Melaka, Malaysia - Masyarakat perlu terus memainkan peranan mempertahankan warisan kebudayaan termasuk bahasa, sastera, pemikiran, falsafah dan kesenian yang merupakan elemen penting untuk membina peradaban selain melahirkan modal insan cemerlang.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, sesebuah negara tidak boleh lari daripada identitinya terutama dalam aspek pembangunan kebudayaan dan untuk itu usaha memartabatkan seni warisan negara perlu diteruskan.
Beliau berkata, sebagai contoh pantun Melayu telah berkembang dengan baik melalui pengaruh liku-liku sejarah peradaban masyarakat sekeliling, pandangan masyarakat serta kreativiti ciptaan bangsa Melayu.
“Pantun merupakan satu bentuk puisi tradisional yang lahir daripada jiwa orang Melayu dan ianya memenuhi keperluan pengucapan masyarakat Melayu.
“Melalui penganjuran program seumpama ini, kerajaan berharap ia akan dapat memperkenalkan dan memberi pendedahan serta menghidupkan semula warisan Melayu kepada generasi muda khususnya belia, pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Pertandingan Akhir Berbalas Pantun Melayu Serumpun dan Pertandingan Dondang Sayang di Perkampungan Seni Muara Sungai Duyong di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Tan Sri Mohd. Ali Rustam; Pengerusi Institut Seni Malaysia Melaka (Ismma), Prof. Datuk Dr. Abdul Latiff Abu Bakar dan Pengurus Besar Ismma, Mohd. Nasruddin Rahman.
Program anjuran Ismma melibatkan penyertaan lebih 140 peserta itu turut mendapat kerjasama Pejabat Pembangunan Persekutuan Melaka, Jabatan Warisan Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Biro Sosio Budaya DMDI, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) serta Biro Tatanegara Jabatan Perdana Menteri (JPM) cawangan Melaka.
Antara peserta yang mengambil bahagian termasuk wakil dari Medan, Tanjung Pinang dan Padang Panjang, Indonesia serta penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Bahasa Melayu, Kuala Lumpur; IPG Kampus Tengku Ampuan Afzan, Pahang dan IPG Kampus Tun Hussein Onn, Johor.
Turut serta adalah beberapa buah universiti seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seri Iskandar, Perak; UiTM Kampus Bandar Raya Melaka, UiTM Kampus Arau, Perlis dan Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.
Menurut Abu Bakar, pendekatan seni itu dilihat penting memandangkan ia sudah semakin dilupakan dan tidak diamalkan terutamanya dengan perubahan persekitaran yang lebih tertumpu kepada media sosial.
Menurutnya, masyarakat berbilang bangsa di negara ini amat memerlukan tunjang seni sebagai santapan jiwa selain menjadikan elemen itu sebagai teras dalam sosiobudaya rakyat tempatan dan juga Nusantara.
“Dalam konteks ini, kefahaman dan penghayatan terhadap pelbagai aspek tentang jati diri juga perlu diperluas terutamanya di kalangan belia melalui penyebaran dan pengembangan ilmu.
“Justeru, saya menyambut baik usaha yang dilaksanakan Ismma dengan kerjasama beberapa pihak menangani arus perubahan dan cabaran semasa dengan menerapkan kesedaran seni budaya dalam memartabat dan memantapkan jati diri seni warisan melalui kegiatan kesenian,” katanya.
Pada majlis itu, Norliza Md. Yamin diumumkan sebagai johan pertandingan berbalas pantun manakala tempat kedua dan ketiga dimenangi peserta dari Indonesia, Irwan Shah dan Musliha Wardana.
Bagi kategori Dondang Sayang dan Joget pula, johan dimenangi oleh Saidatul Nadira Shaharom, manakala Norliza merangkul tempat kedua diikuti peserta Indonesia, Evagus Malayanti di tempat ketiga.
Johan bagi kedua-dua kategori itu membawa pulang wang tunai RM2,000 beserta piala dan sijil, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000 dan RM800 beserta sijil dan piala.
Sumber: http://www.utusan.com.my