Beijing, Tiongkok - Pengarah Pusat Pengajian Melayu China Beijing Foreign Studies University (BFSU), Prof. Wu Zong Yu akan terus berjuang mengembang dan memartabatkan bahasa Melayu di negara itu sepanjang hidupnya.
Beliau yang merupakan pelopor pengajian dan pengajaran bahasa Melayu di BFSU berkata, perjuangannya yang bermula sejak 1961 tidak akan terhenti malah akan terus digandakan apatah lagi dengan adanya komitmen kerajaan Malaysia yang sentiasa membantu universiti berkenaan dalam usaha tersebut.
Sehubungan itu, katanya, pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Malaysia bersetuju membangunkan sebuah Pusat Pengembangan Bahasa Melayu China di BFSU adalah begitu bermakna dan akan menjadi inspirasi kepadanya untuk meneruskan perjuangan tersebut.
“Inilah impian saya sejak dahulu lagi. Akhirnya cita-cita saya ini terlaksana melalui pengumuman Timbalan Perdana Menteri Malaysia,” katanya dalam bahasa Melayu yang cukup fasih.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya selepas majlis Penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat BFSU kepada Timbalan Perdana Menteri di kampus universiti itu sini hari ini.
Zong Yu dalam ucapannya turut berkongsi dengan para hadirin bagaimana beliau amat berminat dan jatuh cinta dengan bahasa Melayu berbanding bahasa-bahasa lain.
“Bahasa Melayu sungguh indah, kaya dengan peribahasa dan pengaruhnya cukup besar kerana terdapat lebih 300 juta penutur bahasa Melayu seluruh dunia,” katanya.
Beliau di dalam ucapannya turut menarik perhatian semua hadirin apabila menggunakan peribahasa seperti ‘kalau tidak pecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’ selain menggunakan pantun-pantun yang indah.
Sumber: http://www.utusan.com.my