Kuala Lumpur, Malaysia - Isu Melayu dan bahasa Melayu sering berbangkit dalam kalangan orang Melayu sendiri. Ada orang politik mengatakan memberi fokus kepada Melayu adalah asabiyyah. Asabiyyah dikatakan bercanggah dengan Islam. Ibn Khaldun dalam Al-Mukaddimahnya mempunyai pandangan tersendiri mengenai asabiyyah.
Ada juga dalam kalangan orang Melayu yang mengagungkan bahasa Inggeris dan dikatakan menjadi prasyarat untuk orang Melayu maju. Lalu bahasa Melayu dilihat remeh dan tidak penting untuk dimartabatkan.
Dilemanya di sini kalau ada orang Melayu memandang rendah bangsa dan bahasanya sendiri, ia adalah suatu penyakit. Jiwa penjajahan masih kuat dalam dirinya. Padahal kedua-duanya berkaitan Islam.
Melayu dalam perlembagaan takrifnya bercakap bahasa Melayu, beragama Islam dan mengamalkan adat resam Melayu. Tidak Melayu namanya kalau menolak bahasa Melayu, menolak Islam dan menolak budaya sendiri.
Ustaz Datuk Kazim Elias seorang pendakwah terkemuka menyatakan orang Melayu perlu membuang persepsi bahawa mereka ketinggalan dan tidak mampu berjaya seperti bangsa lain kerana sikap tersebut mencemarkan identiti Melayu itu sendiri.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Awang Sariyan menambah orang Melayu perlu mengutamakan bahasa kebangsaan dalam urusan harian dengan tidak perlu malu untuk bertutur dalam bahasa sendiri bagi menjamin masa depan negara.
Kalau memartabatkan bahasa ibunda boleh membawa kemunduran mengapa Perancis, Jerman, Cina, Jepun dan Korea boleh maju dengan memartabatkan bahasa ibundanya?.
Sejarah bangsa Melayu adalah sejarah yang panjang. Bila menerima Islam wataknya berubah dan berjaya mencapai kemerdekaan dan membangunkan negara. Sebelum merdeka kemunduran dan kemiskinan menjadi isu dan proses pembangunan yang terjadi membolehkan orang Melayu bersaing dalam bidang ilmu pengetahuan dan menceburi bidang perniagaan.
Bila menyebut kejayaan negara dalam aplikasi syariah dalam sistem, terasnya ialah orang Melayu. Bila dikatakan Malaysia menjadi model negara Islam sederhana, orang Melayu ada peranannya. Bila negara berjaya menghasilkan ramai ilmuan dan profesional sebahagiannya ialah orang Melayu. Orang Melayu kalau diberi peluang dan bimbingan, mereka boleh berjaya.
Memartabatkan bahasa Melayu dan memperkasa bahasa Inggeris dalam sistem pendidikan kita adalah langkah bijaksana di Kementerian Pendidikan. Memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengurusan dan pengilmuan adalah sesuatu yang wajar. Ini menuntut komitmen yang tinggi di kalangan orang Melayu sendiri.
Kalau ada orang Melayu sendiri tidak yakin dengan kemampuan bahasa Melayu untuk menjadi bahasa ilmu dan profesional adalah disebabkan jiwanya belum merdeka. Memartabatkan bahasa Melayu dalam sistem di Malaysia adalah suatu tuntutan dan ia suatu amanah.
Orang Melayu tidak harus menolak kepentingan bahasa Inggeris. Ini adalah bahasa antarabangsa dan bahasa sains dan teknologi. Tetapi memperkasa bahasa Inggeris jangan sampai meminggirkan bahasa Melayu.
Dewasa ini semacam ada kecenderungan supaya bahasa Inggeris dimartabatkan. Ini berlawanan dengan maksud perlembagaan dan Akta Pendidikan 1961 dan Akta Pendidikan 1996.
Pembuat dan pelaksana dasar harus memiliki keyakinan tinggi bahasa bahasa Melayu adalah bahasa dinamik. Sebahagian orang Melayu yang tidak yakin dengan bahasa Melayu harus insaf bahawa bukti menunjukkan dengan memartabatkan bahasa ibunda kita boleh maju.
Harus ada tekad yang tinggi dalam politik (political will) untuk memajukan orang Melayu dengan landasan tamadun Islam dan bahasanya supaya acuan pembangunan di Malaysia berada dalam landasan betul. Perlu ada rancangan memartabatkan bahasa Melayu di Kementerian Pendidikan secara komprehensif, dalam pentadbiran negara, dalam urusniaga dan korporat kerana memartabatkan bahasa Melayu menuntut tekad dan azam yang tinggi demi hari depan generasi Malaysia.
Bangsa Melayu harus jadi sumber contoh dalam pembangunan dan kemajuan negara. Pembangunan yang berasaskan etika tinggi dan menepati matlamat membangun Maqasid Syariah adalah pilihan yang terbaik tidak saja untuk memperkasa orang Melayu tapi dalam masa yang sama baik untuk masyarakat Malaysia.
Dalam konteks Malaysia, orang Melayu perlu menjadi komponen teras yang mampu memberi perimbangan kepada realiti masyarakat majmuk dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan yang sifatnya menyatukan.
Sumber: http://www.utusan.com.my