Jatuh Ke Laut Menjadi Pulau: Mengamati Hubungan Pantun Melayu dan Pantoum Barat

Oleh : Profesor Dr. Md. Salleh Yaapar (Universiti Sains Malaysia)

Pendahuluan
Perhubungan sastera antara pantun Melayu dengan pantoum atau pantoun Barat belum banyak diketengahkan untuk pengetahuan umum. Walhal ia amat menarik dan penting bagi memahami liku-liku perhubungan budaya dan silang-penyuburan dalam bidang sastera, khususnya yang melibatkan dunia Melayu dan Barat. Perbincangan ilmiah dalam kalangan pengkaji sastera tentang dua bentuk puisi yang jelas mempunyai afiniti ini juga belum dikendalikan dengn cukup meluas. Dalam lingkungan perbincangan yang agak terhad itu pula kerap timbul gambaran seolah-olah perhubungan tersebut tidak begitu signifikan dan genre pantoum itu pula tidak berkekalan.

Kertas kerja ini bertujuan mengamati dan memahami corak dan sifat sebenar perhubungan sastera antara pantun yang semenjak zaman berzaman terkenal di seluruh dunia Melayu dan pantoum yang mulai muncul di Barat dalam abad ke-19. Perhatian akan ditumpukan kepada arah-alir hubungan, bersama parameter geografis dan jangka masanya, serta tokoh-tokoh yang terlibat dengan penghasilan dan perkembangan pantoum. Tentunya aspek struktur dan latar budaya bagi kedua-dua jenis puisi tidak akan diabaikan. Bagi mencapai tujuan tersebut pendekatan kajian genetik (geneologi) dan kajian generik (genologi) dalam ilmu Kesusasteraan Bandingan akan dimanfaatkan.

Perlu dicatat bahawa perbincangan dalam kertas ini masih pada tahap awal. Hal ini kerana banyak bahan yang berkaitan, terutama dari Eropah dan Amerika Utara, yang belum dapat dikumpul dan dikaji oleh penulis2.

Banyak yang telah ditulis tentang pantun. Ini termasuklah tulisan-tulisan yang dihasilkan oleh pengkaji dan sarjana Pengajian Melayu di Timur dan Barat seperti Harun Aminurrashid, Muhammad Haji Salleh, Suripan Hadi Hutomo, Goh Thean Chye, H. Overback, A.W. Hamilton dan Francois-Rene Daillie3. Tulisan-tulisan ini meliputi aspek-aspek struktur atau bentuk, jenis atau kategori, fungsi, latar budaya pantun, dan estetika yang mendasarinya. Justeru itu untuk tujuan perbincangan dalam kertas ini hanya beberapa perkara asasi sahaja yang akan ditonjolkan.

Pantun ialah puisi Melayu tradisional dari khazanah lisan. Pada asasnya ia terdiri dari empat baris yang mandiri dengan skema rima abab. Dua baris pertama merupakan pembayang atau sampiran, manakala dua baris berikutnya mengandungi isi. Biasanya bahagian pembayang menampilkan imej-imej atau unsur-unsur alam, sementara bahagian isi merujuk kepada dunia manusia yang meliputi perasaan, pemikiran, dan segala macam keperihalan hidupnya. Selain bentuk asas yang amat dikenali ini, terdapat juga pantun dua baris, enam baris, lapan baris, dan bentuk yang berkait yang dikenal sebagai pantun berkait.

Berbanding dengan pantun, tulisan tentang pantoum tidak begitu banyak. Genre ini, dan kaitannya dengan pantun, masih belum luas diketahui di dunia Melayu. Kajian tentang perkaitan antara keduanya juga belum benar-benar dilaksanakan di sini.Umumnya pembaca di Malaysia mula mengetahui sedikit tentang pantoum dan kaitannya dengan pantun melalui buku Daillie, iaitu Alam Pantun Melayu: Studies on the Malay Pantun, yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, pada tahun1988. Bagi para pengkaji pula, maklumat awal sudah boleh didapati melalui beberapa ensiklopedia, glosari puisi dan tulisan-tulisan tertentu. Dalam konteks akademia mulai sekitar masa tersebut penulis kertas ini sendiri telah menjadikan pantun dan pantoum sebagai bahan perbandingan tetap yang dalam kuliah-kuliah dan tutorial Kesusasteraan Bandingan di Universiti Sains Malaysia4.

Pantoum ialah suatu bentuk puisi moden Barat dari tradisi tertulis yang dilengkapi dengan nama pengarangnya. Bermodelkan pantun Melayu, ia terdiri dari beberapa kwatrin yang berkait, dengan baris kedua dan keempat tiap stanza dijadikan baris pertama dan ketiga bagi stanza berikutnya, dan begitulah seterusnya hingga ke stanza yang terakhir. Baris pertama sesebuah pantoum juga menjadi baris penamatnya5. Umumnya pantoum mempunyi skema rima abab. Dalam tiap stanzanya pula terdapat dua tema atau perkara yang selari, satu pada kuplet pertama dan satu lagi pada kuplet berikutnya. Perlu juga disebut bahawa dalam pantoum tidak wujud keperluan khusus pada imej-imej alam seperti yang terdapat dalam pantun.

Pantun dari dunia Melayu mula menarik perhatian beberapa penyair romantik Eropah abad ke-19 apabila Victor Hugo, pengarang agong Perancis, menyelitkan sebuah terjemahan pantun di bahagian “Nota” bagi koleksi puisinya Les Orientales yang terbit pada tahun 1829. Pantun tersebut, yang dalam konteks Eropah kelihatan eksotik, ialah sebuah pantun berkait tentang cinta sebanyak empat rangkap yang bermula dengan baris “Kupu-kupu terbang melintang.”

Besar kemungkinn karya terjemahan Perancis itu diberikan kepada Hugo oleh temannya Ernest Fouinet, seorang sarjana Pengajian Ketimuran. Fouinet telah menterjemahkannya dari terjemahan Inggeris yang terdapat di dalam sebuah buku William Marsden. Buku Marsden yang bertajuk A Dictionary and Grammar of the Malayan Language diterbitkan di London pada tahun 1812 dengan menyertakan pantun asal berbahsa Melayu dalam tulisan jawi6. Teks penuh pantun tersebut dalam tulisan rumi adalah seperti berikut:

Kupu-kupu terbang melintang
Terbang di laut di hujung karang
Hati di dalam menaruh bimbang
Dari dahulu sampai sekarang.

Terbang di laut di hujung karang
Burung nasar terbang ke Bandan
Dari dahulu sampai sekarang
Banyak muda sudah kupandang.

Burung nasar terbang ke Bandan
Bulunya lagi jatuh ke Patani
Banyak muda sudah kupandang
Tiada sama mudaku ini.

Bulunya jatuh ke Patani
Dua puluh anak marpati
Tiada sama mudaku ini
Sungguh pandai membujuk hati.

Sejak tersiarnya terjemahan karya dari dunia Melayu itu dalam buku Hugo maka bentuk pantun berkait mula menjadi model bagi beberapa orang penyair romantik Perancis yang melihat keunikan atau keistimewaan bentuk tersebut. Penyair-penyair ini juga memang cenderung kepada pencarian pengucapan bentuk baru dan ghairah pula dengan unsur-unsur eksotik, khususnya dari Timur. Justeru itu mereka telah mengusahakan suatu tulisan yang berbeza dari bentuk-bentuk puisi Perancis yang sedia ada. Bentuk baru dari benih pantun ini lama kelamaan dikenali sebagai pantoum. Turut terlibat dalam penghasilan dan pembinaan genre ini di Perancis dalam abad ke-19 ialah tokoh-tokoh seperti Theodore de Banville, Louisa Siefert, Leconte de Lisle, dan penyair agong Charles Baudelaire.

Patut disebutkan di sini bahawa walaupun pantoum mempunyai ciri-ciri struktur yang ketat seperti yang telah dijelaskan tidak semua penyair mematuhi semua ciri-ciri tersebut dalam penghasilan karya mereka. Umumnya yang kerap dipertahankan hanyalah stanza yang berbentuk kwatrin, kaitan antara stanza dengan stanza, dan dua tema atau persoalan yang selari dalam sesuatu stanza. Lihatlah, umpamanya, pantoum Baudelaire berikut ini, iaitu “Harmonie du Soir” dari koleksi tersohornya Les Fleurs du mal yang diterbitkan pada tahun 1857:

Voice venire les temps ou vibrant sur sa tige
Chaque fleur s’evapore ainsi qu’un encensoir;
Les sons et les parfums tournent dans l’air du soir;
Valse melancolique et langoureux vertige!

Chaque fleur s’evapore ainsi qu’un encensoir;
Le violon fremit comme un coeur qu;on afflige;
Valse melancolique et langoureux vertige!
Le ciel est triste et beau comme un grand reposoir.

Le violon fremit comme un Coeur qu’on afflige,
Un ceour tender, qui hait le neant vaste et noir!
Le ceil est triste et beau comme un grand reposoir;
Le soleils’est noye dans son sng qui se fige.

Un Coeur tender, qui hait le neant vaste et noir,
Du passé lumineux recueille tout vestige!
Le soleil s’est noye dns son sang qui se fige…
Ton souvenir en moi luit comme un ostensoir!

Karya ini jelas tidak mengikuti skema rima abab dan tidak juga menggunakan semula baris pertama sebagai penamat puisi. Namun, ia tetap dianggap pantoum dan dinilai sebagai karya yang cukup bermutu. Malah, Peter Broome dan Graham Chesters, umpamanya, memandang tinggi karya ini dan memasukkannya dalam buku apresiasi puisi Perancis moden mereka. Hal ini kerana perkaitan dan pergerakan dalaman pantoum tersebut yang amat indah, yang bersesuaian pula dengan lukisan keharmonian petang bersama ulitan memori personanya. Imej-imej agama dan nada rohaninya pula didapati membangkitkan kesan yang cukup syahdu8. Pandangan seperti ini tentunya jauh berbeza dari pandangan rendah seperti yang pernah diberi oleh Daillie9.

Dari perspektif bandingan, genre pantoum sebenarnya memang mempunyai untung nasib yang baik Hal ini kerana dari Perancis ia telah berjaya pula menjelajah Eropah dan diterima masuk, umpamanya, sebagai satu bentuk pengucapan puisi dalam kesusasteraan Inggeris. Penulisan pantoum dalam kesusasteraan ini melibatkan tokoh-tokoh seperti Austin Dobson dan Brander Matthews. Selain dari penerimaan di kalangan penulis dan khalayak kesusasteraan Inggeris pantoum terus memperlihatkan perkembangannya seperti yang akan ditunjukkan nanti.

Dalam perbincangan mengenai hubungan pantun dan pantoum terdapat pihak yang meyuarakan rasa kesal kerana mersakan para penyair romantik Perancis tidak memahami tatacara pantun sebagai satu bentuk pengucapan puisi yang indah. Justeru itu apabila penyair-penyair ini menghasilkan pantoum maka bentuk itu tidak sama dengan bentuk yang asal. Daillie, umpamanya, menganggap kisah yang terjadi sebagai “…a rather confusing love story between some French poets and what they believed to be the Malay pantun.” 10

Sebenarnya hakikat bahawa bentuk pantoum tidak sama dengan bentuk pantun tidak perlu dilihat sebagai satu masalah atau kerugian. Sebaliknya, ia harus dilihat sebagai satu keuntungan. Ini kerana apabila para penyair Perancis menghasilkan pantoum, sedar atau tidak, mereka menghasilkan suatu genre yang baru, walaupun istilah pantoum mulanya digunakan untuk merujuk kepada pantun, dan pantun memang menjadi model mereka. Sesungguhnya, penyair-penyair Perancis yang berkenaan adalah individu-individu yang menghasilkan puisi moden dalam konteks tradisi tertulis, bukan puisi tradisional dan dalam bentuk lisan seperti pantun. Latar budaya mereka juga jauh berbeza dari latar masyarakat Melayu di Timur. Dalam konteks ini ubahsuaian dan perbezaan adalah sesuatu yang sewajarnya dijangka. Sebenarnya apa yang mereka lakukan ialah satu re-kreasi generik. Dalam proses ini genre pantun yang asing tapi menarik itu telah dicerna dan dicipta semula menjadi pantoum, genre yang lebih sesuai dengan keperibadian, pengalaman dan persekitaran mereka.

Sebenarnya, sebagai fenomena sastera yang melibatkan dua kelompok manusia dan budaya yang berbeza, persamaan memang tak mungkin wujud. Dalam konteks ini kes hubungan pantun dan pantoum sepatutnya dilihat sebagai kes genre yang bergerak atau mengembara secara aktif dari suatu sastera dan budaya ke suatu sastera dan budaya lain. Dalam kes seperti ini perubahan pasti akan berlaku ke atas genre berkenaan. Apabila pantun tiba di Eropah dan dihidupkan dalam persekitaran sastera dan budaya yang baru, dalam ertikata penghasilan karya-karya baru, maka banyak atau sedikit perubahan pasti berlaku ke atasnya. Lainlah halnya jika yang dimaksudkan ialah sekadar kehadiran pasif karya-karya dari genre pantun itu, umpamanya untuk bacaan semata.

Dari sudut lain pula, adalah tidak mungkin untuk transplant pantun di Eropah atau Barat umumnya. Hal ini kerana pantun kuat berakar di bumi Melayu. Perlu ditegaskankan di sini bahawa sebagai puisi lisan tanpa hakcipta perseorangan sifat pantun kuat dipengaruhi oleh latar hidup dan budaya masyarakat Melayu tradisional. Di zaman dahulu orang Melayu tinggal di kampung dan cukup akrab dengan alam. Mereka juga terkenal dengan kehalusan budi bahasa, yang antaranya menjadikan mereka cenderung kepada ekspresi yang tidak bersifat terang-terangan. Justeru itu sebagai karya sastera yang halus dan indah, dalam pantun imej dan keperihalan manusia tidak terus dipaparkan, sebaliknya ia dibayangkan dahulu. Inilah yang menimbulkan kuplet yang dinamakan sampiran. Seterusnya, yang menjadi pembayangnya pula tidak lain tidak bukan ialah imej-imej alam, yakni fauna dan flora yang mereka dampingi setiap hari.

Walaupun penyair-penyair romantik Perancis dan Eropah mungkin tertarik kepada latar dan cara hidup seperti yang terpancar dalam pantun, hakikatnya mereka tidak dapat mengalaminya sendiri. Sebaliknya, mereka tetap terikat dengan cara hidup bandaran dan pengalaman manusia moden di Eropah. Justeru itu walaupun bertitiktolak pada pantun mereka tetap menghasilkan genre yang berbeza, bersama ciri-cirinya yang sesuai dengan pengalaman dan persekitaran mereka sendiri. Genre baru ini seiras atau serumpun dengan pantun, tapi tidak benar-benar sama, dan tidak perlu jadi demikian. Namun, irasan itulah bukti wujudnya kaitan genetik antara pantoum dengan pantun sekaligus menjadi unsur yang akan terus mengingatkan hakikat hubungan antara keduanya.

Seperti yang dibayangkan terdahulu, pantun wujud bukan sahaja wujud di dalam kesusasteraan Perancis dan Inggeris dan bernafas dalam abad ke-19. Sebaliknya, ia telah masuk ke dalam kesusasteraan lain di Eropah dan Amerika Utara dan hidup hingga ke abad 20, malah telah melangkah pula ke abad 21 ini.

Salah sebuah negara Eropah yang dalamnya pantoum diterima dan dihidupkan ialah Czechoslovakia. Sebenarnya pantoum dan pantun sudah dikenali dalam kesusasteraan Czecho semenjak abad ke-19 lagi. Namun, manifestasinya yang jelas ialah dalam abad ke-20, khususnya melalui penglibatan pengarang agung Czecho, Jaroslav Seifert11. Seifert mempunyai seorang teman penyair, Konstantin Biebl, yang pernah mengembara ke Indonesia lantas menghasilkan kumpulan puisi tentang kapal dengan muatan kopi dan rempah pada tahun 1927. Puisi yang eksotik ini amat popular dalam kalangan masyarkat Czecho.

Melalui teman rapatnya itu Seifert mendapat gambaran yang jelas tentang dunia Melayu yang ia sendiri sudah lama berminat untuk mengetahui. Pada tahun 1937 Seifert menghasilkan pantoum dengan tajuk Dvanact pantoumu o lasce (Dua belas pantoum tentang cinta). Puisi ini amat digemari oleh khalayak Czecho tua dan muda. Justeru itu ia ikut dimuatkan dalam bunga rampai puisi Seifert yang bertajuk Ruce Venusiny (Tangan-tangan Dewi Venus) yang terbit pada tahun 1984. Pada tahun yang sama Seifert dianugerahkan Hadiah Nobel untuk bidang kesusasteraan.

Sepanjang abad ke-20 dan di awal abad ke-21 ini pantoum terus digemari dan dihasilkan di Eropah serta di Amerika Syarikat dan Kanada. Di Amerika Syarikat ia melibatkan, antaranya penyair-penyair dari New York School seperti John Ashberry dan penyair-penyair Iowa Writers Workshop seperti Donald Justice. Penyair-penyair ini menghasilkan pantoum dengan variasi tersendiri dan mempunyai pengikut dan peminat masing-masing.

Dalam era siber sekarang pun pantoum masih tetap mengalami perkembangan. Kini terdapat banyak sekali laman web tentang kesusasteraan di Eropah dan Amerika Utara yang memberi ruang kepada penggiat dan peminat pantoum. Malah, terdapat juga laman-laman yang didedikasikan untuk pantoum12. Dalam kedua-dua jenis laman ini terdapat contoh-contoh pantoum yang terkenal, perbincangan tentang pantoum, bengkel atau latihan penulisan, dan penerbitan karya-karya baru oleh penyair-penyair terkenal dan amatur dari seluruh dunia. Karya Sherley Geok-lin Lim, seorang pengarang berbahasa Inggeris yang berasal dari Malaysia, umpamanya, turut dipaparkan dalam sebuah laman web pantoum13.

Karya-karya pantoum yang dipaparkan di dalam laman web amat menarik, kerana ia meliputi pelbagai tema dan perkara. Selain dari tema-tema yang agak biasa, terdapat pantoum yang mengenai penjagaan anak, ada yang berbentuk catatan harian dengan fungsi terapi, dan ada pula yang mengungkapkan kisah atau ajaran dari Bible. Berikut ialah petikan tiga rangkap pertama karya keagamaan yang terdapat dalam sebuah laman web:

“Psalms 23 in Pantoum”
The Eternl is my Shepherd
I shall lack nothing
He gives me rest in green pastures
He directs me to peaceful waters.

I shall lack nothing
He restores my soul
He directs me to peaceful waters
He leds down path of justice.

He restores my soul
For the sake of his name
He leads me down path of justice
When I walk in the valley of Death’s shadow. 14

Perkembangan seperti yang baru dihuraikan jelas menunjukkan bahawa pantoum yang muncul pada abad ke-19 ialah suatu genre sastera yang berkekalan kedudukannya. Ia bukanlah satu “penyimpangan genre belum tentu wujudnya satu genre yang lain” atau sekadar “jelmaan pantun dalam satu singgahan” seperti yang pernah dianggap oleh Abdul Ahmad. 15

Kesimpulan
Perbincangan di atas menunjukkan kaitan yang jelas dan bermaka antara pantun Melayu dengan pantoum Barat. Pada abad ke-19 pantun telah menarik minat penyair-penyair Perancis. Justeru itu dengan bermodelkan pantun, khususnya pantun berkait, mereka telah mencipta satu bentuk baru yang dikenali sebagai pantoum. Ciri-ciri bentuk ini tidak sepenuhnya sama dengan ciri-ciri pantun. Justeru itu walaupun ia berasal dari pantun ia merupakan suatu genre yang tersendiri. Pantoum menduduki tempat yang tersendiri dalam kesusasteraan Perancis dan telah ikut memperkayakan kesusasteraan itu. Dari Perancis pantoum diterima pula masuk ke dalam kesusasteraan Inggeris. Pada abad ke-20 pantoum telah mempengaruhi kesusasteraan lain di Barat seperti kesusasteraan Czechoslovakia dan kesusasteraan Amerika. Kini ia ikut disuburkan dan dikembangkan di dalam ruang siber.

Hubungan antara pantun dengan pantoum adalah sesuatu yang istimewa. Jika diambil tanaman sebagai analogi, pantun ialah benihnya sementara pantoum adalah pohon. Benih itu tercampak jauh ke laut, tetapi kerana baik mutunya maka tumbuhlah pohonnya hingga merendang, hatta menjadi pulau. Begitulah halnya dengan pantoum, kerana berasal dari genre yang ampuh dan indah maka ia menjadi bentuk yang digemari di sana sini dan tahan zaman berzaman.

Arah-alir hubungan antara dua genre ini juga amat istimewa. Dalam bidang sastera dan budaya umumnya yang kerap menonjol ialah arah-alir dari Barat ke dunia Melayu. Genre novel berasal dari Barat. Begitu juga sajak, cerpen dan drama moden. Tetapi dalam kes yang dibincangkan arah-alirnya terbalik, iaitu dari dunia Melayu ke dunia Barat.

Nota Hujung

1 Kertas yang dibentang di Seminar Antarabangsa Pantun, anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka dan Universiti Sains Malaysia, di Kuala Lumpur, 1-3 Julai 2002.

2 Kini penulis sedang mengusahakan penyelidikan yang lebih menyeluruh ke atas bahan-bahan di Eropah dan Amerika Utara.

3 Untuk senarai kajian dan kumpulan pantun yang agak panjang sila lihat Suripan Hadi Hutomo, “Pengaruh Pantun Melayu Pada Pantun Kentrung Jawa,” Jurnal Pengajian Melayu, Jil. 4 (1992), h. 60-63.

4 Salah seorang bekas pelajar saya, Abdul Ahmad, telah menerbitkan esei tentang subjek ini, iaitu “Pantoum: Suatu Singgahan Dalam Perjalanan Seni Melayu,” dalam Kesusasteraan Bandingan Sebagai Satu Disiplin (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994), h. 164-173.

5 Lihat umpmanya entri pantoum dalam Princeton Encyclopedia of Poetry and Poetics, ed. Alex Preminger (Princeton, New Jersey: Princeton University Press, 1977), h. 597.

6 Untuk maklumat-maklumat ini lihat Daillie, 1988, h. 17-35; Princeton Encyclopedia of Poetry nd Poetics, 1972, h. 597; William Marsden, A Dictionary and Grammar of the Malayan Language (Singapore: Oxford in Asia Historical Reprints, 1984).

7 Charles Baudelaire: The Flowers of Evil, ed. Marthiel dan Jackson Matthews (New York: New Directions Publishing Corporation, 1962); Baudelaire, ed. Francis Scarfe (Panguin Books, 1964), h. 143.

8 Peter Broome dan Graham Chesters, The Appreciation of Modern French Poetry 1850-1950 (Cambridge: Cambridge University Press, 1976), h. 77-79.

9 Daillie, 1988, h. 31.

10 Daillie, 1988, h. 35 .

11 Untuk semua maklumat tentang pantoum dalam kesusasteraan ini penulis merujuk sepenuhnya kepada tulisan Eva Vanicek, “Pantun Dalam Puisi Ceko,” Sempana: Himpunan Esei Penelitian oleh Sarjana Kesusasteraan Melayu Antarabangsa, ed. Ahmad Kamal Abdullah et.al. (Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1994), h. 550-570.

12 Dalam pengamatan penulis laman khas untuk pantun hanya ada satu!

13 “Pantoum for Chinese Women,” http://woods.bianca.com/shacklet/the_biki/pantoum.html.

14 http://www.locustandhoney.com/pslms.html

15 Abdul Ahmad, 1994, h. 171

RUJUKAN
Abdul Ahmad. 1994. “Pantoum: Suatu Singgahan Dalam Perjalanan Seni Melayu,” Kesusasteraan Bandingan Sebagai Satu Disiplin. Ed. Abdul Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Broome, Peter dan Graham Chesters. 1976. The Appreciation of Modern French Poetry 1850-1950. Cambridge: Cambridge University Press.

Daillie, Francois-Rene. 1988. Alam Pantun Melayu: Studies on the Malay Pantun. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hamilton, A.W. 1959. Malay Pantuns. Singapore: Eastern University Press.

Marsden. William. 1984. A Dictionary and Grammar of the Malayan Language. Singapore: Oxford in Asia Historical Reprints.

Marthiel dan Jackson Matthews. Ed. 1964. Charles Baudelaire: The Flowers of Evil. New York: New Directions Publishing Corporation

Preminger, Alex. Ed. 1977. Princeton Encyclopedia of Poetry and Poetics. Princeton, New Jersey: Princeton University Press.

Scarfe, Francis .Ed. 1964. Baudelaire. Panguin Books.

Stallnecht, Newton. P. dan Horst Frenz. Ed. 1973. Comparative Literature: Method and Perspective. London & Amsterdam: Feffer & Simon, Inc.

Suripan Sadi Hutomo. 1992. “Pengaruh Pantun Melayu Pada Pantun Kentrung Jawa,” Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 4, hh. 37- 63.

Zainal Abidin Bakar. 1983. Kumpulan Pantun Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

-

Arsip Blog

Recent Posts