Manuskrip `Panthong` dari Sri Lanka

Oleh: Jelani Harun (Universiti Sains Malaysia)

Pengenalan
Kewujudan khazanah manuskrip Melayu di Sri Lanka adalah rentetan daripada peristiwa kedatangan orang-orang Melayu ke negara tersebut sekitar abad ke-16 dan ke-17 yang lalu. Terdapat banyak manuskrip Melayu yang telah ditemui di Sri Lanka meliputi karya kitab, sejarah, hikayat, syair dan pantun. Sebahagian daripada karya tersebut adalah dibawa dari Tanah Melayu atau pun telah dihasilkan oleh pengarang-pengarang Melayu yang awal di Sri Lanka sementara sebahagiannya pula ditulis oleh para pengarang dari keturunan masyarakat Melayu di Sri Lanka yang lebih kemudian. Hal ini memberi satu gambaran bagaimana tradisi kesusasteraan Melayu telah tersebar ke luar Tanah Melayu dan menjadi sebahagian daripada khazanah kesusasteraan masyarakat setempat yang mengamalkannya.

B.A. Hussainmiya (1987: 57), di dalam tulisannya berjudul “Pertumbuhan dan Kejatuhan Kesusasteraan Melayu di Sri Lanka” ada mencatatkan satu usaha yang telah dilakukan oleh Persatuan Melayu Sri Lanka untuk “mengumpul dan menyalin pantun yang diperturunkan secara lisan yang diketahui oleh orang-orang tua Melayu.” Sehingga kini, penulis masih belum dapat mengesan hasil daripada usaha tersebut. Walau bagaimanapun, maklumat di atas memberi satu gambaran bahawa masih terdapat segelintir masyarakat berketurunan Melayu di Sri Lanka yang mewarisi tradisi kepandaian berpantun orang Melayu.

Di samping penyebaran dan warisan secara lisan, budaya pantun Melayu turut tersebar di Sri Lanka secara tulisan, yakni melalui khazanah manuskrip. Menurut B.A. Hussainmiya (1995: 1771), terdapat lebih daripada 100 buah manuskrip Melayu yang telah berjaya dikesan di Sri Lanka. Sebahagian daripada manuskrip tersebut seperti Hikayat Ahmad Muhammad, Hikayat Inderaputera dan Hikayat Isma Yatim turut mengandungi puluhan pantun Melayu di dalamnya. Di dalam Hikayat Inderaputera misalnya, terdapat lebih kurang 59 buah rangkap pantun Melayu. Sebilangan kecil daripada salinan manuskrip Melayu yang berasal dari Sri Lanka tersebut kini telah berjaya dikumpul dan disimpan di Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Kuala Lumpur. Antara salinan manuskrip yang banyak terdapat pantun Melayu di dalamnya adalah seperti berikut:

• MS 422 Hikayat Ahmad Muhammad. Disalin oleh Samsuddin ibn al-Taif pada 1867 di Lapiti, Sri Lanka.
• MS 424 Hikayat Isma Yatim. Disalin oleh Muhammad Yusuf Jailani Jurangpati pada 1881 di Kandi.
• MS 431 (B) Hikayat Indera Quraisyin. Disalin pada 1881 di Kolombo.
• MS 438 Hikayat Indera Quraisyin
• MS 450 Syair Sultan Abdul Muluk. Disalin oleh Morset Sukbider Malun Rabflis di Kampung Lebach, Kolombo.
• MS 1058 Hikayat Ahmad Muhammad. Disalin oleh Morset Sukbider pada 1890 di Kampung Bikandi, Kolombo.
• MS 1063 (A) Hikayat Inderaputera. Disalin oleh Kapitan Salimuddin pada 1866 di Kampung Kertel, Kolombo.
• MS 1063 (B) Hikayat Isma Yatim. Disalin oleh Kapitan Salimuddin pada 1871 di Kampung Kertel, Kolombo.

Maklumat tentang penulisan pantun di Sri Lanka juga dapat dibaca dalam tulisan Harun Mat Piah (1986: 64), khusus terhadap dua buah manuskrip pantun yang berjudul Dendang Sayang Pantung Selong dan Pantun-Pantun Oleh Tuan K.Weerabangsa. Isi kandungan Dendang Sayang Pantung Selong pernah diceritakan secara ringkas oleh Abdullah Sani Yahya (1990: 68), sementara Pantun-Pantun Oleh Tuan K.Weerabangsa masih belum pernah diberikan huraian lagi. Salah sebuah pantun yang terdapat di dalam Dendang Sayang Pantung Selong adalah seperti berikut:

Ambil pena tulis kan surat,
Mari di tulis di atas batu,
Dari duniya sampai akirat;
Badan dua menjadi satu.

Kertas kerja ini bermatlamat untuk membicarakan khazanah penulisan pantun Melayu yang berasal dari Sri Lanka berasaskan tiga buah manuskrip yang tersimpan di Perpustakaan Negara Malaysia, Kuala Lumpur. Ketiga-tiga buah manuskrip tersebut telah diperolehi oleh PNM melalui B.A. Hussainmiya dan diberi judul sebagai Ketab Panthong Suwatu (MS 431), Pantung Indera Quraisy (MS 447) dan Kumpulan Pantun Ibadat (MS 449). Ketiga-tiga buah manuskrip ini agak berbeza berbanding dengan manuskrip yang telah dinyatakan di atas kerana merupakan manuskrip yang khusus mengandungi pantun Melayu hasil salinan atau karangan pengarang yang berasal dari Sri Lanka.

"PANTHONG"
Salah satu perubahan ketara yang berlaku terhadap pantun di Sri Lanka adalah cara bagaimana perkataan pantun dieja atau disebut. Berdasarkan manuskrip MS 447 dan MS 449, penulis dapati perkataan pantun telah dieja sebagai “pantung”. Walau bagaimanapun, berdasarkan sebuah lagi manuskrip, MS 431, yang ditulis dalam tulisan rumi, penulis dapati perkataan pantun telah dieja sebagai “panthong”. Pada pandangan penulis, mungkin demikianlah perkataan pantun disebut oleh masyarakat Melayu di Sri Lanka. MS 431 mengandungi 124 rangkap dan ditulis dalam tulisan rumi mengikut gaya sebutan masyarakat Melayu di Sri Lanka. Pada rangkap terakhir (rangkap 124) ada dicatatkan bahawa pantun telah dikarang di Upper Division Blackwater. Perkataan pantun telah dieja sebagai “panthong” seperti dalam contoh berikut:

47 Daripada thathahu lagunyah panthong itu,
Susa sakaly de panthongkan itu;
Thulung de habarkan lagunyah itu,
Sapaya keetha de panthong panthongkan bagietu
48 Tuan O. Saldin altawa Tuan Sallay Wahid itu,
Theyada debuwatkan ketab ketab panthong buku itu;
Thawa layang orang orang suwatu bagietu,
Dan de namakan Ketab Panthong Suwatu.
49 Tuan Mantara juga mula de tharokan itu,
Dan de namakan Panthong Orang Muda bagietu;
Daripada thathahu artinyah panthong itu,
Theeyada mangapa keetha junjongkan itu.

Dalam tradisi kesusasteraan Melayu, satu ketetapan yang ketat telah dibuat terhadap struktur pantun Melayu, khususnya bagi pantun empat kerat: terdiri daripada empat baris serangkap, dua baris pertama sebagai sampiran dan dua baris terakhir sebagai maksud, rima akhir ab/ab, terdiri daripada 4-5 patah perkataan atau 8-12 sukukata dalam satu baris ayat. Ketetapan ini kelihatannya agak “longgar” dalam kefahaman masyarakat Melayu di Sri Lanka. Penelitian penulis mendapati, sebahagian daripada “panthong” dari Sri Lanka masih mengekalkan struktur pantun yang asal, di samping tidak kurang pula dengan pelbagai ragam bentuk yang baru.

Manuskrip Ketab Panthong Suwatu di atas merupakan satu contoh yang begitu ketara. Semua pantun yang terdapat di dalam manuskrip tersebut adalah lebih berbentuk syair, yakni tanpa memperlihatkan pembahagian sampiran dan maksud yang ketara serta berakhir pula dengan rima aaaa. Pengarang hanya menamakan hasil tulisannya sebagai panthong tanpa mengikuti struktur penulisan pantun yang wujud dalam tradisi Melayu. MS 431 memperlihatkan ada kecenderungan “panthong” dianggap sebagai satu bentuk penciptaan puisi atau karangan berangkap secara umum meliputi pantun dan juga syair. Berikut diperturunkan dua rangkap terakhir panthong bernada syair yang dimaksudkan:

123 Hamba inni badan yang hina,
Paranghee busuck lagee darjona;
Parbuwathan nyah theepu theepu theeyada berguna,
Karja suwatu theeyada sampoorna.
124 Thamam ketab inni pada hari Sabtu,
Sasooda rambang sunyaie nan waktu;
De Upper Division Balackwater itu,
Dangan panulong thuhan yan maha thuntu.

(i). Menyalin “Panthong”
Penelitian penulis terhadap manuskrip Pantun Indera Quraisy (MS 447) mendapati pantun-pantun yang terdapat di dalamnya terbahagi kepada tiga kumpulan. Kumpulan yang pertama mengandungi 22 buah rangkap pantun yang disalin daripada Hikayat Indera Quraisyin. Kumpulan yang kedua terdiri daripada 8 buah rangkap pantun yang disalin daripada Hikayat Marakarma. Sementara kumpulan yang ketiga terdiri daripada 38 buah rangkap pantun yang disalin daripada Hikayat Serangga Bayu. Dengan kata-kata lain, MS 447 terdiri daripada koleksi pantun yang disalin daripada tiga buah hikayat iaitu Hikayat Indera Quraisyin, Hikayat Marakarma dan Hikayat Serangga Bayu. Justeru, judul yang seharusnya diberi kepada MS 447 bukannya Pantun Indera Quraisy sebaliknya Kumpulan Pantun Hikayat Indera Quraisyin, Hikayat Marakarma dan Hikayat Serangga Bayu.

Penulis atau penyalin sebenar MS 447 tidak diketahui. Walau bagaimanapun, sekurang-kurangnya terdapat tiga tempat di dalam manuskrip yang ada mencatatkan nama pemilik manuskrip. Salah satu catatan tersebut adalah seperti berikut: “Ini kitab yang punya Cik Sumani Binti Johar Rahim”. Sementara itu, beberapa halaman terakhir manuskrip memperlihatkan gaya tulisan jawi yang agak berbeza daripada sebelumnya, dengan keadaan dakwat yang telah lebur, dan agak sukar dibaca. Pantun-pantun yang dimuatkan pula bukan berasal daripada ketiga-tiga hikayat yang telah dinyatakan di atas, sebaliknya mungkin berasal daripada sebuah hikayat yang lain. Salah sebuah pantun (syair) adalah berbunyi seperti berikut:
Raja Berperang Raja Riwana,

Lawan berperang Seri Rama;
Janganlah pantung tiada berguna,
Cubalah tuan dengan umpama.

MS 447 menjadi salah satu sumber penting tentang penyebaran dan penyalinan pantun di Sri Lanka. Bacaan penulis mendapati di dalam Hikayat Indera Quraisyin terdapat lebih kurang 71 buah rangkap pantun. Hanya 22 buah pantun sahaja yang disalin semula. Hikayat Marakarma pula terdiri daripada 9 buah rangkap pantun dan semuanya telah disalin kembali. Sementara itu, Hikayat Serangga Bayu (nama lain bagi Hikayat Ahmad Muhammad) terdiri daripada 10 buah pantun (rima ab/ab) di samping puluhan rangkap syair (rima aaaa). Antara ketiga-tiga buah hikayat di atas, Hikayat Indera Quraisyin agak istimewa kedudukannya kerana tidak pernah ditemui karya seperti ini di Tanah Melayu. Ada kemungkinan karya ini merupakan hasil nukilan pengarang Melayu di Sri Lanka.

Pantun-pantun yang terdapat di dalam MS 447 tidak memperlihatkan apa-apa perubahan yang ketara ataupun apa-apa ciri tempatan yang istimewa. Penyalin hanya menulis kembali pantun-pantun yang telah sedia ada daripada hikayat-hikayat yang telah dinyatakan. Satu-satunya tambahan yang dapat dikesan hanyalah pada ayat permulaan bagi setiap kumpulan pantun dalam mana pengarang menyatakan nama kumpulan pantun tersebut melalui kata-kata “Ya ini pantung Indera Quraisy” atau “Ya ini pantung Marakarma” atau “Ya ini pantung Serangga Bayu”. Walau bagaimanapun, satu persoalan yang menarik diberi perhatian adalah berkaitan dengan kewujudan salinan pantun itu sendiri. Kenapakah pantun daripada hikayat Melayu tersebut disalin semula dalam sebuah koleksi yang tersendiri?

Persoalan di atas sukar diberi jawapan dengan tepat. Tambahan pula manuskrip tiada mempunyai bahagian mukadimah dan kolofon. Penulis hanya dapat membuat andaian bahawa pantun-pantun yang terdapat di dalam hikayat Melayu di atas merupakan koleksi pantun Melayu yang cukup indah susunan bahasa dan maknanya, justeru telah menambat hati seorang pengarang/penyalin untuk disalin semula dalam sebuah manuskrip, agar lebih mudah diingat dan dibaca. Menurut Hussainmiya (1987: 65), pantun-pantun yang terdapat di dalam hikayat Melayu telah tersebar luas dalam kalangan masyarakat Melayu di Sri Lanka dan sering dibaca atau dinyanyikan dalam majlis-majlis keramaian masyarakat. Penulisan koleksi pantun daripada hikayat seperti yang terdapat di dalam MS 447 mungkin merupakan salah satu medium penyebaran pantun yang berkesan kepada khalayak masyarakat Melayu di Sri Lanka ketika itu. Sebahagian daripada salinan pantun tersebut adalah seperti berikut:

Ya ini pantung Indera Quraisy
1 Terbang melayang si burung aruan,
Singga di pulau si Rangga Pati;
Jika sempurna raja bangsawan,
Ambillah puteri baharulah sakti.
3 Surahi kumbang surahi,
Surahi jatuh dengan kandasan;
Jika tuan dendam berahi,
Nescaya mati dengan kurusan.
6 Oleh bersinar bulan purnama,
Anak Melayu bertenun kain;
Puteranya pergi mencari nama,
Apalah tuanku ingat yang lain.
10 Kuntum mayang bunga sulasi,
Rotan itu ada di Lingga;
Tuanku minta hambamu kasi,
Bukan diberi dengan arga.
11 Fasilam burung fasilam,
Makannya lagi biji delima;
Itulah tuan perhiasan tilam,
Bintang merapat bulan purnama.
……………………………..
……………………………..
Ya ini pantung Marakarma
23 Dari sungai pohonnya kandis,
Layar ditimbang angin utara;
Lagi berhadapan mulutnya manis,
Balik belakang lain bicara
24 Rakit puan dari Merenda,
Bambam di Jawa dirobohkan;
Jikalau tuan bawa adinda,
Badan dan nyawa diserahkan.
25 Rakit puan di atas batu,
Hendak belayar ke benua Jawa;
Jikalau tuan kata begitu,
Esoklah hari kekanda bawa.
27 Terang bulan terang ke paya,
Raja Mesir bertenun kain;
Tuan dipandang bertambah cahaya,
Rasaku tidak pada yang lain.
28 Aci-aci ke Bangkahulu,
Seri padukalah panglimanya;
Jikalau kekanda kasih sabarlah dahulu,
Adalah masa ketikanya.
………………………………..
………………………………..

(ii). Mengarang “Panthong”
Manuskrip MS 449 merupakan salah sebuah manuskrip yang diperolehi oleh PNM melalui B.A. Hussainmiya pada 22 Julai 1986. Manuskrip berukuran 20 sm x 16 sm, berjilid kulit keras, masih dalam keadaan baik dan terdiri daripada 144 halaman. Pada halaman terakhir manuskrip terdapat catatan seperti berikut: “Ya ini kitab yang ampunya Inci` Amitaboo 1879”. Secara keseluruhannya, manuskrip mengandungi enam isi karya yang berbeza antara satu sama lain, yang telah diringkaskan oleh pihak PNM seperti berikut:

A: Syair Jamad al-Qiamah halaman 1-46
B: Syair Burung Merpati halaman 46-66
C: Syair Makrifat halaman 66-82
D: Syair Nasihat halaman 82-87
E: Kumpulan Pantun Ibadat halaman 87-112
F: Doa halaman 113-115
G: Kitab Napoli halaman 116-139

Bahagian Kumpulan Pantun Ibadat terdiri daripada 107 buah rangkap pantun yang berkaitan dengan beberapa aspek ibadat yang terdapat dalam ajaran agama Islam. Sekurang-kurangnya 22 buah rangkap adalah ditulis dengan rima aaaa. Semua pantun dikarang di dalam bingkai bergaris empat segi. Walaupun pengarang pantun tidak dapat dikenalpasti dengan tepat, penulis berpendapat besar kemungkinan pantun ini telah dihasilkan oleh pengarang berketurunan Melayu di Sri Lanka, ataupun sekurang-kurangnya telah disalin di Sri Lanka. Salah satu alasan yang nyata dapat dilihat dari segi penggunaan perkataan pantun. Dalam keseluruhan manuskrip, terdapat sebanyak 30 kali perkataan pantun disebut atau dieja sebagai “berpantung” . Berikut beberapa contoh penggunaan perkataan “berpantung” tersebut:

1 Mula berpantung hamba seorang,
Mita ampun segala majlis;
Tiada tahu utang sebarang,
Berapa perkara hilangkan najis?
3 Hamba berpantung mula pertama,
Minta maaf hamba bertanya;
Jawab tuan segala ulama,
Di mana pohon suci di anggota?
43 Berpantung hamba dengar olehmu,
Empat perkara kata penghulu;
Pertama akal kedua ilmu,
Ketiga iman keempat malu.
67 Minta maaf tuan semua,
Hamba berpantung harap balasan;
Ertikan sunggu jangan kecewa,
Apa haqiqat Allah dan insan?

Dari segi penulisannya, sebahagian besar pantun menepati struktur pantun Melayu empat kerat yang biasa, yakni mempunyai bahagian sampiran dan maksud, terdiri daripada antara 4-5 perkataan sebaris, serta rima akhiran ab/ab. Walau bagaimanapun, banyak daripada pantun (rangkap 1 hingga rangkap 70) kurang memperlihatkan ciri-ciri pantun Melayu yang sebenar. Sampiran pantun dicipta secara mudah tanpa memperlihatkan penggunaan unsur-unsur alam yang sepatutnya. Walaupun pantun mempunyai rima ab/ab tetapi nada sebenar pantun lebih menghampiri sebuah syair Melayu. Berikut beberapa buah contoh pantun yang penulis maksudkan:

30 Hamba mencari ke sana sini,
Minta belajar dengannya fikrah;
Katakan sunggu jangan sembuni,
Qaedah zakat berapa perkarah?
31 Pertama mintakan faalnya Tuhan,
Memberi rezeki sekalian hamba-Nya;
Kedua menyatakan faal kemurahan,
Ketiga menyatakan faal ketinggiannya.
32 Hamba berpantung minta balasan,
Tuan menjawab supaya puji;
Hendak mengetahu dengan patulan,
Berapa perkarah qaedah haji?
33 Qaedah haji tiga perkarah,
Menyatakan kebesaran akannya Tuhan;
Pada pandangan hamba seluruh,
Memuliakan mengunjung pihak tapian.

Keadaan agak berbeza bagi pantun-pantun yang berikutnya, yakni bagi pantun rangkap 71 hingga rangkap 93, memperlihatkan ciri-ciri pantun berkait Melayu. Olahan sampiran pula telah dibuat secara lebih halus dan indah, diungkap daripada unsur-unsur alam, flora dan fauna, yang sering membentuk nilai-nilai keindahan pantun Melayu. Walau bagaimanapun, bentuk pantun berkait yang dibuat tidak mengikuti sepenuhnya struktur pantun berkait yang biasa. Dalam pantun berkait yang biasa, baris ayat yang kedua dan keempat akan diulang semula dalam rangkap yang berikutnya. Sedang dalam kumpulan pantun ini, pengarang hanya mengulangi baris yang kedua sahaja. Contoh yang jelas terdapat dalam petikan berikut:

72 Elok muda nyawa bertemu,
Sepokok jati bercarak empat;
Bukan mudah mencari ilmu,
Suruh mengenal jalan ma`rifat.
73 Sepokok jati bercarak empat,
Bunga dimakan anak harimau;
Jika tuan mengenal ma`rifat,
Baharu sempurna mendapat ilmu.
74 Bunga dimakan anak harimau,
Menimbal bayu di pokok jati;
Jikalau tuan carikan ilmu,
Supaya laku ketika mati.
75 Menimbal bayu di pokok jati,
Labing di ujung karang dimakan;
Ketika hidup belum mati,
Baiklah tuan ilmu carikan.

Kekuatan sebenar Kumpulan Pantun Ibadat, pada hemat penulis, adalah terletak pada tema atau perutusan yang ingin disampaikan oleh pengarangnya. Pantun mengandungi beberapa persoalan tentang ajaran dan hukum Islam, bermula daripada aspek yang paling asas, tentang hukum bersuci, hinggalah ke aspek yang lebih rumit, tentang amalan tasawuf. Setiap persoalan adalah dalam bentuk pantun soal-jawab, kebanyakannya diungkap dalam beberapa rangkap pantun, di susun dalam peningkatan tahap-tahap pemikiran yang rapi dan sistematik. Keseluruhan tema atau perutusan pantun dapat diringkaskan seperti berikut:

rangkap 1-9 hukum bersuci
rangkap 10-23 persoalan salat
rangkap 24-33 Rukan Islam (syahadat, salat, puasa, zakat, haji)
rangkap 34-45 tasawuf (makna tariqat, haqiqat dan ma`rifat)
rangkap 46-59 persoalan iman dan amal
rangkap 60-70 persoalan hidup dan mati
rangkap 71-82 hakikat ilmu
rangkap 83-93 rukun Islam
rangkap 94-101 memuji Allah
rangkap 102-107 penutup

Berdasarkan isi kandungan pantun di atas dapat membayangkan tema atau perutusan yang bersifat pengajaran dan pendalaman beberapa aspek ajaran agama Islam yang suci. Dapat diduga bahawa pengarang pantun memiliki pengetahuan yang luas dalam agama, boleh berbicara tentang aspek ajaran agama yang asas hingga kepada aspek yang lebih tinggi, tentang haqiqat dan ma`rifat Allah SWT. Malahan, beberapa buah rangkap pantun yang dicipta benar-benar mengandungi pemikiran tasawuf yang tinggi, memerlukan taakulan yang mendalam daripada pembaca dalam memahaminya. Antara pantun yang penulis maksudkan tergambar seperti berikut:

34 Soal syariat umpama apa,
Umpama apa itu tariqat;
Haqiqat itu umpama apa,
Umpama apalah itu ma`rifat?
35 Jawab syariatku kulit kepalaku,
Tariqat umpama tempurung perbuatku;
Haqiqat umpama isi tempatku,
Ma`rifat minyak kepala uratku.
36 Hamba berpantung dengan perkasa,
Minta bertahu dengan isyarat;
Katakan tuan halanya sentosa,
Mana sebenar dunia dan akhirat?
37 Bermadah melarat tiada kecewa,
Sebenar dunia itulah tubuh;
Sebenar akhirat itulah nyawa,
Hamba menjawab denganlah sungguh.

Penghasilan pantun yang bertemakan ibadat / ajaran agama Islam yang khusus bukanlah sesuatu yang asing dalam khazanah kesusasteraan Melayu. Terdapat banyak pantun yang telah dicipta dalam menceritakan atau memberi nasihat tentang ajaran dan amalan ibadat dalam agama Islam. Walau bagaimanapun, agak jarang ditemui pantun ibadat Melayu yang dicipta dalam bentuk sebuah kumpulan seperti yang terdapat di dalam MS 449. Lazimnya, penghasilan atau penulisan yang bertemakan ibadat akan dihasilkan dalam bentuk syair, suatu bentuk penulisan yang dirasakan lebih hampir kepada kesusasteraan Islam.

Di samping itu, manuskrip Kumpulan Pantun Ibadat turut memancarkan ciri keuniversalan pantun Melayu yang bukan sahaja boleh berbicara tentang tema kasih sayang, cinta, nasihat, jenaka, sindiran, kepahlawanan, kekeluargaan atau kepimpinan, malahan turut dapat berbicara tentang hal-hal yang berkaitan dengan alam ketuhanan. Pantun turut berperanan sebagai medium dakwah dalam menyebarkan dan mengukuhkan ajaran Islam. Pantun turut menjadi sebahagian daripada medium pengucapan kesusasteraan adab di Alam Melayu, sama ada adab kehidupan bermasyarakat mahu pun adab kehidupan beragama. Demikian barangkali perutusan yang ingin disampaikan oleh pengarang melalui petikan pantun berikut:

60 Berpantung dengan hati walang,
Ketika seorang hamba meninggal;
Apalah hati apalah hilang,
Apalah pulang apalah tinggal?
61 Ketika seorang hamba meninggal,
Saya menjawab sukalah hati;
Nyawalah pulang iman tinggal,
Ma`rifat hilang lepas mati.
62 Hamba berpantung sukalah hati,
Bertanya tuan saling berhadap;
Apa hidup tiadalah mati,
Apa mati tiadalah hidup?
63 Berpantung dengan sukalah hati,
Menjawab tuan saling berhadap;
Tiap-tiap hidup itu mati,
Tiap-tiap mati kemudian hidup.
64 Berahi pantung sukalah hati,
Hamba pun tahu itu makna;
Ertikan haqiqat hidup mati,
Mendapat belajar dengan sempurna.
65 Berpantung haqiqat hidup mati,
Ertikan benar dengan hadap;
Nyawa mu hidup tiada mati,
Tubuh mu mati tiada hidup.
66 Minta maaf tuan semua,
Hamba berpantung harap balasan;
Ertikan sunggu jangan kecewa,
Apa haqiqat Allah dan insan?
67 Menjawab pintu taqliq,
Maknakan sunggu dengan apa;
Haqiqat Allah itu Khaliq,
Haqiqat makhluk itu manusia.
68 Menjawab pantung dengan nyata-menyata,
Ertikan benar dengan mufasil;
Haqiqat Tuhan wujud berkata-kata,
Haqiqat manusia itu insan kamil.

Kesimpulan:
Manuskrip MS 431, MS 447 dan MS 449 yang tersimpan di Perpustakaan Negara Malaysia merupakan satu rakaman kecil tentang tradisi pantun Melayu yang telah tersebar ke Sri Lanka. Rakaman tersebut memperlihatkan beberapa ciri pengekalan tradisi pantun Melayu yang asal, di samping tidak kurang pula diwarnai dengan pelbagai ubahsuaian tempatan, hidup dalam nama “pantung” atau “panthong” yang agak tersendiri nilainya. Dalam konteks ini, pengarang MS 449 telah memberi satu sumbangan yang berharga dalam memuliakan pantun Melayu, sebagai satu medium pengucapan tema ibadat dalam kesusasteraan Melayu, memancarkan cahaya dakwah secara indah dan berhikmah. Hakikatnya, keunggulan pantun sebagai satu bentuk pengucapan seni masih kekal mempertalikan urutan sejarah dan budaya bangsa masyarakat Melayu dengan Sri Lanka hingga ke hari ini, menuju ke masa hadapan yang lebih akrab.

Bibliografi:
Abdullah Sani Yahya. 1990. “Budaya Bertulis Melayu Sri Lanka” dalam Melayu Sri Lanka: Simposium Dunia Melayu Kedua (susunan Abdul Latiff Abu Bakar). Kuala Lumpur. Gapena dan Universiti Malaya. Halaman 67-72.

Ali Haji Ahmad. 2000. Hikayat Inderaputera. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Harun Mat Piah. 1986. “Tradisi Kesusasteraan Melayu Sri Lanka Dalam Konteks Kesusasteraan Melayu Tradisional Nusantara: Satu Tinjauan Ringkas” Jurnal SARI (4). Halaman 53-83.

………….1989. Puisi Melayu Tradisional. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Hashim Ismail. 1996. Hikayat Ahmad Muhammad. Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara Malaysia.

Hussainmiya, B.A. 1986. “Melayu Bahasa: Some Preliminary Observations on the Malay Creole of Sri Lanka” Jurnal SARI (4). Halaman 19-30.

…………… 1987. “Pertumbuhan dan Kejatuhan Kesusasteraan Melayu di Sri Lanka” dalam Cendekia Kesusasteraan Melayu Tradisional (susunan Siti Hawa Haji Saleh). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka.

…………… 1987 (a). “Syair Kisahnya Khabar Orang Wolenter Benggali: A Sri Lankan Malay Syair, Introduction and Text” Jurnal SARI (5). Halaman 17-49.

…………… 1995. “Baba Ounus Saldin (1832-1906): Cendekiawan Kesusasteraan Melayu di Sri Lanka” dalam Tamadun Melayu (susunan Ismail Hussein, A. Aziz Deraman & Abd. Rahman al-Ahmadi). Kuala Lumpur. Dewan Bahasa Dan Pustaka. Halaman 1769-1824.

Inon Shaharuddin Abdul Rahman. 1985. Hikayat Marakarma. Kuala Lumpur. Teks Publishing.

Ismail Hamid. 1991. “Islam Dalam Sejarah dan Masyarakat Melayu Sri Lanka” Jurnal SARI (9). Halaman 25-42.

Katalog Induk Manuskrip Melayu di Malaysia. 1993. Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara Malaysia.

Monique Zaini –Lajoubert. 1998. Hikayat Indera Quraisyin. Kuala Lumpur. Perpustakaan Negara Malaysia.

Sumber : www.usm.my
-

Arsip Blog

Recent Posts