Penerbitan Hikayat Misa Melayu dilancar

Ipoh, Malaysia - Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memilih melancarkan penerbitan Hikayat Misa Melayu bersempena istiadat pertabalan baginda sebagai Sultan Perak Ke-35 berikutan khazanah persuratan peninggalan Raja Muda, Raja Chulan Raja Hamid pada abad ke-18 itu disifatkan sebagai karya agung dalam sejarah kesultanan negeri.

Sultan Nazrin bertitah, intipati Hikayat Misa Melayu meriwayatkan keturunan, peraturan dan istiadat raja-raja dan kerajaan Perak, jus-teru baginda berharap, penerbitannya dapat dijadikan tatapan khususnya dalam kalangan generasi pada masa kini.

“Beta menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Karyawan dan RNS Publications yang secara bersama telah mengusahakan penerbitan ini untuk menghargai jasa besar Raja Chulan.

“Semoga penerbitan ini dapat dijadikan tatapan khususnya dalam kalangan generasi masa kini sebagai bekal untuk mencipta masa hadapan lebih gemilang,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat melancarkan Pameran Koleksi Gambar, Setem Hari Pertama dan Hikayat Misa Melayu sempena pertabalan Sultan Perak Ke-35 anjuran Jabatan Penerangan dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Dewan Bandaran Ipoh hari ini.

Turut berangkat sama ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta dua anakanda baginda iaitu Raja Kechil Besar Perak, Raja Azlan Muzaffar Shah dan Raja Nazira Safya.

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nor Mahani Raja Shahar Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi Lembaga Amanah Yayasan Karyawan, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Pameran selama sebulan yang bermula hari ini dari pukul 10 pagi hingga 7 malam pada setiap hari; mengetengahkan 14 segmen pameran seperti ‘Keputeraan Seorang Raja’, ‘Meneroka Dunia Keilmuan’ dan ‘Takhta Disandang, Rakyat Disayang’.

Selain mempamerkan koleksi gambar peribadi sultan, orang ramai turut berpeluang bergambar di kawasan permaidani merah dengan berlatarbelakangkan potret Sultan Nazrin dan Tuanku Zara di luar dewan pameran.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan negeri, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Bernama serta Jabatan Penerangan atas inisiatif bersama untuk menganjurkan pameran koleksi gambar baginda.

-

Arsip Blog

Recent Posts