Jamin Kelestarian Tradisi Rebana Ubi

Kelantan, Malaysia - Nusantara sememangnya terkenal dengan kepelbagaian tradisi daripada pakaian, adat resam mahupun alat muzik. Keunikan itu sewajarnya terus diwarisi dan dipelihara daripada satu ke satu generasi bagi mengekalkan kesinambungan budaya.

Sebagai contoh, rebana ubi iaitu sejenis alat muzik paluan yang amat digemari orang Melayu Kelantan, khususnya generasi terdahulu.

Sehubungan itu, Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) memberi sokongan kepada komuniti tempatan di Kelantan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk membantu mengekalkan dan memulihara tradisi membuat rebana ubi dan menyampaikan ilmu mengenai rentak irama alat tradisional ini kepada generasi muda.

Untuk inisiatif ini, Ekuinas bekerjasama dengan PUSAKA, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertekad memulihara seni tradisional Malaysia, menyokong usaha mereka secara khusus dalam membantu komuniti di Pasir Mas memastikan kemahiran seni serta irama unik rebana ubi tidak terkubur ditelan zaman.

Menerusi kerjasama ini, Ekuinas menyokong program kelestarian yang menyaksikan pakar muzik veteran memainkan peranan aktif dalam memberi tunjuk ajar kepada generasi muda selok-belok seni tradisi ini.

Matlamatnya untuk menjamin kelestarian tradisi rebana ubi dengan membaik pulih empat rebana berusia 150 tahun dan membuat enam rebana baru, mengadakan bengkel latihan bagi perantis, mendokumenkan perkembangan projek secara keseluruhan dan menambah bilangan persembahan masyarakat di Kelantan dan di tempat lain.

Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) dan CSR Ekuinas, Hiz­wani Hassan berkata, pihaknya mengakui ada banyak kumpulan masyarakat yang masih memerlukan bantuan dan sudah mengenal pasti satu komuniti di Pasir Mas yang bersemangat dan berazam memulihara seni membuat rebana ubi selain menurunkan ilmu seni ini kepada golongan belia.

“Kami berharap inisiatif ini dapat mengeratkan lagi silaturahim masyarakat dan meneruskan usaha gigih mengembalikan kegemilangan alat muzik tradisional demi manfaat generasi akan datang,” katanya.

Selain inisiatif bertumpukan komuniti, Ekuinas juga memainkan peranan sebagai mentor kepada pemilik perniagaan kecil berpotensi tinggi di bawah teras keusahawanan.

Selepas menjayakan program perintis bersama Bibah Songket di Terengganu pada 2013, Ekuinas memilih Al-Quds Travel Sdn Bhd (Al-Quds), sebuah agensi pelancongan di Kota Bharu sebagai perintis.

Al-Quds mempunyai pasukan pengurusan yang mantap, dengan tumpuan strategik untuk meningkatkan daya saing syarikat dan menawarkan pakej menarik yang boleh diubah suai mengikut keperluan umat Islam.

Selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan me­ngenai bidang tumpuan yang boleh dibantu, Ekuinas turut melantik perunding teknologi maklumat (IT) untuk membangunkan sistem IT sokongan yang komprehensif untuk Al-Quds.

Sistem baru itu membolehkan tempahan dalam talian dibuat secara langsung dari mana-mana enam cawangan atau secara terus oleh pelanggan. Ini membolehkan mereka menarik lebih ramai pelanggan sambil memenuhi permintaan perniagaan yang kian meningkat.

Hizwani berkata, sistem canggih itu dijangka membantu syarikat terbabit untuk bersaing dengan peserta industri lain dan seterusnya memberi Al-Quds keupayaan menyediakan perkhidmatan kepada pasaran jemaah haji dalam tempoh terdekat.

“Kami berbesar hati kerana dapat menawarkan bantuan kepada syarikat kecil seperti Bibah Songket dan Al-Quds untuk meningkatkan kecekapan dan merealisasikan potensi mereka sepenuhnya.

“Kami berharap menerusi pendekatan ini, syarikat berkenaan dapat bersaing dengan peserta industri yang lebih besar, mengatasi sebarang halangan untuk merebut peluang perniagaan yang lebih luas dan lebih penting lagi, mencapai kelestarian perniagaan pada masa depan,” katanya.

-

Arsip Blog

Recent Posts