Bahasa Melayu Perlu Diperkasakan

Kuala Lumpur, Malaysia - Bahasa Melayu perlu diperkasakan dengan langkah-langkah yang lebih teguh kerana dilihat semakin terancam dengan penguasaan bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris.

Kebimbangan tersebut disuarakan Sasterawan Negara, Datuk Dr. Anwar Ridhwan yang memberi contoh peminggiran penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi harian, pengiklanan, papan tanda serta nama khas bagi sesebuah bangunan atau jalan raya.

Beliau berkata, kelemahan penguatkuasaan menjadi penambah ’barah’ sehingga menyebabkan bahasa asing ’bermaharajalela’ di dalam negara yang mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

’’Ada kelemahan penguatkuasaan. Contohnya, di peringkat permohonan dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk iklan atau papan tanda, perlu ada ketegasan mengutamakan bahasa Melayu.

’’Ancaman ini nyata serta semakin buruk dan ditambah dengan sikap kita yang agak liberal terhadap bahasa asing. Jadi, kalau sudah terlanjur, bukan bererti tidak boleh ubah tetapi perlu ada keberanian politik,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas diumumkan sebagai antara pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2012 bagi Kategori A (buku atau kumpulan karya perseorangan) menerusi karya bertajuk Penyeberang Sempadan yang diterbitkan Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Majlis penyerahan hadiah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan turut dihadiri Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Awang Sariyan.

HSPM merupakan pengiktirafan diberikan kepada karya sastera kebangsaan dan tahun ini mengiktiraf 40 karya sastera yang menyaksikan kemunculan beberapa penulis muda berbakat.

Penulis Sabah dan Sarawak juga mula menguasai HSPM 2012 termasuk kemenangan pemberita sambilan Utusan Malaysia di Sabah, Mabulmaddin Shaiddin melalui Kategori B (puisi eceran) bertajuk Tulisan.

Anwar menambah, Malaysia perlu mencontohi pemerintah Indonesia yang kini menunjukkan keberanian politik dengan menukar beberapa penggunaan bahasa Inggeris kepada ’akar’ bahasa Indonesia.

Sementara itu, beliau mengajak pengarang sastera Melayu supaya memiliki hasrat untuk melahirkan karya bermutu serta mencapai tahap antarabangsa.

-

Arsip Blog

Recent Posts