KL, Malaysia - Program Syair Alam Melayu Nusantara mempunyai potensi besar untuk dijadikan acara tahunan berdasarkan keunikan dan potensinya untuk diterima di pentas sastera antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron, berkata acara kali ini mengangkat syair kerana genre berkenaan kekal diminati dan memiliki ramai penggiat sastera tradisional itu antaranya Sasterawan Negara (SN), Datuk Dr Zurinah Hassan dan Roslan Madun.
"Meskipun ada pendapat yang menyebut syair berasal dari Asia Barat, seni tradisional ini sudah berasimilasi di Nusantara hingga membentuk identiti sendiri.
"Syair memerlukan pendedahan berterusan dan kami memikirkan untuk menjadikannya sebagai acara tahunan dengan memberikan perincian yang lebih mendalam," katanya pada Syair Alam Melayu Nusantara di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini. Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron di Syair Alam Melayu Nusantara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pengarah DBP, Abdul Adzis Abas dan SN, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh dan Zurinah.
Mohd Khair berkata, minat generasi muda hari ini terhadap syair juga tidak berkurangan, malah kebanyakan pembaca syair pada program Syair Alam Melayu Nusantara adalah dari kalangan mereka.
"Apabila kita membuat acara sastera di ibu kota, ia menjadi peluang untuk kita mengangkat apa yang sepatutnya kita martabatkan termasuk syair.
"Syair antara genre sastera yang unik kerana ia menjadi cara orang Melayu melontarkan kritikan atau sindiran," katanya.
Syair Alam Melayu Nusantara yang berlangsung dua hari bermula hari ini diisi dengan pembentangan kertas kerja dan ucaptama oleh sarjana dan penggiat sastera tradisional seperti mantan Karyawan Tamu Perpustakaan Negara Malaysia, Dr Harun Mat Piah selain penyertaan penggiat sastera dari Asia Tenggara antaranya Brunei Darussalam dan Indonesia.
Syair Alam Melayu Nusantara sebahagian daripada acara Festival Seni Antarabangsa Kuala Lumpur (Diversity) 2016 untuk bahagian sastera yang dikuratorkan oleh ITBM.
Selain acara ini, Diversity 2016 turut menampilkan Forum Penyair ASEAN, Deklamasi Puisi ASEAN dan Konsert Gitar Dmitry Molaletov.
Sumber: http://www.bharian.com.my