Masjid Melayu Aceh Dijadikan Bangunan Warisan Negara

Pulau Pinang, Malaysia - Masjid Melayu Lebuh Acheh di sini, yang berusia lebih 200 tahun akan dijadikan bangunan warisan negara.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, masjid yang memiliki sejarah dan keunikan tersendiri itu sejak sekian lama menjadi salah satu bangunan ikonik di negeri ini sekaligus perlu dipertahankan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kerajaan DAP Pulau Pinang mengemukakan cadangan kepada kementerian untuk menjadikan masjid berkenaan sebagai satu tapak warisan negeri.

“Masjid ini sungguh istimewa kerana masih bertahan meskipun selepas 200 tahun dan juga menjadi tumpuan pelancong dari dalam serta luar negara.

“Sudah semestinya bangunan ini boleh dianggap sebagai bangunan warisan kepada negara kerana berusia lebih 100 tahun,” katanya ketika berucap merasmikan Festival dan Sambutan Ulang Tahun ke-207 masjid itu di sini semalam.

Mengikut catatan sejarah, Masjid Melayu Lebuh Acheh itu mula dibina pada 1972 dan siap pada 1808.

Masjid itu dibina selepas seorang kerabat diraja Acheh dari Sumatera, Tengku Syed Hussain Al-Aidid dikatakan membuka sebuah perkampungan masyarakat Islam di Lebuh Acheh di sini.

Menurut Mohamed Nazri, kementerian juga akan menyalurkan peruntukan kepada pihak berkaitan bagi membantu memelihara dan memulihara masjid tersebut.

Katanya, usaha itu merupakan komitmen kerajaan bagi memastikan masjid berkenaan dibaik pulih dengan mengekalkan reka bentuk asal dan seni bina tradisionalnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Nazri memberitahu, kerajaan menerusi kementeriannya memperuntukkan sebanyak RM2.25 juta untuk pembangunan industri pelancongan di negeri ini tahun ini.

Menurut beliau, peruntukan itu meliputi projek naik taraf laluan Bukit Bendera sebanyak RM1 juta.

“Projek lain adalah untuk meningkatkan kemudahan Sungai Tukun di Taman Negara Pulau Pinang,” katanya.

-

Arsip Blog

Recent Posts