Pedagang Bugis dan Kuasa Eropah di Selat Melaka, 1500-1800

Oleh Nordin Hussin

Sejarah dan Perubahan: Kuasa Eropah dan Dunia Melayu
Perubahan adalah fenomena yang berlaku selalu dalam sejarah di semua tempat. Asia Tenggara pada awal sejarah modernnya telah mengalami perubahan yang amat lain sifatnya. Perkembangan itu telah meninggalkan banyak akibat yang turut mencorakkan perubahan sejarah lokal dan nasional di Asia Tenggara khususnya dan Asia lainnya. Yang dimaksudkan itu adalah kedatangan orang Eropah yang membawa agenda untuk menguasai perdagangan dan pusat perdagangan di Dunia Melayu (Gunn, 2003:169-275). Sejak itu, suasana dan aktiviti perdagangan di Dunia Melayu mulai berubah. Walaupun Dunia Melayu senantiasa didatangi pedagang Arab, Cina, Parsi dan India, namun aktiviti perdagangan berjalan lancar (Risso, 1995), sekalipun kedatangan pedagang asing itu memang berasaskan kepentingan pedagangan dan keuntungan.

Pertembungan Dunia Melayu dengan orang asing telah mencetuskan perubahan sosial besar di Nusantara (Reid, 2000). Perubahan sosio-budaya yang berlaku di banyak pelabuhan di Nusantara telah berjalan dengan baik dan aman sehingga kedatangan orang Eropah, khasnya Portugis, Sepanyol, Belanda dan Inggeris kerana telah mendatangkan kejutan yang negaitf sifatnya (Van Veen, 2005). Mereka datang dengan niat dan agenda yang tidak pernah diduga pedagang dari Asia dan kerajaan Melayu di Nusantara. Niat dan motif pedagang Eropah itu menyebabkan rasa benci, marah dan dendam yang tidak berkesudahan di kalangan penduduk peribumi Nusantara. Mereka telah juga menyebabkan berlakunya perpecahan masyarakat dan kejatuhan kerajaan Melayu. Selain itu, adat, tradisi, dan budaya Melayu juga terancam dan terhakis sedikit demi sedikit. Walaupun orang Eropah telah menguasai kebanyakan pusat perdagangan, tetapi usaha mereka itu tidaklah semudah seperti yang mereka andaikan. Ini disebabkan pedagang Bugis dan Melayu tidak mudah mengalah setelah mereka menguasai perdagangan dan jaringannya di Selat Melaka, Laut Jawa dan Laut Sulu. Kehidupan mereka yang berteraskan tanah dan air telah membuat sebahagian besar pedagang Melayu gigih mempertahankan tanah air. Kegigihan mereka bukan setakat merebut kembali kawasan yang ditawan orang barat, tetapi juga membina pusat perdagangan baru di tempat lain di Nusantara. Usaha mereka ternyata turut mendapat respon dari pedagang Asia yang juga telah memahami pemikiran pedagang dari barat.

Berlatarbelakangkan kisah tersebut, sejarah awal modern di Asia Tenggara telah menyaksikan banyak perubahan. Kemasukan kuasa Eropah serta campur tangan mereka dalam hal ehwal politik serta kerajaan Melayu telah mengubah segalanya. Dunia Melayu yang terletak di persimpangan jalan antara benua kecil India dan tanah besar China dan seringkali menerima segala macam perubahan itu terpaksa berdepan dengan cabaran serta tekanan yang sebelum ini belum pernah dirasai. Jika kedatangan pedagang Arab, India, dan Cina hanya membawa perubahan dari segi budaya serta bentuk kepercayaan serta amalan dan anutan, tetapi kedatangan kuasa Portugis, Belanda dan Inggeris telah mengakibatkan perpecahan serta kemusnahan kerajaan Melayu. Pusat perdagangan utama telah bertukar tangan setelah dikuasai orang Eropah, sementara pusat perdagangan Melayu telah diancam, maka menerima tempiasnya serta ada yang semakin bertambah berjaya serta berkembang pesat. Sementara itu, pedagang tempatan ada yang bertebaran mencari arah serta tujuan yang baru setelah pusat perdagangannya dimusnahkan kuasa barat. Namun, ada juga yang berusaha untuk menyatukan semula di tempat baru yang mereka telah bina. Demikianlah halnya dengan apa yang berlaku kepada pedagang Bugis dari Makassar.

Kuasa Eropah dan Pedagang Bugis
Antara pedagang Melayu yang gigih dan tabah mempertahankan kedudukan ketuanan Melayu di Nusantara adalah pedagang Bugis. Sehubungan itu, rencana ini cuba mengupas peranan pedagang Bugis serta sifat mereka yang disanjung pedagang Eropah dan membuat mereka sentiasa dihormati sebagai pedagang Melayu Nusantara yang bukan sahaja bijak berniaga, tetapi juga jujur dalam perniagaan. Setelah pusat perdagangan Bugis di Makassar ditawan Belanda, kebanyakan mereka telah berpindah ke sebelah barat Dunia Melayu dan membina pusat perdagangan yang baru untuk menyambung semula kekuatan mereka berdagang. Antara pelabuhan itu adalah di utara pantai Jawa, pulau Borneo, kerajaan Thai di Ayuthaya dan tempat lain di Selat Melaka. Di Selat Melaka mereka telah berjaya membina semula jaringan perdagangan serta kekuatan baru yang akhirnya membawa kepada perubahan besar kepada sejarah kerajaan Melayu Johor di Riau. Catatan, rekod dan dokumen Malayu, Bugis dan Belanda pada tahun 1722 menunjukkan bagaimana anak bangsawan Bugis lima bersaudara itu telah mengubah struktur pemerintahan kerajaan Melayu Johor, selain dapat mentadbir pelabuhan Riau sehingga menjadi pelabuhan utama di Asia Tenggara (Raja Ali Haji, 1982; Andaya, 1975).

Kekuatan yang ada pada pedagang Bugis adalah pemikiran yang tertanam di jiwa mereka seperti yang tercatat dalam hikayat lama dan kisah pelayaran mereka. Ketokohan dan kepahlawanan mereka telah ditunjukkan pada tokoh tempatan Bugis, Sawerigading, yang ternukil dalam sastera sejarah La Galigo (Kern 1993). Karya sastera sejarah itu menunjukkan kekuatan, selain memberi panduan kepada orang Bugis untuk membina kehidupan di perantauan. Cerita Bugis kuno itu juga mempunyai tradisi lisan. Cerita kepahlawanan serta pelayaran Sawerigading ini telah memberi kekuatan kepada pedagang Bugis untuk muncul sebagai bangsa yang berhemah tinggi, justru tekun dan tahan menghadapi dugaan dalam hidup. Pengembaraan dan kekuatan Sawerigading di merata tempat telah menjadi lambang jati diri pedagang Bugis. Ketokohan watak itu telah sebati dalam pemikiran orang Bugis yang mementingkan jati diri dan kekuatan moral. Sifat serta ketokohan Sawerigading itu telah menjadi asas kepada daya usaha serta keperibadian yang tinggi seperti yang ditunjukkan pedagang Bugis yang telah melayari perairan Nusantara untuk berdagang.

Selain itu, satu lagi konsep yang telah memberi kekuatan kepada pelayar serta pedagang Bugis ialah siri dan pesse (Andaya, 1981; Moh Yahaya Mustafa, 2003). Siri adalah konsep dalam budaya orang Bugis. Ia berkaitan idea dan falsafah tentang kekuatan jati diri dan unsur malu. Konsep malu itu juga berkaitan maruah dan harga diri. Orang Bugis yang tidak mempunyai siri boleh membuatnya membunuh diri demi menyucikan diri dan menebus martabat dirinya. Perbidalan Bugis sering memberi ingatan tentang kekuatan harga diri yang boleh dikukuhkan dengan kata-kata seperti “lebih baik mati demi mempertahankan siri dibandingkan dengan sebuah kehidupan yang tidak memiliki siri”. Berbekalkan konsep inilah pedagang Bugis telah menjadi pedagang yang disegani serta dipandang tinggi di Dunia Melayu. Konsep harga diri ini telah menjadikan siri sebagai pedoman dalam hidup mereka sekaligus membentuk mereka menjadi pedagang yang dikagumi kerana mempunyai kekuatan serta harga diri yang tinggi dan jujur dalam segala tindak tanduk.

Pesse pula adalah kepercayaan yang berteraskan kesatuan rohani pada individu (Moh. Yahaya Mustafa, 2003). Asal usul dan kekuatan yang ada dalam konsep ini berteraskan persaudaran yang ada. Kekuatan ikatan persaudaraan itu dianggap sangat penting demi membela dan memperkukuhkan komuniti mereka. Bila teman menghadapi kesulitan dan sakit, kesusahan itu ditanggung bersama. Unsur ini telah memberi kekuatan padu kepada orang Bugis untuk mengingati mereka tentang asal usul mereka, selain memberi ikatan kesatuan kepada mereka. Sehubungan itu, unsur pesse juga telah memberi kekuatan kepada pedagang Bugis untuk bersatu padu dan memberi kekuatan untuk mereka membina kehidupan. Konsep pesse ini sebenarnya adalah tradisi tentang pentingnya semangat gotong royong dalam budaya Melayu (Moh. Yahya Mustafa, 2003). Kekuatan inilah yang meniupkan semangat kental kepada pedagang Bugis untuk menguasai dan membina jalinan perdagangan dari timur ke barat di Kepulauan Melayu.

Penguasaan pedagang Bugis ke atas jaringan perdagangan di gugusan Kepulauan Melayu-Indonesia telah tercatat dalam dokumen Portugis, Belanda serta Inggeris (Nordin Hussin, 2006; Lewis, 1977). Ia terbukti dari lapuran yang menyatakan bahawa merekalah pedagang yang melayari Laut Jawa, kepulauan Borneo, kepulauan Rempah serta Selat Melaka. Selain perdagangan, mereka juga membuat banyak penempatan di banyak tempat serta pelabuhan, antaranya di Java, Riau, Borneo, Melaka, Siak, Trantan, Pulau Pinang, negeri-negeri Melayu serta Siam (Nordin Hussin, 2006; Knaap, 1996). Sementara itu, kekuatan lain orang Bugis adalah tenaga fizikal dan kepandaian mereka mengurus serta berniaga dan telah membuat mereka peniaga yang dihormati di kalangan pedagang Eropah (Cortesao, 1944).

Sejak dahulu lagi, di sepanjang Selat Melaka telah didirikan kerajaan yang telah menguasai perdagangan samudera (Wolters 1970; Kathirithamby-Wells & Villiers 1990). Selain Srivijaya yang berpusat di Palembang yang telah menguasai perdagangan di selat itu, telah muncul banyak kerajaan lain yang lebih awal. Antaranya adalah Kedah Tua, Kerajaan Beruas dan disusuli Melaka, Pasai, Perlak dan Aceh. Kesemua kerajaan itu bergantung pada perdagangan yang melibatkan pelabuhan yang dikunjungi pedagang dari dekat dan jauh. Namun, kajian yang jelas tentang pedagang Bugis serta orang Bugis yang datang serta menetap ke wilayah ini hanya jelas terlihat selepas tahun 1720-an (Raja Ali Haji, 1982; Vos, 1993).

Sebelum tahun 1720-an, kedatangan pedagang Bugis ke Melaka, Aceh dan pelabuhan lain di Selat Melaka tidak banyak mendapat perhatian pengkaji sejarah. Kekurangan kajian tentang kehadiran mereka ini tidaklah bererti mereka tidak mengetahui adanya pusat-pusat perdagangan yang penting di wilayah ini. Semangat serta keperwiraan orang Bugis sangat terserlah. Mereka telah melayari Selat Melaka untuk berdagang di pelabuhan di sebelah barat kepulauan Melayu. Catatan tentang mereka yang menjalankan pedagangan di Melaka telah dicatat pertama kali oleh Pires yang tiba di Melaka pada abad ke enam belas. Dalam catatannya, Pires mengkagumi kepandaian serta kejujuran pedagang Bugis yang membawa pelbagai barangan seperti beras dan emas dari sebelah timur Kepulauan Melayu. Dari Melaka mereka membawa pulang kain dari Gujerat, Bengal dan Koromandel dan barang lain, termasuk benzin dan kemenyan. Kehebatan mereka telah dinyatakan Pires sebagai mereka belayar dengan menggunakan kapal ringan tetapi diperbuat dengan rapi. Lihat catatan Pires di bawah ini:

The island of Macassar are four or five day`s journey beyond the islands we have described, on the way to Moluccas. The islands are numerous. It is a large country. One side goes up to Buton and Madura and the other extends far up north. They are all heathens. They say that these islands have more than fifty kings. These islands trade with Malacca and with Java and with Borneo and with Siam and with all the places between Pahang and Siam. They are men more like the Siamese than other races. Their language is on its own, different from the others. They are all heathens, roboust, great warriors. They have many foodstuffs (Cortesao, 1944).

Pires juga mencatatkan orang Bugis mempunyai susuk tubuh yang tegap dan bersifat pahlawan kerana gagah, kuat, tampan dan menuturkan bahasa Bugis. Penulis dan pencatat Eropah masa itu kurang mengetahui wilayah asal usul orang Bugis. Oleh itu, mereka sering dikaitkan dengan wilayah yang dikuasai kegiatan lanun. Namun, kepintaran dan kehebatan pedagang Bugis sering dilihat pedagang Eropah di pelabuhan seperti Pegu di Burma, Junk Ceylon di Siam, pelabuhan di pantai utara Pulau Jawa, pelabuhan di sepanjang pantai di Sumatra dan Semenanjung Tanah Melayu. Oleh kerana kegiatan pedagang Bugis amat tertonjol berbanding dengan pedagang lain, maka gerak-gerik mereka telah diawasi lalu dicatatkan. Kegiatan dan tabiat pedagang Bugis seperti yang dicatatkan Pires semasa beliau berada di Melaka adalah:

These men in these islands are greater thieves than any in the world, and they are powerful and have many paraos. They sail about plundering, from their country up to Pegu, to the Moluccas and Banda, and among all the islands around Java; and they take women to sea (Cortesao, 1944).
Catatan Pires di atas menunjukkan orang Bugis pandai membina kapal dagang yang dapat melayari kepulauan Rempah ke Burma. Tetapi kenyataan Pires juga janggal bila beliau menyatakan pedagang Bugis berlagak sebagai “pencuri”. Ini mungkin disebabkan kepintaran mereka berniaga sehingga berjaya dalam semua urusan jual beli, lebih-lebih lagi kepintaran itu tidak dapat ditandingi pedagang Eropah. Selain itu, kekuatan pedagang Bugis juga terletak pada kekuatan armada perkapalan mereka yang dapat melayari segenap pelabuhan di Dunia Melayu. Catatan lain dalam lapuran Eropah tentang pedagang Bugis ialah mereka sering membawa isteri dalam pelayaran, sedangkan ini jarang dilakukan. Hal ini besar kemungkinannya disebabkan mereka sering belayar dan berdagang ke merata tempat selama berbulan-bulan.

Keadaan ini berlainan sekali dengan pedagang Eropah yang tidak membawa wanita dalam pelayaran. Pires mendapati ini amat janggal lagipun tidak dilakukan pedagang Eropah dan telah mencatatkan kelainan yang menjadi pemerhatiannya. Begitu juga dengan kenyatan Pires di bawah ini yang amat janggal dengan kenyatannya:

They have fairs where they dispose of the merchandise they steal and sell the slaves they capture. They run all round the island of Sumatra. They are mainly corsairs. The Javanese call them Bugis and the Malays call them this and Celates. They take their spoils to Jumaia(?) which is near Pahang, where they sell and have a fair continually (Cortesao, 1944).

Laporan Pires yang menyatakan mereka sebagai lanun yang mencuri dan menangkap orang untuk dijual serta dijadikan hamba itu amat janggal. Lebih hairan lagi ialah Pires menyatakan mereka telah membawa barangan rampasan untuk dijual di Jumaia, dekat Pahang. Lapuran Pires juga amat kabur bila menyebut orang Bugis mewujudkan pusat penjualan seperti pasar untuk menjual hasil rampasan mereka. Di mana letaknya pasar itu tidak dinyatakan. Jumaia yang disebut dalam lapuran Pires itu bukan sahaja kabur, tetapi juga tidak ada catatan di mana-mana. Ada kemungkinan orang yang diperhatian Pires itu bukan orang Bugis dan dia tersilap. Pemerhatiannya itu bertentangan sekali dengan kenyatannya tentang orang Bugis serta laporan pengembara lain tentang orang Bugis. Sehubungan itu, adakah terdapat dua kategori pedagang Bugis dalam pemerhatian Pires: orang Bugis yang melanun dan merompak dan orang Bugis yang beradab serta mempunyai jati diri yang unggul.

Laporan orang Eropah lain tidak banyak menyebut orang Bugis yang hidup melanun dan merompak. Kebanyakan mereka yang melakukan itu terdiri dari orang Bugis yang mendiami tempat di Selat Melaka dan bukan yang tinggal serta menetap di Celebes. Perkara ini masih diperdebatkan, maka menunut penyelidikan lebih lanjut. Namun, yang pasti dari laporan Pires adalah orang Bugis yang tidak merompak serta melanun. Kebanyakan mereka menggunakan kapal penjajap untuk membawa hasil dagangan. Pires juga menyatakan lanun dan perompak laut tidak berani mencabar kapal mereka kerana kekuatan yang dimiliki pedagang Bugis. Oleh itu, amat janggal bila Pires menyebut terdapat lanun di kalangan mereka ini:

Those who do not carry on this kind of robbery come in their large well-built pangajavas with merchandise. They bring many foodstuffs: very white rice; they bring some gold. They take bretangis and cloths from Cambay and a little from Bengal and from the Klings; they take black benzoin in large quantities, and incense. These islands have many inhabitants and a great deal of meat, and it is a rich country. They all wear krises. They are well-built men. They go about the world and everyone fears them, because no doubt all the robbers obey these with good reason. They carry a great deal of poison [ed weapons] and shoot with them. They have no power against thye junks which can all defend themselves, but every other ship in the country they have in their hands (Cortesao, 1944).

Dari petikan di atas, ternyata sifat utama yang ditonjolkan Pires tentang pedagang Bugis adalah kepahlawanan, keberanian, kegagahan dan kepintaran mereka berniaga dan juga berniaga dengan jujur. Inilah nilai yang tinggi kepada dunia perdagangan ketika itu. Kejujuran adalah sifat yang amat disenangi semua peniaga dan pedagang. Selain itu, kepahlawanan serta kegagahan adalah sifat amat diperlukan kerana laut penuh dengan lanun dengan rampasan kapal dan barang dagangan sering berlaku. Kesemua sifat itu dipuji tinggi, malah menjadi aset kepada pedagang Bugis. Selain itu, kepandaian orang Bugis belayar dan membina kapal yang kukuh yang dapat belayar hingga ke Pegu dan Siam amat mengkagumkan. Hanya kapal yang kuat dan kukuh mengharungi lautan yang bergelora dan menempuhi perjalanan yang jauh. Pendek kata, pembuatan kapal di Makasar telah membuat orang Bugis pedagang yang dapat menguasai pelayaran di Nusantara, timur dan barat. Barangan yang dibawa pedagang Bugis ditunggu pedagang lain di sebelah barat Nusantara. Hasil mahsul hutan dan laut dan juga bahan galian serta makanan yang dibawa ke Melaka dan pelabuhan lain di Selat Melaka sering ditunggu pedagang dari Eropah, India dan China. Hasil galian, termasuk emas yang dibawa dari Borneo, rempah ratus dari Kepulauan Rempah, hasil laut seperti gamat/tripang dan bahan ubatan amat diperlukan pedagang dari China.

Peranan yang dimainkan pedagang Bugis amat luas: mereka mengumpul barangan dari bahagian timur Nusantara untuk dibawa ke Selat Melaka serta mengedar barangan dari Selat Melaka ke wilayah lain di seluruh Nusantara. Peranan itu bukan sahaja penting, tetapi juga menjadi tunggak kepada aliran pemasaran barangan serta pengumpulan barangan. Sehubungan itu, pedagang Bugis dengan sifat serta keperbadian mereka yang baik seperti yang diperhatikan Pires itu telah menarik hati banyak pedagang yang berurusan dengan mereka. Penawanan Portugis ke atas Melaka pada tahun 1511 tidak bererti pedagang Bugis telah habis. Mereka telah memindahkan pusat persinggahan ke tempat lain di Selat Melaka. Aceh yang berkembang menjadi kerajaan yang penting dan pusat pedagangan utama di utara Sumatra itu telah menjadi pusat rangkaian perdagangan Bugis, selain pelabuhan kecil seperti Pasai, Pedir dan Indragiri.

Kejatuhan Melaka telah membawa kepada penubuhan pusat pemerintahan serta pelabuhan baru yang dibina jurai kesultanan Melaka. Akhirnya telah dibuka pelabuhan Riau dan pusat pemerintahan yang baru bagi kerajaan Johor-Riau. Tahun 1699 juga membawa erti besar kepada kerajaan Johor-Riau dengan berlakunya peralihan takhta dan jurai keturunan kerajaan Johor-Riau. Perlantikan Bendahara menggantikan Sultan yang dibunuh telah membawa pelbagai masalah takhta. Keadaan ini telah mengakibatkan kekacauan yang membawa perubahan besar kepada kerajaan Johor-Riau. Ini termasuk penawanan Makassar dan pengusiran kerajaan Bugis oleh Belanda yang memaksa mereka mencari tempat lain untuk membentuk kerajaan baru. Di tengah-tengah kekacauan itu, keturunan diraja Bugis telah masuk secara formal ke dalam keluarga di raja Melayu. Tahun 1720an menjadi titik peralihan yang penting kerana berlakunya percampuran antara keluarga di raja Melayu dan Bugis dalam kerajaan Johor-Riau (Raja Ali Haji, 1982; Vos, 1993).

Kehadiran orang Bugis telah mengubah corak dan keadaan di Riau. Kepintaran mereka mentadbir dan berdagang telah membawa kemunculan Riau sebagai pusat pelabuhan utama dan penting menggantikan Melaka. Kecakapan pentadbir Bugis telah meletakkan Riau menjadi pusat persinggahan kapal dari barat, timur dan kepulauan Melayu. Keunggulan perdagangan Melayu di kerajaan Johor yang dahulunya dimajukan Laksamana Paduka Raja telah diambil YamTuan Muda Daeng Kemboja. Riau telah menjadi pelabuhan penting di Selat Melaka dan Dunia Melayu. Kapal dari timur, barat dan Nusantara telah singgah di pelabuhan tersebut. Ia juga telah menjadi pelabuhan singgahan utama bagi kapal Inggeris yang berulang alik antara India dan China. Kebanyakan barang yang diperlukan pedagang Eropah, India, Cina dan Melayu mudah diperolehi di pelabuhan Riau. Petikan di bawah ini menggambarkan Riau di bawah pentadbiran Bugis setelah ia menjadi pusat perdagangan yang unggul di Asia Tenggara:

To continue the story of the Yang Dipertuan Muda Daeng Kamboja in Riau. He devoted himself solely to extending Riau`s trade. Several trading perahu came from distant places, and scores of keci came from Bengal, bringing goods from there; scores of wangkang arrived from China with green or red bows; scores of tob came from Siam bringing Siamese goods; and as well as these, perahu from Java. There were scores of selub, senat, tiang sambung, and pencalang from the Bugis lands, pedewakan as well as perahu from the outlying territories, crammed like sardines in the Riau River from the estuary to Kampung China. Goods from China competed with those from Java, and Javanese goods competed with those from Riau, such as gambier, and there were numerous Chinese merchants as well as locally born Bugis merchants. During this period there were many wealthy people in the country (Raja Ali Haji, 1982).

Kehadiran orang Bugis dalam urusan kerajaan Johor-Riau telah merancakkan perkembangan ekonomi, selain mengukuhkan pengaruh Bugis dalam kerajaan Melayu. Perkembangan itu boleh dilihat pada pembentukan kesultanan Bugis di Selangor selain aktiviti mereka di Perak, Kedah dan sepanjang pantai timur Sumatera, terutamanya di Indragiri, Siak dan Minangkabau. Kegiatan mereka berteraskan perdagangan dan pentadbiran kerajaan. Pedagang Bugis juga penting kepada Melaka semasa dikuasai Belanda. Dari tahun 1780 hingga 1783, sebanyak 178 buah kapal Bugis telah singgah di Melaka (Nordin Hussin, 2001). Kemajuan Riau semasa diperintah keluarga Daeng lima bersaudara juga menjelaskan sifat serta jati diri orang Bugis. Sifat kepahlawanan, kejujuran dan displin orang Bugis telah diterap sebagai nilai pentadbiran kerajaan Johor-Riau. Kemajuan pelabuhan Riau di era pentadbiran Yang Dipertuan Muda Daeng Kemboja itu disambung Yang Dipertuan Muda Raja Haji sehingga ditawan Belanda pada tahun 1784 (Vos, 1993). Riau bukan sahaja maju dari segi perdagangan, tetapi juga telah berkembang menjadi pusat pemikiran Melayu.

Peranan pedagang Bugis di Melaka zaman Belanda dan Inggeris kelihatan dalam banyak laporan (Nordin Hussin, 2001). Melaka bukan sahaja pusat pengeluaran barangan untuk diperdagangkan, tetapi juga pusat pengedaran barangan yang dibawa dari tempat lain di Nusantara. Pedagang Bugis telah membawa barangan dari tempat lain ke Melaka. Setelah pelabuhan di Riau ditawan Belanda, pedagang Bugis telah membina jaringan perdagangan mereka di banyak pelabuhan di Selat Melaka dan Nusantara. Antaranya adalah di Siak, Selangor, Pahang, Asahan, Indragiri, Aceh, dan Pulau Pinang (Nordin Hussin, 2006).

Sebelum Riau jatuh ke tangan Belanda pada tahun 1874, banyak pedagang Bugis yang aktif berdagang di Melaka itu datang dari Riau dan Selangor (Nordin Hussin, 2006). Mereka sering membawa kapal jenis padowakang dan pantjallang (Nordin Hussin, 2006). Dari laporan tentang kapal yang keluar masuk di pelabuhan Melaka, kapal dagang yang paling kerap bersinggah di Melaka adalah kepunyaan pedagang Melayu dan Eropah dengan diikuti pedagang Bugis, Cina, Melayu-Melaka dan Cina-Melaka (Nordin Hussin, 2006). Pedagang Eropah yang ramai sekali adalah orang Inggeris dari Syarikat India Timur Inggeris dan syarikat swasta Inggeris. Sementara itu, pedagang Melayu yang datang ke Melaka telahmencatatkan peratus yang tertinggi: 42% daripada jumlah keseluruhan pedagang yang mendatangi Melaka pada tahun 1780/82, walaupun angka itu jatuh kepada 37% pada tahun 1791/93. Selain itu, pedagang Bugis yang telah mencatatkedatangan sebanyak 15% dalam tahun 1780/82 itu merosot kepada 10% dalam tahun 1791/93. Pedagang Bugis itu dari Riau. Selepas perang antara Belanda dan Bugis di Riau pada tahun 1784, pedagang Bugis telah berpindah ke pelabuhan di Selangor, Trengganu, Trantan, dan Tembelan. Selepas tahun 1790-an, banyak daripada mereka datang dari Selangor, Trengganu, dan Trantan. Laluan perdagangan yang sering mereka gunakan adalah Riau, Melaka dan Selangor. Mereka membawa kain Bugis, sarang burung, emas, hamba dan hasil laut yang kebanyakannya dari Borneo. Kadang kala mereka datang tanpa membawa barang, tetapi telah membawa pulang kain dari India yang dibeli di Melaka untuk dipasarkan di merata pelabuhan di Dunia Melayu.

Setelah Pulau Pinang dibuka Inggeris pada tahun 1786, kemajuannya di peringkat awal bergantung sepenuhnya pada pedagang Melayu dan Bugis (Nordin Hussin, 2001 & 2005). Oleh sebab Pulau Pinang tidak mempunyai bahan mentah untuk dijual, orang Inggeris terpaksa bergantung sepenuhnya pada pedagang Melayu dan Bugis untuk membawa hasil pertanian seperti rempah, lada hitam, hasil hutan, hasil laut dan galian, termasuk bijih timah dan emas. Sehubungan itu, pedagang Melayu dan Bugis telah menarik pedagang dari India dan China untuk ditukarkan barang mereka. Peningkatan perdagangan itu telah membawa kepada peningkatan kapal dagang dari India dan China ke Pulau Pinang.

Oleh sebab penguasaan Inggeris di Melaka serentak dengan peperangan Napoleon di Eropah, pihak Inggeris telah memaksa pedagang Bugis yang singgah di Melaka pergi ke Pulau Pinang (Nordin Hussin, 2001). Taktik itu telah berjaya menarik ramai pedagang Bugis yang mempunyai rangkaian perdagangan ke Pulau Pinang. Hasilnya, jumlah kapal yang singgah di Pulau Pinang telah bertambah. Peningkatan perdagangan itu telah menolong Pulau Pinang menjadi maju dan makmur. Perkembangan itu telah membuat orang Bugis membuka perkampungan Bugis di selatan pulau itu. Perkampungan itu telah berkembang sejajar dengan perkembangan perdagangan di pelabuhan. Kesemua itu membuat Inggeris sangat menghargai pedagang Bugis. Sehubungan itu, banyak laporan mengenai pedagang Bugis telah dibuat Inggeris. Catatan daripada orang Inggeris itu selari dengan yang telah ditulis Tome Pires yang telah singgah di Melaka pada awal abad ke enam belas. Berikut adalah pandangan daripada seorang penulis Inggeris mengenai orang Bugis yang telah berdagang dan menetap di Pulau Pinang semasa ia dibuka oleh Inggeris:

The Buggesses, though few inhabit here at present, yet as they come annually to trade and remain two or three months on shore to the number of one or two thousand, they are during their residence a part of our society. They are Mahomedans, a proud, warlike, independent people, easily irritated and prone to revenge, their vessels are always well provided with arms which they use with dexterity and vigor; they are the best merchants among the Eastern Islands. They are better governed by patient and mild exhortation than by force, if they commit a trespass they are easily made sensible and may berita persuaded to render satisfaction, but they reluctantly yield to stern authority, they required to be carefully watched and cautiously ruled. The great value of their cargoes either in bullion or goods, with the quantity of opium and piece goods they export, make their arrival much wished for by all mercantile people (Logan, 1851: 10).

Laporan Inggeris itu menggambarkan sifat dan nilai yang dipunyai pedagang Bugis untuk sekian lamanya. Nilai, sifat dan semangat kepahlawanan yang diceritakan Pires pada tahun 1512 semasa bertemu dengan pedagang Bugis di Melaka itu masih diamalkan orang Bugis yang juga telah ditemui Logan pada tahun 1830-an. Nilai itu telah menjadi identiti melambangkan semangat waja orang Bugis, selain mereka itu berhemah tinggi, jujur dan berdikari. Kesemua sifat itu telah membuat mereka menjadi pedagang yang dihormati dan disanjung tinggi orang Eropah. Dalam laporannya mengenai perkembangan pelabuhan Pulau Pinang, George Leith juga telah mencatatkan sifat, perwatakan dan perawakan pedagang Bugis. Lihat pandangannya di bawah ini:

… bold, independent and enterprising make good soldiers have a small town on the Penang River (Leith, 1805).

Kenyataan George Leith itu menunjukkan orang Bugis mempunyai keperibadian, jati diri dan daya usaha untuk berniaga yang tinggi. Disebabkan kekuatan itu, mereka adalah calun yang terbaik untuk dijadikan anggota pasukan tentera tempatan kepada kuasa barat. Tidaklah hairan jika dalam tentera Belanda ada banyak orang tempatan, terutamanya orang Bugis.

Kesimpulan
Pedagang Bugis telah berjaya menguasai segala pelosok Nusantara. Kejayaan itu disebabkan sifat dan peribadi orang Bugis: kepahlawanan, kejujuran, kegagahan, kebijaksanaan dan keberanian. Kesemua sifat itu terkandung dalam konsep siri serta pesse mereka. Kekuatan ini telah diperkukuhkan dengan cerita sejarah I La Galigo dan pengembaraan tokoh Sawerigading. Semangat dan jiwa kepahlawanan itu telah membuat mereka berdaya saing untuk maju sehingga telah menguasai dunia perdagangan serta lautan yang tanpa sempadan. Kejujuran pedagang Bugis menjadi terkenal dan disanjung tinggi di mana sahaja mereka pergi, berjual serta berdagang. Tanggapan seperti itu telah membuat mereka berada jauh ke depan dan sering muncul dalam laporan Inggeris di Pulau Pinang. Susuk badan mereka yang gagah telah membuat mereka bertahan dalam pelayaran laut yang jauh. Keberanian dan kegagahan mereka telah membuat mereka tahan mengharungi laut yang bergelora serta cuaca yang tidak tentu arah. Mereka juga bijak dan pandai berniaga sehinggakan telah menguasai jaringan pedagangan yang luas di Nusantara. Kesemua sifat itu adalah lambang keperibadian yang membuat mereka berjaya di semua pelabuhan di Nusantara. Berbekalkan jaringan yang luas, mereka memainkan peranan penting dalam menyebarkan barang-barang Nusantara. Peranan pedagang Bugis itu dilengkapkan kebolehan Daeng lima bersaudara telah menambah warna baru kepada kerajaan Melayu yang berteraskan perdagangan samudera di Selat Melaka.

Rujukan:
Andaya, Barbara Watson. 1979. Perak, The Abode of Grace A Study of an Eighteenth Century Malay State. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
Andaya, L.Y. 1975. The Kingdom of Johor, 1641-1728. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
_______. 1981. The Heritage of Arung Palakka: A History of South Sulawesi (Celebes) in the 17th Century. The Hague: Martinus Nijhoff.
_______. 1995. “The Bugis-Makassar Diasporas”, in JMBRAS 68 (1): 119-138.
Barbosa. 1918. The Book of Duarte Barbosa, An Account of the Countries Bordering on the Indian Ocean and Their Inhabitants A.D. 1518. Translated by Mansel LongworthDames, Part II, London: The Hakluyt Society.
Cortesao, Armando. 1944. The Suma Oriental of Tome Pires and the Book of Francisco Rodrigues. London: Haklyut Society.
Gunn, Geoffrey C. 2003. First Globalization: The Eurasian Exchange 1500-1800. Oxford: Rowman.
Kathirithamby-Wells, J. & Villiers, John. 1990. The Southeast Asian Port and Polity Rise and Demise. Singapore: Singapore University Press.
Kern, R.A. 1993. I La Galigo.Yogyakarta: Gadjah Mada University Press. Knaap, G. 1996. Shallow Waters Rising Tide. Leiden: KITLV Press.
_______. & Sutherland, Heather. 2004. Monsoon Traders: Ships, Skippers and Commodities in 18th Century Makassar. Leiden: KITLV Press.
Laica Marzuki. 1995. Siri: Bagian Kesadaran Hukum Rakyat Bugis-Makassar. Ujung Padang: Hasanuddin University Press.
Leith, George. 1805. A Short Account of the Settlement, Produce and Commerce of Prince of Wales Islands in the Straits of Melaka. London: J. Booth.
Lewis, Dianne. 1977. “British Policy in the Straits of Malacca to 1819 and the Collapse of the Traditional Malay States Structure: 17-33”, in Brook Barrington, (ed.), Empires, Imperialism and Southeast Asia. Monash: Asia Institute.
Logan, J.R. 1851. “Notices of Penang”, in Journal of Indian Archipelago. 5: 1-14, 53-65,
93-119, 155-73, 189-210, 292-305, 354-366, 400-429.
Meilink-Roelofsz. 1990. Asian Trade and European Influence in the Indonesian Archipelago Between 1500 and About 1630. The Hague: Martinus Nijhoff, 1962.
Moh. Yahaya Mustafa (et.al). 2003. Siri dan Pesse Harga Diri Orang Bugis, Makassar, Mandar, Toraja. Makassar: Pustaka Refleksi.
Nordin Hussin. 2001. Melaka and Penang 1780-1830: A Study of Two Port Towns in the Straits of Melaka. Amsterdam: Vrije Universiteit Amsterdam. (Ph. D. Thesis).
_______. 2005. “Networks of Malay Merchants and the Rise of Penang as a Regional Trading Centre,” in JSEAS .43 (3):215-237.
_______. 2006. Trade and Society in the Straits of Melaka, Dutch Melaka and English Penang 1780-1830. Copenhagen: Nias Press.
Pires, Tome.1944. The Suma Oriental of Tome Pires: An account of the east, from the Red Sea to Japan, Written in Malacca and India in 1512-1515. London: HakluytSociety.
Raja Ali Haji. 1982. Thufat Al-Nafis: The Precious Gift. Kuala Lumpur: Oxford University Press.
__________

-

Arsip Blog

Recent Posts