Peranan dan Kedudukan Perempuan Melayu dalam Masyarakat Matrilineal Minangkabau di Sumatera Barat

Oleh Hermayulis

Pengenalan
Sebelum memperkatakan peranan dan kedudukan perempuan dalam adat Melayu Serumpun, perlu disepakati dahulu tentang konsep Melayu Serumpun. Ia setidaknya dapat difahami dari dua makna: masyarakat Melayu Polinesia dan masyarakat atau suku-suku bangsa di Nusantara. Dalam makalah ini saya ingin memperkatakan Melayu Serumpun dalam rangka masyarakat atau suku-suku bangsa di Nurantara.

Bila menyentuh “perempuan” akan ditemui dua istilah untuk jenis kelamin ini. Satu daripadanya ialah “wanita”. Memperhatikan rasa bahasa dan semantik dalam bahasa Minangkabau, saya memilih istilah “perempuan”.

C. van Vollenhoven dalam literatur hukum adat di Indonesia menyatakan Nusantara dibahagikan kepada sembilan belas kelompok masyarakat hukumadat. Ini bermakna ada sembilan belas kumpulan masyarakat menganuti hukum adat yang berbeza antara satu dengan yang lain di Indonesia. Setiap masyarakat itu mempunyai hukum adat yang mengatur kehidupan dan pergaulan hidup dalam masyarakat yang berkenaan. Yang akan dijadikan tumpuan perbincangan
dalam makalah ini ialah masyarakat yang mengikuti Adat Minangkabau.

Masyarakat Adat Minangkabau menjalankan kehidupan keluarga tertakluk kepada sistem matrilineal. Dalam sistem kekerabatan ini garis keturunan disusur galur mengikut keturunan ibu. Anak akan menjadi anggota kerabat ibunya dan memperolehi persukuan ibu. Dalam literatur tentang kemasyarakatan dinyatakan bahawa sistem kekerabatan matrilineal yang terbesar di dunia adalah Minangkabau. Di Sumatera, masyarakat yang tertakluk kepada sistem matrilineal Minangkabau tidak hanya menduduki wilayah Sumatera Barat, tetapi juga provinsi Jambi, Riau dan Sumatera Utara. Di luar Sumatera, sistem kekerabatan yang hampir serupa itu dijumpai di kecamatan Belu, Provinsi Nusa Tenggara Timur.

Kedudukan Perempuan Minangkabau
Maksud kedudukan adalah martabat individu dalam masyarakat. Makalah ini khusus menghuraikan martabat perempuan dalam masyarakat Minangkabau di Sumatera Barat.

Dalam masyarakat Minangkabau di Sumatera Barat, ada dua unsur yang disebut dalam dwi tunggal: mamak dan bundo kanduang (ibu soko dalam bahasa Melayu). Mamak adalah status (juga dinyatakan sebagai institusi) yang diberi kepada laki-laki dalam keturunan keluarga ibu. Termasuk dalam institusi mamak adalah saudara laki-laki ibu, bapak saudara sebelah ibu, anak laki-laki dari pihak keturunan ibu. Menurut tambo,sejarah Minangkabau, bundo kanduang adalah institusi perempuan. Ia sangat penting. Dalam banyak tulisan, termasuk Tambo Alam Minangkabau yang ditulis Datoek Toeah (1984: 219), bundo kanduang adalah penguasa perempuan yang diertikan sebagai ratu di Minangkabau. Makna bundo adalah ibu dan kanduang, sejati. Jadi, bundo kanduang adalah ibu sejati yang mempunyai sifat keibuan dan kepemimpinan. Pengertian itu menyatakan bahawa perempuan ditempatkan sebagai pemilik sifat kepemimpinan. Peranan bundo kanduang dimainkan setiap perempuan di Minangkabau sehinggakan ia adalah panggilan kepada perempuan menurut adat Minangkabau.

Sebagai “pengantar” keturunan, perempuan harus menjaga diri dan menempatkan dirinya dalam aturan adat basandi Syara, tahu membezakan antara baik dan buruk, halal dan haram dalam hal makanan, dan banyak lagi perbuatan lahiriah lain. Bundo kanduang dalam masyarakat Minangkabau mempunyai tempat yang mulia, dikenali “pepatah adat” sebagai Bundo kaduang, limpapeh rumah nan gadang, pusek jalo kumpulan tali, sumarak di dalam kampuang, hiasan dalam nagari.

Kedudukan bundo kanduang dalam undang-undang adat Minangkabau adalah:

a. Penentu nazab (zuriat) keturunan
Semua anak yang lahir daripada nazab ibu akan memperolehi suku ibu dan tidak menurut suku bapak. Dalam sistem metrilineal itu, hubungan antara anak dan keluarga ibu adalah lebih akrab daripada suku bapak. Selanjutnya, pendidikan dan perilaku anak lebih kuat dipengaruhi dan diwarnai perilaku dan kebiasaan yang terdapat di lingkungan keluarga ibu.

b. Limpapeh rumah gadang
Limpapeh rumah gadang bererti perempuan yang berkedudukan sebagai penguasa rumah gadang. Perempuan mempunyai rumah tempat kediaman. Bagi perempuan Minangkabau, mempunyai rumah adalah perkara utama. Pada masa lalu, mamak atau saudara lelaki di Minangkabau tidak akan berpuas hati selagi belum mampu membina rumah untuk kemenakan atau saudara perempuannya. Hubungan itu sudah berubah masa kini. Dengan terjadinya perubahan hubungan pada keluarga batih (inti), bapak memainkan peranan lebih besar, dan bapak tidak berpuas hati selagi belum membina rumah untuk anak perempuannya. Kehadiran rumah di Minangkabau disyaratkan dalam fatwa seperti dalam perbilangan adat ini Iduik batampek mati bakuburan; Kuburan hiduik di rumah gadang; kuburan mati di tangah padang. Maknanya hidup ada tempatnya, meninggal ada makamnya; tempat hidup ialah di rumah besar; tempat berkubur di tengah padang.

c. Pemilik harta pusaka
Pemilikan harta, terutamanya tanah dan apa sahaja yang terdapat di atas tanah itu, termasuk rumah, adalah hak milik pihak perempuan. Harta itu berfungsi sebagai sumber ekonomi. Sumber ekonomi yang diutamakan perempuan adalah sawah, ladang, banda buatan (seperti kolam ikan). Semua harta benda yang berkait dengan tanah itu dimiliki perempuan, sementara laki-laki bertanggung jawab untuk mengurus, mengawas dan memeliharanya untuk kepentingan keluarga matrilineal. Bagi keluarga matrilineal, lelaki adalah tulang punggung yang kuat bagi perempuan dalam erti kata lelaki memainkan peranan dan tanggung jawab untuk menambah harta benda milik keluarga matrilineal itu.

Peranan Perempuan Minangkabau
Antara makna peranan adalah bahagian yang dimainkan individu, selain tindakannya. Dalam tulisan ini, peranan dimaksudkan sebagai tindakan perempuan dalam masyarakat. Peranan perempuan Minangkabau di Sumatera Barat adalah:

1. Menyimpan Hasil Usaha Ekonomi
Peranan ini disebut dalam adat Minangkabau sebagai umbun puruak pagangan kunci, umbun puruak aluang bunian. Maknanya perempuan berperanan sebagai pemegang kunci (orang yang menyimpan dan menjaga) hasil kegiatan ekonomi anggota keluarga. Peranan itu telah melekat pada perempuan Minangkabau, bahkan sangat tertonjol semasa lelaki merantau. Perempuan Minangkabau sudah biasa dengan peranannya sebagai ibu tunggal menjaga anak-anaknya sepanjang tempoh suaminya merantau. Dalam masa itu ekonomi keluarga akan menjadi tanggung jawab sepenuh bagi perempuan. Perempuan Minangakabau sudah biasa, kerana sudah terlatih membuatnya. Di Kabupaten Agam dan Kota Bukittinggi, banyak sekali perempuan membuat baju, sulaman, baju kurung, kebaya, telekung dan lain-lain dijadikan home industry.

2. Sumarak dalam nagari, hiasan dalam kampung (penyemarak dalam nagari dan hiasan (dekor) dalam kampong.
Perempuan akan membuat indah dan semaraknya nagari, dalam erti kehidupan dalam nagari. Nagari akan menjadi hidup dan teratur dengan perempuan memainkan pelbagai peranan.

3. Nan gadang basa batuah (bertuah)
Perempuan adalah anggota masyarakat yang istimewa kerana mempunyai karisma yang disegani dari segi kecerdasan dan kepakarannya kepimpinan dan pengkelolaan bukan sahaja dalam keluarga, tetapi juga dalam masyarakat. Mereka akan menjadi pai tampek batanyo, pulang tampek babarito, maknanya pergi tempat bertanya, pulang tempat berberita.

4. Kaunduang-unduang ka Madinah, ka payuang panji ka sarugo (Penutup kepala atau tudung dari panas atau hujan ke Madinah, untuk payung panji ke Syorga)
Dalam pepatah di atas, perempuan dinyatakan sudah memainkan peranan sebagai pelindung dan penjaga anggota keluarga, anggota suku atau kaumnya daripada perbuatan orang lain dan juga perbuatan dirinya yang bertentangan dengan nilai agama dan adat.

5. Hak suara perempuan dalam mesyuarat
Dalam masyarakat Minangkabau, bundo kanduang mempunyai hak dan suara yang sama dengan laki-laki. Semua perkara diputuskan dalam mesyuarat dengan melibatkan suku dan kaum, termasuk majlis perkahwinan. Dalam majlis perkahwinan, peranan perempuan sangat menentukan dalam erti kata majlis perkahawinan tidak akan dilaksanakan jika perempuan tidak bersetuju. Namun, ada tiga pendapat yang bertentangan berkenaan hak dan suara perempuan. Ada yang menyatakan perempuan tidak mempunyainya kerana perempuan tidak boleh duduk bersama dengan lelaki dalam mesyuarat. Ada pula yang menyatakan perempuan boleh menyuarakan pendapatnya kerana mereka boleh menghadiri mesyuarat. Selain itu, ada yang menyatakan perempuan boleh menyampaikan pendapat mereka dengan pertolongan orang laki-laki.

Dalam perkembangannya masyarakat Minangkabau di Sumatera Barat, peranan ini sering dijadikan sasaran kajian. Kajian yang terakhir adalah daripada LP2M (Lembaga Pengkajian dan Pemberdayaan Masyarakat) yang dilakukan dalam tahun 2003 dan mendapati peranan bundo kandung sudah dilemahkan dalam sistem adat Minangkabau. Namun, perempuan telah diletakkan sebagai sosok yang harus dan patut dihormati dan dihargai. Yang pasti adalah perempuan Minangkabau dibimbing secara turun temurun dengan larangan-larangan (sumbang).

Perwatakan yang Diharapkan pada Bundo Kanduang
Bundo kanduang mesti mempunyai sifat kepemimpinan dan ibu sejati sebagai pengantara keturunan yang dapat menentukan sifat manusia yang lahir, lebih-lebih lagi menjadi tauladan kepada ahli keluarga dan masyarakatnya. Sifat-sifat mulia yang diharapkan adalah di antaranya:

1. Bersifat benar. Dalam kehidupan bersifat benar dalam perbuatan, perkataan, tingkah laku bukan sahaja penting untuk menegakkan kebenaran tetapi juga menjauhkan sifat dusta. Dalam adatnya, individu diajar supaya tidak mempunyai sifat balain muluik jo hat (cakap tidak serupa bikin).

2. Bersifat jujur dan dapat dipercayai lahir dan batin. Bundo kanduang hendaklah tidak menipu. Dalam adatnya dia ditegah mempunyai sifat mengguntiang dalam lipatan, manuhuak kawan sairing, melakak kuciang di dapua, manahan jarek dipintu, mencari dama ka bawah rumah, papek dilua runciang di dalam, tunjuak luruih kalingking bakaik. Maknnya menggunting dalam lipatan, menuhuk kawan seiring, memukul kucing di dapur, memasang jerat di pintu, mencari kemiri ke bawah rumah, pepat di luar runcing di dalam, telunjuk lurus kelingking berkait.

3. Bersifat cerdik. Bundo kanduang harus bersifat cerdik, tahu dan pandai dalam erti mengetahui mudharat dan manfaat, untung rugi, salah dan betul. Di sini, kepandaian itu bermakna pandai meletakkan segala pada tempat yang sesuai.

4. Pandai berbicara, kerana perempuan dikehendaki mendidik anak dalam rumah tangga, keluarga dan kaumnya.

5. Mempunyai sifat malu. Bundo kanduang dikehendaki selalu menjaga dan memelihara sifat malu dalam pergaulan.

Larangan Bagi Bundo Kanduang
Dalam interaksi sosialnya, bundo kanduang mesti mematuhi peraturan dan segala macam larangan adat, antaranya:
1. Tidak boleh memecahbelahkan rumah tangga orang lain.
2. Tidak boleh menghasut, menfitnah dan dengki terhadap orang lain.
3. Perlu menjaga sifat-sifat perempuan dalam pergaulan dan perbuatan.
4. Tidak boleh menyakiti, bersombong dan bertakabur.
5. Tidak boleh bergaul bebas dengan laki-laki yang bukan suaminya.
6. Tidak boleh melanggar kesopanan
7. Perlu tahu norma-norma adat dan agama.
8. Tidak boleh berdusta dan menipu,
9. Perlu memberi nasihat sesama kawan.
10. Tidak boleh mencarut
11. Perlu berhati-hati dalam pakaian dan pergaulan.
12. Tidak boleh bercakap kasar kepada orang tua, durhaka kepada ibu bapa
13. Perlu bersopan santun dalam majlis orang ramai.

Selain mempunyai sifat-sifat yang baik dan menjauhi larangan, kewajiban bundo kanduang dalam masyarakat Minangkabau adalah:
1. Melaksanakan ketentuan adat dan agama.
2. Memelihara harta pusaka.
3. Memelihara anak dan kemenakan dari segi lahiriah dan batiniah

Dalam rumah tangga, bundo kanduang dituntut untuk memiliki sifat seperti:
1. Arif bijaksana dan pandai menjaga ketenteraman rumah tangga.
2. Hormat dan hikmat.
3. Pandai mengatur rumah tangga.
4. Sabar dan hemat.

Dalam adat Minangkabau, terdapat dua belas sumbang yang perlu dijauhi bundo kanduang:
1. Sumbang duduk: dilarang duduk di tempat banyak laki-laki, atas pintu tingkap, duduk mencangkung dan sebagainya.
2. Sumbang tegak (berdiri): dilarang duduk dan berdiri di persimpangan jalan tanpa urusan.
3. Sumbang diam: dilarang tinggal di tempat banyak orang laki-laki dan tinggal bersama bapak tiri berdua orang.
4. Sumbang perjalanan: dilarang berjalan berduaan dengan laki-laki di tempat sunyi dan gelap.
5. Sumbang perkataan: dilarang berkelakar di depan orang laki-laki.
6. Sumbang penglihatan: dilarang menatap orang lain atau barang milik orang lain.
7. Sumbang pakaian: dilarang berpakaian seperti orang laki-laki.
8. Sumbang pergaulan: dilarang duduk, bersembang, bercanda dan ketawa kuat dengan orang laki-laki yang bukan muhrimnya.
9. Sumbang pekerjaan: dilarang membuat kerja yang berat yang dilakukan orang laki-laki.
10. Sumbang tanya: dilarang mengajukan pertanyaan yang boleh menyinggung perasaan orang lain.
11. Sumbang jawab: dilarang menjawab pertanyaan orang lain dengan tergesa-gesa.
12. Sumbang tingkah laku: dilarang bertingkah laku yang tidak menyenangkan orang lain, seperti berbisik, bercakap sambil melihat orang lain.

Kedudukan dan Peranan Perempuan Minangkabau di Indonesia
Di Minangkabau, ada tiga daerah dikenali sebagai daerah asal adat Minangkabau: luhak Tanah Datar, luhak Agam dan luhak Lima puluh koto. Sejak zaman penjajahan Belanda dan Jepun sehingga kemerdekaan Indonesia, luhak sebagai bentuk pemerintahan adat Minangkabau hanya tinggal dalam buku sejarah masa silam. Ini disebabkan kebanyakan peraturan itu sudah dipinggirkan, malah diganti peraturan undang-undang baru. Namun, Undang-Undang Dasar 1945 tetap mengakui dan memeliharanya. Dalam ceraian 18b Perubahan Undang- undang Dasar 1945 dinyatakan:

Negara mengakui dan menghormati kesatuan-kesatuan masyarakat hukum adat beserta hak-hak tradisionalnya sepanjang masih hidup dan sesuai dengan perkembangan masyarakat dan prinsip Negara Kesatuan Republik Indonesia, yang diatur dalam Undang-Undang.

Dalam menguatkuasakan peraturan hukum dan hak tradisionalnya yang diatur dalam perubahan Undang-undang Dasar 1945, hukum adat diupayakan untuk kembali. Merujuk Akta Nombor 22 tahun 1999 dalam Pemerintahan Daerah (sudah diganti dengan Akta Nombor 32 tahun 2005) yang antara lain memberi laluan kepada Pemerintah Kabupaten atau Kota untuk mengatur rumah tangga berdasarkan prinsip demokrasi; pemberdayaan masyarakat dengan memperhatikan potensi dan keanekaragaman daerah. Menyikapi ketentuan Akta No. 22 tahun 1999 melalui Peraturan Daerah (enaksemen) Propinsi Sumatera Barat Nombor 9 tahun 2000 tentang Ketentuan Pokok Pemerintahan Nagari, Sumatera Barat menetapkan akan kembali ke bentuk Pemerintahan Nagari. Pemerintahan Nagari untuk menggantikan pemerintahan Desa yang telah dikuatkuasakan di seluruh Indonesia sejak tahun 1979. Penguatkuasaan perintah desa dijadualkan dalam Akta Nombor 5 tahun 1979 tentang Pemerintahan Desa.

Nagari adalah kesatuan masyarakat hukum adat. Ia terdiri dari himpunan beberapa kumpulan suku di Minangkabau. Setiap suku itu mempunyai wilayah dan batas-batas tertentu, selain mempunyai harta sendiri, bebas mengurus rumah tangga masing-masing, termasuk memilih pemimpinnya. Pemerintahan Nagari di Sumatera Barat mengalami sejarah yang panjang. Pemerintahan Nagari pernah cuba dimansuhkan (dan tidak berjaya) daripada masyarakat Minangkabau. Ini berlaku dengan dikuatkuasakan Akta Nombor 5 tahun 1979 tentang Pemerintahan Desa. Akta ini adalah untuk mempersatukan perlembagaan pemerintahan daerah di seluruh Indonesia. Bentuk pemerintahan yang diperkenalkan undang-undang negara ini adalah “desa”.

Penguatkuasaan Akta ini dirasakan masyarakat Minangkabau di Sumatera Barat sebagai peraturan yang merosakkan nilai dan budaya adat Minangkabau. Sehubungan itu, maka pada tahun 1983 sudah digubal dan dikuatkuasakan Peraturan Daerah Sendiri, iaitu Peraturan Daerah (Kanun) Nombor 13 tahun 1983. Peraturan ini mengatur keberadaan Kerapatan Adat Nagari sebagai lembaga adat. Lembaga untuk dijadikan pendamping pemerintahan desa dalam melakukan pengelolaan budaya dan adat Minangkabau sebelum dikuatkuasakan Akta Nombor 5 tahun 1979. Dari hasil kajian yang dijalankan adalah didapati keberadaan Peraturan Daerah Nombor 13 tahun 1983 tidak banyak membantu menempatkan struktur dan budaya Minangkabau kembali ke tempatnya yang asal. Ini disebabkan penguasa adat tidak lagi berperanan sebagai pimpinan dalam masyarakatnya.

Dua puluh tahun kemudian, Pemerintah Negara Republik Indonesia menyedari perlunya diatur kembali pemerintahan dasar. Untuk itu dicadangkan untuk dihidupkan bentuk pemerintahan tradisional yang dianuti masyarakat di daerah. Kembali ke bentuk pemerintahan nagari di Sumatera Barat Daerah berdasarkan Peraturan Daerah Propinsi Sumatera Barat No. 9 tahun 2000 itu bermakna kembali kepada nilai budaya dan adat Minangkabau. Untuk kembali ke bentuk pemerintahan nagari, kedudukan dan peranan bundo kanduang dalam struktur masyarakat nagari diperlukan.

Kebijakan Pemerintah Daerah Sumatera Barat tentang Kedudukan dan Peranan Perempuan
Dalam masyarakat, baik yang berkelompok mahupun bernegara, peranan dan kedudukan perempuan amat kecil. Untuk meningkatkan peranan perempuan, diperlukan program memperkasakan perempuan.

Kebebasan Pemerintah dalam memperkasakan perempuan, lebih-lebih lagi kesejahteraan dan perlindungan anak, telah digubal Peraturan Pemerintah Nombor 25 Tahun 2000 dan Keputusan Presiden Nombor 163 tahun 2000. Mengikutnya, kuasa Pemerintah (Pusat) dalam memperkasakan kedudukan dan perempuan melihatkan antaranya:
1. Penetapan kebijakan di bidang memperkasakan perempuan dan kesejahteraan dan perlindungan anak untuk mendukung pembangunan secara makro.

2. Penyusunan rencana nasional secara makro untuk memperkasakan perempuan dan kesejahteraan dan perlindungan anak.

3. Pengaturan perjanjian atau persetujuan internasional yang disahkan atas nama negara di bidang memperkasakan perempuan dan kesejahteraan dan perlindungan anak.

4. Penetapan kebijakan sistem informasi nasional di bidang memperkasakan perempuan dan kesejahteraan dan perlindungan anak.

5. Penetapan pedoman dan pemberian dukungan serta kemudahan dalam peningkatan dan kesejajaran dan keadilan gender.

6. Penetapan pedoman perlindungan dan penghapusan tindak kekerasan terhadap perempuan, anak dan remaja.

Untuk mencapai objektif itu, pemerintah provinsi mesti diberi kuasa berkenaan:
1. Pelaksanaan kebebasan pemerintah di bidang pemberdayaan perempuan dan kesejahteraan dan perlindungan anak yang bersifat antar kabupaten/kota.

2. Perancangan, pengurusan dan penyelenggaraan pembangunan Pemberdayaan Perempuan dan Kesejahteraan dan Perlindungan anak secara makro.

3. Pelatihan bidang memperkasakan perempuan dan kesejahteraan dan perlindungan anak, termasuk kesehatan, kelahirandan lain-lain.

4. Penelitian di bidang memperkasakan perempuan dan kesejahteraan dan perlindungan anak yang mencakup wilayah.

5. Pengurusan lembaga pemerintah, swasta dan LSM di bidang memperkasakan perempuan dan kesejahteraaan anak.

6. Pembinaan peranan dan masyarakat di bidang memperkasakan perempuan dan kesejahteraan dan perlindungan anak.

Pada tingkat kabupaten/kota, pemerintah kabupaten/kota perlu mempunyai kuasa. Kuasa itu meliputi:
1. Kebebasan Pemerintah yang diserahkan kepada kabupaten/kota memperkasakan perempuan dan kesejahteraan dan perlindungan anak.

2. Perancangan, pelaksanaan, pengendalian dan pemantauan pembangunan memperkasakan perempuan dan kesejahteraan dan perlindungan anak kabupaten/kota.

3. Penyelarasan lembaga pemerintah, swasta dan LSM di bidang memperkasakan perempuan dan kesejahteraan dan perlindungan anak dalam lingkup kabupaten/kota.

4. Pembinaan peranan serta masyarakat di bidang memperkasakan perempuan dan kesejahteraan dan perlindungan anak di kabupaten/kota.

5. Kebebasan di bidang memperkasakan perempuan dan kesejahteraan dan perlindungan anak termasuk ke dalam 11 kuasa wajib yang telah diserahkan (kualiti hidup perempuan di bidang pendidikan, kesehatan, ekonomi dan lain-lain).

Telah diketahui bahawa dalam masyarakat Minangkabu di Sumatera Barat, kedudukan dan peranan perempuan adalah baik, walaupun telah mengalami pasang surut dari masa ke masa, tertakluk kepada perkembangan politik dan budaya. Kebijakan kerajaan dalam memperkasakan kedudukan dan peranan perempuan itu dilatari sebutan bundo kanduang sebagai limpapeh rumah nan gadang, maka telah ditubuhkan Biro Memperkasakan Perempuan. Visi memperkasakan perempuan di Sumatera Barat kerana hendak diwujudkan kesetaraan dan keadilan jantina, kesejahteraan dan perlindungan anak. Untuk mencapai visi itu, ditetapkan lima misinya:
1. Meningkatkan kualiti hidup perempuan dan anak di pebagai bidang.
2. Meningkatkan upaya kesetaraan dan keadilan jantina.
3. Menghapuskan segala bentuk kekerasan ke atas perempuan.
4. Menegakkan hak asasi perempuan dan anak.
5. Meningkatkan kemandirian lembaga dan perempuan.

Dalam makalah ini penulis cuba menunjukkan adanya peraturan daerah yang mengatur rancangan untuk meningkatkan kedudukan dan peranan perempuan dalam pembangunan. Satu dari peraturan itu adalah Peraturan Daerah Kabupaten Agam Nombor 31 tahun 2001 tentang Pemerintahan Nagari untuk menaikkan taraf perempuan agar mempunyai hak yang sama dengan laki-laki. Ini bermakna perempuan juga boleh dipilih menjadi Wali Nagari kerana dalam Seksyen 1 huruf p. Peraturan Daerah Kabupaten Agam No. 31 tahun 2001 dinyatakan: “putra putri yang dilahirkan menurut garis keturunan ibu (matrilineal) dan orang yang diakui dan diterima sepanjang adat dalam suatu nagari”.

Selanjutnya dalam Seksyen 24 Peraturan Daerah (Kanun) Kabupaten Agam No. 31 tahun 2001 dinyatakan wanita juga diikutsertakan dalam keanggotaan Panitia Pernilihan Wali Nagari. Keikutsertaan wanita di sini adalah kelembagaan bundo kanduang.

Sementara itu, dalam Seksyen 79 Peraturan Daerah Kabupaten Agam Nombor 31 tahun 2001, menyatakan bundo kaduang adalah termasuk sebagai ahli Badan Legislatif Nagari yang diperkenalkan Badan Perwakilan Rakyat Nagari (disingkat dengan BPRN), di selain nenek Mamak, Alim Ulama, Cadiak Pandai dan Generasi Muda. Selain itu, bundo kanduang juga termasuk sebagai ahli Majelis Musyawarah Adat dan Syara’ Nagari. Majelis Musyawarah Adat dan Syara’. Nagari adalah Lembaga Permusyuaratan/Permufakatan Adat dan Syara’ yang berfungsi memberi pertimbangan kepada Pemerintahan Nagari. Pertimbangan tersebut diperlukan agar Pemerintah Nagari tetap konsisten dalam menjaga dan memelihara penerapan Adat Basandi Syara’, Syara’ Basandi Kitabullah di Nagari. Kebijakan berkenaan meningkatkan peranan perempuan.

Kebijakan di Bidang Politik
Berlatar belakangkan perbincangan di atas, ternyata bahawa dengan dikuat-kuasakan Undang-Undang No. 22 tahun 1999, Pemerintah Kabupaten Agam, maka telah dipertegaskan dan diperkuatkan kedudukan perempuan dalam lembaga ketatanegaraan dan pemerintahan di Indonesia. Masaalah yang dihadapi adalah dalam melaksanakan hukum perempuan diikutsertakan dalam pelbagai kegiatan politik dan ketatanegaraan. Dalam kegiatan pemilihan umum, misalnya, perempuan digalakkan agar aktif di lembaga, seperti diberi peluang untuk duduk di Panwasluh (panitia Pengawas Pemilihan Umum ) tingkat kabupaten.

Dalam meningkatkan peranan perempuan di bidang politk, telah dilaksanakan latihan, sosialisasi dan penyertaan mereka. Sosialisasi iitu telah dilakukan kepada 20 LSM yang aktif (dari 59 LSM yang terdaftar di Kabupaten Agam), bundo kanduang dari nagari-nagari, dan generasi muda. Kegiatan lain yang dilakukan Bagian Peningkatan Peranan Perempuan pada Kantor Sosial dan Peningkatan Peranan Perempuan Kabupaten dengan pembekalan anggota DPRD Kabupaten berkenaan Peningkatan Peran Perempuan Politik.

Kebijakan di Bidang Ekonomi
Kegiatan ekonomi tradisional dalam masyarakat di Kabupaten Agam adalah:
1. Kerajinan pandan yang ada di Embun Pagi, antara Bukittinggi dan Maninjau.
2. Konveksi dan bordiran yang ada di Batu Taba, Ampek Angkek, Ampang gadang, Koto Tuo, Balai Gurah, Baso, Palupuh, Banu ampu, Lubuak Basuang dan daerah di sekitar Kota Bukittinggi.
3. Sulaman yang terkenal di Koto Gadang.
4. Nelayan di Maninjau yang terkenal dengan ikan salai.
5. Pertanian
6. Berdagang.

Di Nagari Pasia, Ampang Gadang dan Biaro Gadang, kegiatan ekonomi perempuan tertumpu kepada aktiviti berdagang dan bertani. Mereka membantu suami dengan pekerjaan bertani pada siang dan menjahit pada malam, baik sebagai pemilik bahan atau pengambil upah. Kerja menjahit dan menyulam tidak hanya dilakukan orang dewasa, tetapi juga anak-anak perempuan, kerana setiap rumah di daerah ini mempunyai mesin jahit. Anak perempuan akan menjahit setelah pulang sekolah dan setelah menyelesaikan pekerjaan rumah tangga. Kerja menjahit rata-ratanya dilakukan pada malam hari. Kerja menjahit boleh dikatakan telah ditekuni secara turun temurun di kalangan perempuan di Kabupaten Agam dan Kota Bukittinggi.

Penutup
Kedudukan dan peranan perempuan di Minangkabau di Sumatera Barat dapat dilihat dari dua segi. Pertama, masyarakat itu mampu bertahan dan mempertahankan nilai-nilai kebudayaannya. Kedua, perempuan sebagai pemegang amanah dalam melindungi dan mewujudkan kesejahteraan masyarakat. Kedua-duanya saling berkaitan dan ada kaitan bukan sahaja dengan kebijaksanaan perempuan sendiri, tetapi juga kebijakan penguasa. Lanjutan daripada itu, adalah disarankan apabila hendak mengadakan perubahan, mudharat dan manfaatnya hendaklah dipertimbangkan. Pertimbangan itu adalah untuk menjaga nilai budaya dan adat yang telah dipunyai masyarakat Minangkabau.

Rujukan
Batoeah, M. Panduko, Dt. 1925. Minangkabau Dahoeluoenja. Bukittinggi: Drukkeerij Merapi Fort De Kock.
Batuah A. M. & D. H. Bagindo Tanameh, tanpa tahun. Hukum Adat dan Adat Minangkabau. Bandung: Poestaka Aseli.
Hamka, 1926. Adat Minangkabau Menghadapi Repolusi. Bukittinggi: Pustaka Panjimas. Jakarta.1984. Islam dan Adat Minangkabau. Jakarta: Pustaka Panjimas.
I. Dt. Sangguno Dirajo, 1988. Mustika Adat Alam Minangkabau. Bukittinggi: Pustaka Indonesia
Toeah, Datoek. 1984. Tambo Alam Minangkabau. Bukittinggi: Pustaka Indonesia.

Hermayulis, PhD
Fakultas Hukum Universitas YARSI
Jalan Letjen Suprapto Cempaka Putih
Jakarta Pusat
Emel: hermayulis@yahoo.com

-

Arsip Blog

Recent Posts