Oleh : Hamidon Abdullah
Reka bentuk asli perlu dipertahan, disesuaikan dengan konsep kontemporari tarik minat pelancong berkunjung
"Tradisi vernakular tempatan mengkhususkan perhatian terhadap keadaan setempat, bahan tempatan, persekitaran dan perlakuan serta adat orang Melayu. Pembinaan lantai bertingkat, kesesuaian ruang dan penggunaan bahan hutan hujan tropika yang mudah diperoleh adalah cara terbaik menangi iklim panas - lembap."- Petikan daripada Warisan Seni bina Dunia Melayu.
Kenyataan itu menjelaskan kesempurnaan tradisi vernakular rumah kediaman tradisional Melayu yang menjadi satu komponen paling berharga dalam tradisi warisan Malaysia.
Direka bentuk dan dibina tukang kayu terdiri daripada penduduk kampung dan dimanifestasi dengan begitu halus, asli dari segi kreativiti dan kepakaran estetika orang Melayu.
Binaannya direka dengan bentuk rumah yang sempurna, mengambil kira tradisi, adat dan kepercayaan, disesuaikan kepada keadaan cuaca panas lembap mengguna bahan semula jadi serta penggunaan yang optimum.
Nilai yang menggunakan ukuran tradisi adalah tepat dan sempurna serta perancangan ruang diambil kira membenarkan rumah boleh diperbesarkan apabila diperlukan pada masa depan.
Semua yang dijelaskan menggambarkan kesempurnaan ciri-ciri reka bentuk tradisi tempatan yang bersandarkan kehendak fungsi dan praktikal tanpa mengabaikan nilai budaya dan kecantikan estetika.
Kesedaran dan pemahaman terhadap nilai budaya dan tradisi tempatan serta mengapa ia harus dipertahankan hendaklah jelas kepada masyarakat dan diusahakan bersama supaya nilai budaya berkenaan tidak hilang ciri asli serta pupus oleh pengaruh reka bentuk moden.
Masyarakat hari ini begitu terbuka menerima segala informasi ditambah pula dengan era dunia tanpa sempadan. Hari ini individu boleh memperoleh apa juga bentuk informasi bagi mencari ilham dalam mereka bentuk kediaman mereka.
Hari ini ada individu yang lebih suka menggunakan tiang ala seni bina klasikal Greek sebagai elemen struktur reka bentuk kediaman mereka seperti tiang Doric, Ionic atau Corinthian atau meniru gaya seni bina Victorian atau Klasikal Baroque.
Mereka tidak sedar tiang rumah seni bina tradisional juga indah dan menarik untuk digunakan. Individu berkenaan lebih terpengaruh dengan emosinya yang mengatakan tiang ini nampak cantik dan mahal sekali gus menonjolkan kekayaan atau kemewahan pemiliknya.
Nilai budaya tradisi masyarakat kita dari segi reka bentuk dan seni bina perlu ditonjolkan dan disesuaikan dengan teknik atau pembinaan kontemporari kerana pelancong luar negara yang berkunjung akan mencari keaslian reka bentuk kita dan tertarik kepada seni bina tempatan.
Warisan nusantara sebagai teras reka bentuk
Seni bina dan reka bentuk tradisi sesuatu kaum bercambah bukan kerana faktor komersial, sebaliknya terbentuk dari keperluan harian yang dituntut dalam budaya dan agama.
Maka terbentuklah bangunan tradisional terdiri dari rumah, istana, masjid, bangunan pentadbiran dan perniagaan yang reka bentuknya boleh kita anggap paling ideal untuk rantau ini, baik dari aspek kesenian mahupun aspek saintifiknya. Inilah warisan paling berharga yang harus dipelihara semua rakyat Malaysia tidak mengira kaum.
Matahari panas terik dan hujan lebat adalah faktor cuaca yang tidak berubah-ubah menyebabkan aspek keteduhan dan pengudaraan suatu kualiti penting yang harus wujud dalam setiap kediaman.
Bumbung yang cucurnya jauh akan menghasilkan keteduhan optimum, dengan pohon rendang di sekeliling rumah sebagai payung tambahan, menapis sinar matahari adalah antara kaedah yang diamalkan.
Manakala rongga yang menghasilkan aliran udara berterusan dari luar ke dalam dan dalam ke luar ada pada semua bahagian strategik rumah termasuklah bawah dan dalam bumbung rumah.
Namun ciri ini banyak diabaikan sehingga kita lihat tebar layar rumah sekeliling ditutup sama sekali dengan dinding bata. Ini secara langsung, memerangkap udara panas dalam bumbung dan kita yang rasa tidak selesa terpaksa mengambil jalan mudah dengan memasang pendingin udara.
Bagi pemilik yang kurang modal pula memasang `roof ventilator` yang bulat berpusing tertonjol di atas bumbung rumah masing-masing. Maka, rumah kelihatan seperti kilang. Dinding luar yang kemas dan cantik pula dicemari tongkolan `kompresor` pendingin hawa. Maka seni dan teknologi sudah saling tidak menghormati antara satu sama lain.
Mungkin bagi sesetengah orang penerapan nilai seni warisan nusantara akan nampak ketinggalan zaman, tetapi sebenarnya nilai warisan ini adalah hasil dari kejujuran niat dan matlamat ia tidak sekali-kali lapuk dan mampu diterapkan dalam suasana futuristik sekali pun asalkan aplikasinya sesuai pada tempat dan suasana.
Dalam kita menikmati pembangunan negara dan kecemerlangan teknologi masa kini, kita seharusnya mencari keistimewaan yang tersembunyi dalam diri kita sendiri dan bukan meniru keistimewaan orang lain.
Kita seharusnya mendalami dan menghargai nilai budaya dan tradisi sendiri, selain mengekalkan ciri-ciri keaslian reka bentuk yang diasaskan oleh nenek moyang kita sejak berkurun lamanya kerana ini adalah asas jati diri kita.
Masyarakat yang tidak faham haruslah memahami apa itu tradisi dan nilai budaya tempatan. Juru reka bentuk dalaman dan arkitek profesional haruslah mendidik pelanggan mereka mengenai nilai reka bentuk budaya tempatan yang boleh direka dan dibina dalam konsep reka bentuk kontemporari.
Ahli akademik haruslah mendidik dan menerangkan kepada pelajar mereka asas-asas nilai budaya dan tradisi tempatan. Badan profesional dan kerajaan juga haruslah menggalakkan usaha ke arah mewujudkan kesedaran ini pada bangunan kerajaan dan awam.
Sekiranya usaha ini tidak diusahakan, senario reka bentuk akan menjadi stereotaip seperti di negara barat kerana tidak mempunyai identiti asli. Maka keistimewaan dan ciri keunikan juga akan pupus dan hilang.
Masih belum terlambat bagi kita menimba ke dalam budaya dan tradisi sendiri dan mengamalkan aspek berkenaan untuk kebaikan dan memperkembangkan untuk pembangunan fizikal, spiritual dan intelektual.
Sumber: http://www.bharian.com.my