Memperkasa Bahasa Melayu dalam Kalangan Rakyat

Kuala Lumpur, Malaysia - Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan 2015 peringkat Sektor Pendidikan yang diadakan secara besar-besaran semalam di Universiti Sains Malaysia (USM) diyakini mampu memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia.

Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Kementerian Pendidikan, Noraziah Ahmad Ghazali berkata, pelbagai acara menarik telah dirancang untuk menjayakan sambutan tersebut yang dihoskan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Beliau berkata, setiap tahun Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi dan JPNIN yang terletak di bawah Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan akan bergilir-gilir menganjurkan sambutan tersebut dan pada tahun ini giliran JPNIN.

“Antara program yang telah disusun pada sambutan tersebut, penyampaian Anugerah Bahasa, seminar, bicara tokoh, forum, pertandingan pidato, permainan Sahibba, pertandingan puisi dan banyak lagi program yang berkaitan dengan bahasa Melayu.

“Sehubungan itu, orang ramai dijemput hadir untuk memeriahkan lagi penganjuran tersebut sekali gus dapat memartabatkan bahasa Melayu menghayati serta menjayakan kegiatan kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan,” katanya dalam sidang akhbar di sini baru-baru ini.

Menurut Noraziah, segenap lapisan masyarakat perlu memperbaharui iltizam terhadap jati diri dalam penggunaan bahasa kebangsaan.

Beliau berkata, bagi mencapai matlamat itu, kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan boleh dijadikan medan untuk menyatukan masyarakat agar mencintai bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan rasmi negara ini.

“Kegiatan kebahasaan dan kesusasteraan boleh dijadikan medan untuk melibatkan seluruh masyarakat bersama-sama menunjukkan kecintaan terhadap bahasa kebangsaan, tanpa mengira bangsa, agama dan juga kedudukan sosial.

“Bagi pihak kementerian, kami sentiasa bekerjasama menjadikan usaha ini sebagai agenda bersama untuk memartabatkan bahasa kebangsaan dan berharap akan dapat diteruskan pada tahun mendatang dengan melibatkan pelbagai lagi acara,” katanya.

Mengulas mengenai pemerkasaan bahasa Melayu di sekolah, Noraziah berkata, kementerian telah merangka pelbagai inisiatif untuk memartabatkan bahasa Melayu di peringkat sekolah rendah dan menengah termasuklah melaksanakan Ujian Kecekapan Bahasa Melayu (UKBM) dalam kalangan guru.

“UKBM yang diperkenalkan pada tahun lalu dilaksanakan kepada guru yang bukan opsyen Bahasa Melayuuntuk menilai kecekapan mereka, guru yang terlibat perlu lulus ujian yang dibangunkan oleh Bahagian Pendidikan Guru (BPG) sebelum dibenarkan mengajar Bahasa Melayu atau perlu mengikuti kursus penataran dan kecekapan sekiranya gagal.

“Laporan pelaksanaannya telah pun dikemukakan kepada Jawatankuasa Kecil Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan baru-baru ini dan rintis pertama juga telah menunjukkan kejayaan, tujuan pelaksanaannya ialah untuk menyediakan guru berkualiti dan berkemahiran tinggi,” katanya.

Tambahnya, usaha tersebut juga adalah strategi penting dalam dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang memberi fokus kepada kualiti guru dalam aspek pedagogi, kecekapan berbahasa dan profesionalisme.

“Kaedah baharu untuk meningkatkan kecekapan guru itu diyakini mampu memastikan setiap murid dan pelajar mendapat ilmu yang berguna tanpa sebarang kesilapan sekali gus dapat meningkatkan penguasaan bahasa Melayu,” katanya.

Sementara itu dalam sidang akhbar yang sama, Timbalan Ketua Pengarah Dasar Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof. Dr. Zaharani Ahmad berkata, tahap penggunaan bahasa Melayu di sekolah ketika ini adalah dalam keadaan baik.

“Peringkat sekolah penggunaan bahasa Melayu tiada sebarang masalah kerana secara dasarnya memang bahasa tersebut digunakan dalam pengajaran harian, tenaga pengajar juga terdiri daripada mereka yang fasih dan amat mendalami bahasa kebangsaan itu,” katanya.

Dalam pada itu katanya, penggunaan bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi awam (IPTA ) perlu dimartabatkan kerana audit yang dijalankan secara rawak di enam buah universiti mendapati bahasa Inggeris lebih diberikan keutamaan dalam pengajaran, persidangan dan penerbitan.

“Audit tersebut dijalankan pihaknya menerusi Pelan Memartabatkan Bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi (IPT) 2011-2015 dan keputusannya tidak membanggakan. Keputusan tersebut sekali gus menunjukkan bahasa Melayu tidak digunakan sebaik mungkin.

“Melalui pelan tersebut universiti sepatutnya mencapai tahap 30 peratus penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran, persidangan dan penerbitan, namun pencapaian yang dicatatkan di enam buah universiti terlibat hanya pada kadar 10 hingga 15 peratus,” katanya.

Bagaimanapun katanya, DBP tidak menyalahkan IPTA 100 peratus kerana mungkin mereka terlalu mengejar kedudukan dan mahu menjaga standard di pentas antarabangsa, oleh sebab itu pengajaran, persidangan dan penerbitan lebih menggunakan bahasa Inggeris.

-

Arsip Blog

Recent Posts