Jangan Biar Bahasa Melayu Hilang Keaslian

Jakarta - Pihak-pihak berkuasa mengenai bahasa di Malaysia dan Indonesia diingatkan supaya segera membetulkan hala tuju bahasa di kedua-dua negara itu agar tidak hilang keasliannya ekoran di­resapi bahasa asing.

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, pada masa ini kedua-dua negara ini mempunyai masalah peresapan bahasa iaitu sesuatu bahasa telah diresapi bahasa asing sehingga keindahannya telah dirosakkan menyebabkan sifat asalnya berubah.

“Apabila bahasa Inggeris masuk secara keterlaluan, maka sifat bahasa Melayu dan Indonesia itu akan berubah terus. Suatu hari nanti jika kita tidak memperbetulkan arah tuju bahasa kita, maka kita akan kehilangan keasliannya. Jika ini berlaku, bangsa kita tidak lagi dikenali melalui bahasa Melayu atau bahasa Indonesia,’’ ujarnya.

Rais berkata demikian ketika berucap selepas menerima Anugerah Mahaputra Utama yang dianugerahkan oleh Kantor Berita Antara, di sini hari ini.

Anugerah tersebut adalah yang tertinggi diberikan oleh Antara untuk mereka yang menyumbang jasa bakti di bidang kemajuan bahasa di nusantara.

Bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu menarik perhatian bahawa bahasa Melayu dan Indonesia pada masa ini belum mencapai tahap bahasa ilmu kerana bahasa Inggeris masih digunakan dengan meluas dalam semua bidang.

“Sehubungan itu, kita perlu menyaingi keadaan ini agar suatu hari nanti bahas Melayu dan bahasa Indonesia akan menjadi bahasa ilmu sebagaimana bahasa Inggeris pada masa ini,” tegasnya.

Beliau kesal kerana ada pihak yang bersikap pesimis mengenai kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu dengan alasan bahasa Inggeris menjadi bahasa ilmu kerana kemajuan tinggi yang dicapai oleh negara-negara barat.

Katanya, jika negara China dan Jepun yang tetap menggunakan bahasa ibunda mereka dalam bidang ilmu boleh mencapai kemajuan yang tinggi di bidang teknologi dan saintifik, tidak ada sebab bahasa Melayu tidak boleh mencapai tahap sedemikian.

“Semua ini bergantung kepada sistem pendidikan. Jika kekuatan Malaysia dan Indonesia digabungkan (dalam bidang bahasa), ada harapan untuk kita bersaing dengan bahasa Inggeris untuk jadi bahas dunia,” ujarnya.

-

Arsip Blog

Recent Posts