Pameran Tenun Pahang Diraja di Muzium Negara

Kuala Lumpur, Malaysia - Koleksi eksklusif dan hasil tenunan peribadi Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Perancang terkemuka Datuk Bernard Chandran, menjadi daya tarik utama Pameran Tenun Pahang Diraja yang sedang berlangsung di Muzium Negara hingga 31 Des nanti.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Datuk Ibrahim Ismail berkata pameran di bawah naungan Tunku Azizah itu menampilkan 64 tenun Koleksi Muzium Negeri Pahang, Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan perancang busana terkemuka Salikin Sidek dan Calvin Choo.

"Koleksi dari Datuk Bernard Chandran dan Tengku Puan Pahang akan turut dipamerkan pada awal Desember sebagai daya tarik dalam pameran ini yang merupakan satu dari cabang kesenian busana yang harus dipelihara agar ia tidak pupus ditelan zaman," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Ibrahim berkata pameran yang dinamakan 'Bergaya dengan Tenun Pahang Diraja' itu melibatkan 18 koleksi tenun tradisional dan 46 tenun kontemporer.

Beliau berkata Tenun Pahang Diraja atau pada asalnya dipanggil Tenun Pahang merupakan kain tenunan dengan ragam hias, motif dan teknik pembuatan yang unik selain mempunyai pengaruh Bugis.

"Pameran ini akan melahirkan penghayatan dan kekaguman umum akan kegigihan Tengku Puan Pahang meluangkan waktu, tenaga dan finansiil dalam memartabatkan dan memajukan kain Tenun Pahang Diraja sehingga dimartabatkan di peringkat antarabangsa," katanya.

Pelbagai aktivitas turut dijalankan sepanjang pameran itu berlangsung seperti jualan produk tekstil, demonstrasi tenun serta mencanting batik dan Festival Fesyen Kuala Lumpur dari 23 hingga 25 Nov ini.

Salikin yang mempamerkan lima koleksi rekaannya berkata, pameran seperti itu dapat mengetengahkan keindahan Tenun Pahang Diraja sebagai tekstil fesyen pakaian dengan rancangan tradisional, moden dan kontemporer etnik hingga koleksi yang lebih eksklusif.

Choo juga mengatakan, pameran itu dapat memperkenalkan kain tenun buatan lokal dan mempromosikannya kepada pengunjung khususnya pelancong sebagai khazanah warisan negara yang mesti dipelihara.

-

Arsip Blog

Recent Posts