri, pertunjukan jurus kebatinan, Wacana Seni Silat Hang Tuah, persembahan silat dari perguruan silat seluruh negara dan banyak lagi.

Festival berkenaan diadakan dengan bertujuan bagi mengangkat kembali martabat silat ke tempat sewajarnya dalam masyarakat selain menghargai pertubuhan serta individu yang berkecimpung dalam dunia persilatan.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Festival, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, penganjuran program ini menjadi harapan kepada kerajaan negeri agar ianya dapat memperkenal, memberi pendedahan serta menghidupkan semula seni budaya Melayu kepada generasi muda masa kini.

Menurutnya, usaha serta komitmen yang ditunjukkan kerajaan negeri menerusi penganjuran festival seperti ini amat bertepatan dalam usaha meletakkan kembali silat sebagai warisan dan budaya yang tidak akan dilupakan serta khazanah yang berharga.

“Program selama tiga hari ini menghimpunkan peminat-peminat, pesilat, penuntut dan pengamal silat yang secara tidak langsung dapat menyemarakkan sifat cintakan seni budaya warisan bangsa yang harus dipertahankan.

“Pendedahan kepada generasi muda mengenai seni mempertahankan diri ini dapat membolehkan mereka menghayati warisan seni budaya terutamanya remaja, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi untuk meneruskan kesinambungan seni tradisi ini.

“Menerusi program ini ia dapat mengiktiraf silat sebagai warisan tidak nyata yang mampu menyumbang dalam industri pelancong menjadi salah satu produk untuk menarik lebih ramai pelancong ke Melaka,” katanya.

-

Arsip Blog

Recent Posts