Pementasan Makyung Upaya Hidupkan kembali seni Melayu asli

Kuala Lumpur, Malaysia - Dendam dan hasad dengki telah membawa kepada pengkhianatan enam orang putera raja kepada adik bongsu mereka yang dikatakan berhak menggantikan tempat Raja Besar dalam negeri Ho Gading.
Putera bongsu telah menjadi mangsa cemburu kekanda-kekandanya sehingga dicampakkan ke dalam telaga sebelum diselamatkan dan dikurniakan kuasa sakti untuk menuntut bela.
Hebat bukan kisah tersebut. Sebenarnya itu adalah antara kisah dramatik perebutan takhta Kerajaan Ho Gading yang mempunyai tujuh putera dalam pementasan Makyung Raja Besar Ho Gading.
Sememangnya, Rosnan Abdul Rahman yang merupakan satu-satunya Pakyung lelaki dalam seni persembahan Makyung sudah tidak sabar untuk melakonkan watak Raja Besar Ho Gading pada pementasan yang akan diadakan sempena tahun keempat penganjuran Festival Seni Dewan Filharmonik Petronas (DFP), 20 September ini.
Kata Rosnan, itu adalah cara untuk mengembalikan semangat anak-anak muda untuk menonton Makyung yang boleh dikatakan semakin pupus ditelan zaman.
"Saya memang mengimpikan untuk beraksi menghidupkan kesenian Melayu asli. Tidak dinafikan juga, saya faham bahawa setiap orang bercita-cita untuk membuat persembahan di pentas DFP.
"Sepanjang berkecimpung dalam dunia seni, inilah pertama kali saya diberikan kepercayaan dan Alhamdulillah impian menjadi realiti.
"Pementasan ini sebenarnya satu peluang kepada generasi muda terutamanya mengenali dan melihat persembahan Makyung yang selama ini hanya dibaca menerusi buku sejarah saja," tambah Rosnan meletak harapan tinggi.
Tambah Rosnan, ilham untuk membawa Makyung ke panggung DFP telah dicetuskan oleh Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Datuk Norliza Rofli.
"Banyak idea telah beliau (Norliza) tampilkan. Antaranya, memberi tanggungjawab kepada saya menyerlahkan kumpulan Makyung Kijang Emas, JKKN Kelantan," ujarnya.
Pementasan Makyung Raja Besar Ho Gading yang sering mendapat perhatian luar biasa setiap kali dipersembahkan itu bakal dipentaskan oleh seramai 24 orang penari dan pelakon Kumpulan Makyung Kijang Emas JKKN Kelantan.
Tidak lupa juga persembahan selama 1 jam 45 minit itu yang akan diadakan pada hari Jumaat, 20 September pukul 8.30 malam merupakan antara 12 kisah makyung yang terkenal dari Kelantan.
Tahun keempat penganjuran Festival Seni DFP itu diserikan dengan Malam Melayu Klasik dan Makyung menjadi fokus utama kali ini.
Festival selama seminggu bermula pada 16 hingga 22 September ini membuka tirai dengan persembahan bertemakan Malam Melayu Klasik menampilkan Badan Kesenian Yayasan Warisan Johor, penyanyi asli veteran Datuk Andre Goh dan penyanyi asli angkatan baharu, Haziq.
Menerusi tiga festival lepas, DFP dan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) telah meraikan pelbagai cabang seni seperti muzik pelbagai genre, tarian, puisi dan lukisan, dengan kolaborasi artis-artis tempatan, pelukis tersohor dan badan-badan kesenian terkenal.
Selain dua persembahan hebat itu, Festival Seni DFP bakal mempersembahkan konsert-konsert menarik seperti Spektrum (18 September), MPO Rocks (21 September) dan MPO and All That Jazz (22 September) selain pelbagai aktiviti menarik yang akan berlangsung di perkarangan lobi DFP sepanjang minggu.
-

Arsip Blog

Recent Posts