Martabat Bahasa Melayu di IPT

Melaka, Malaysia - Usaha memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dilihat berupaya memperkukuhkan penggunaaan Bahasa Melayu merentasi pelbagai bidang di institut pengajian tinggi (IPT).

Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib berkata, ia penting agar penggunaan Bahasa Melayu meliputi bidang-bidang lain termasuk teknikal dan teknologi.

Menurutnya, penguasaan Bahasa Melayu secara menyeluruh dalam pelbagai bidang pastinya memberikan perubahan dan impak yang besar terhadap kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berwibawa.

“Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan, bahasa ilmu serta bahasa perpaduan di negara ini dan seharusnya ia perlu diperkasa dan diletakkan pada satu tahap yang tinggi.

“Masa depan survival Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu bergantung kepada sikap bangsa kita sendiri dan komitmen kita dalam memperjuangkan bahasa kebangsaan ini.

“Penggunaan Bahasa Melayu dalam konteks pengajian tinggi adalah penting selaras dengan hasrat kita untuk menjadikannya sebagai bahasa ilmu tinggi setanding dengan bahasa antarabangsa yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat UTeM 2014, di Dewan Seminar Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (FTMK), di kampus Induk Durian Tunggal di sini semalam.

Yang hadir sama, Penolong Naib Canselor (pembangunan dan Pengurusan Fasiliti) UTeM, Prof. Datuk Dr. Zolkepli Buang dan Karyawan Tamu,Jabatan Pengajian Media (Penerbitan Buku) Universiti Malaya, Profesor Emeritus, Dr. Abdullah Hassan.

Dr. Shahrin berkata, dalam yang sama juga, peranan dan penggunaan Bahasa Inggeris terutamanya di kampus tidak boleh dipinggirkan.

“Proses memperkukuhkan Bahasa Inggeris di UTeM juga sentiasa berjalan terutamanya dalam usa­ha kita meningkatkan lagi kualiti dan kebolehpasaran graduan universiti ini,” katanya.

Menurutnya,pihak UTeM menganjurkan sambutan bulan bahasa itu adalah satu inisiatif bagi menyemarakkan rasa cinta kepada Bahasa Kebangsaan di segenap lapisan masyarakat bertepatan dengan tema bulan bahasa 2014 iaitu 1 Bahasa 1 Bangsa 1 Negara.

-

Arsip Blog

Recent Posts