Festival Popularkan Sukan Tradisi

KL, Malaysia - Pada zaman ibu bapa kita masih kanak-kanak dahulu, mereka gembira bermain permainan rakyat bersama teman-teman. Apa yang ada di sekeliling mereka, itu yang dijadikan bahan permainan, seperti mengumpul batu-batu kecil yang kemudian dijadikan permainan dinamakan batu seremban atau bermain galah panjang, congkak, tarik tali teng teng, dan banyak lagi.

Bagaimanapun, permainan rakyat itu semakin dilupakan akibat dihakis oleh kemajuan teknologi. Generasi anak-anak muda hari tidak tahu apa itu permainan rakyat malah menganggap permainan tersebut sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan pada masa sekarang.

Mungkin tiada yang tahu apa itu permainan legenda contohnya, kelereng, tuju tin, golek kelapa, tuju getah, tapak Sulaiman dan baling selipar.

Mereka lebih berminat kepada aplikasi dunia siber sehingga turut ketagih terhadap permainan yang dimainkan dengan menggunakan gajet elektronik dan telefon pintar.

Generasi terdahulu pasti merindui sukan tradisi yang sudah lama ditinggalkan, sementara generasi muda seharusnya diperkenal semula dengan permainan rakyat ini supaya tidak terus dilupakan.

Menyedari hakikat tersebut, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melalui Program Merakyatkan Seni Budaya (PMS) Khas dari JKKN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah membawakan program Festival Kesenian Rakyat 2016.

Program ini berlangsung selama dua hari bermula 20 hingga 21 Ogos lalu di Taman Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur.

Program permainan rakyat terbesar ini merupakan program JKKN dengan kerjasama rakan-rakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Antaranya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Penjara (Penjara), Jabatan Kastam Diraja, Jabatan Imigresen, Sukarelawan Rakyat (Rela), dan Jabatan Maritim.

Selain itu, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Kuala Lumpur, Perbadanan Kraftangan, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Warisan Negara, Tourism Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan.

Program dimulakan dengan acara perlepasan Sarung Fun Run oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Datuk Ab. Ghaffar A. Tambi diikuti dengan Senam Seni Malaysia bersama jemputan kenamaan. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Tan Sri Norliza Rofli.

Menurut Norliza, permainan rakyat mudah dimainkan di mana-mana dan tidak memerlukan perbelanjaan yang besar bagi dimainkan.

“Permainan rakyat melibatkan sekurang-kurangnya dua orang peserta hingga lebih daripada itu dan ini dapat mengeratkan hubungan antara kawan-kawan, rakan sekerja, jiran-jiran dan anggota masyarakat khususnya.

“JKKN akan terus mempromosikan sukan rakyat kepada generasi muda supaya sukan ini dapat dimainkan semula kerana sukan rakyat bukan sahaja disukai masyarakat Melayu, malah kaum lain turut berminat bagi mengetahui permainan tersebut.

“Terdapat sembilan permainan rakyat yang dimainkan pada hari ini yang melibatkan seramai 800 orang peserta lelaki dan perempuan,” katanya yang ditemui selepas perasmian Festival Permainan Rakyat 2016 di Taman Metropolitan Kepong, baru-baru ini.

Sementara itu, Ab. Ghaffar berkata, kementerian sering menganjurkan permainan rakyat namun dalam skala yang kecil.

Bagaimanapun, kini dengan penganjuran Festival Permainan Rakyat 2016 ini, permainan rakyat ini melibatkan ramai peserta daripada agensi kerajaan dan masyarakat berhampiran.

Dalam pada itu, antara permainan rakyat yang dipertanding ialah pertandingan tarik tali, galah panjang, gusti lengan, panjat tiang licin, congkak, batu seremban, sepak raga ratus, menyumpit, dam aji gergasi dan beberapa lagi permainan yang pastinya mengimbau kenangan.

-

Arsip Blog

Recent Posts